Lihat Griezmann Ledak Gol Bombazo Dari Luar Kotak Penalti Yang Hampir Koyakkan Jaring

Antoine Griezmann menjaringkan gol paling manis untuk menggandakan kelebihan yang dimiliki Barcelona dalam kemenangan ke atas Osasuna di saingan La Liga pada awal pagi tadi.

Skuad Blaugrana sedang mendahului 1-0 di Nou Camp selepas jaringan pembukaan oleh Martin Braithwaite pada ketika itu.

Griezmann kemudiannya menjaringkan gol yang disifatkan sebagai jaringan terbaik yang pernah dihasilkan oleh penyerang dari Perancis itu sejak menyertai Barcelona.

Menggunakan teknik yang tidak mudah untuk mengawal bola, Griezmann melepaskan satu voli deras yang menuju ke penjuru kanan gawang gol lawan.

Penjaga gol Osasuna, Sergio Herrera sememangnya tidak diberikan peluang dan hanya mampu melihat rembatan deras oleh Griezmann yang hampir mengoyakkan jaring,

Tidak terbuai-buai oleh gol cantik tersebut, Griezmann meneruskan aksi padunya dalam perlawanan ini, dan selepas itu turut mencipta satu assist untuk Philippe Coutinho menjaringkan gol ketiga Barcelona.

Lionel Messi pula melakukan larian solo sebelum melepaskan rembatan menerjah bahagian atas gawang untuk menjadikan kedudukan 4-0.

Griezmann kini memiliki empat gol dari 12 penampilan dalam semua pertandingan pada musim ini, selepas diberikan jersi bar No.7 oleh Ronald Koeman.

Pemain itu sebelum ini diulit kontroversi setelah bekas ejen dan pakciknya mengkritik Messi secara terbuka atas layanan bintang Argentina tersebut terhadap Griezmann.

Penyerang antarabangsa Perancis dan pemenang Piala Dunia itu bagaimana pun menjelaskan perkara sebenar yang berlaku.

“Saya sudah tidak berhubung dengan [bekas ejen] Eric Olhats sejak saya berkahwin,” kata Griezmann.

“Saya ada menjemput beliau ke majlis perkahwinan saya, namun beliau tidak hadir. Sejak dari itu saya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan dia.

“Pakcik saya pula tidak tahu bagaimana bola sepak dimainkan. Wartawan dan media pula memperolehi kenyataan tersebut dari dia.

“Saya sudah jelaskan kepada Leo bahawa saya tidak pernah pun bercakap dengan dia. Nombor telefonnya pun tidak pernah ada di dalam simpanan saya.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.