Lihat Gol Sulung Arjen Robben Sejak Tinggalkan Bayern Munich Bersama FC Groningen

Arjen Robben menjaringkan gol pertamanya sejak meninggalkan Bayern Munich dan menyertai Groningen.

Robben melepaskan rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti seperti kebiasaan dilakukannya dan ia adalah jaringan amat bermakna buat pemain Belanda itu.

Pada usia 36 tahun, Arjen Robben keluar daripada persaraan untuk menyertai kelab yang pernah disertainya pada usia 12 tahun suatu masa dahulu.

Debut Robben bersama Groningen pula tiba pada usia 16 tahun, sebelum beliau tampil sebagai penjaring termuda kelab.

Dan kini Robben menikmati kembali nikmat menjaringkan gol dengan jersi hijau dan putih setelah memakainya buat kali pertama 20 tahun yang lalu.

Berjersi No.10 ikonik dan memakai lilitan kapten dengan penuh kebanggaan, bekas pemain Bayern Munich dan Chelsea itu membuka tirai jaringan dengan gol pada minit ke-17 ketika pasukanya mencatat keputusan seri 1-1 menentang Arminia Bielefeld dalam perlawanan persahabatan.

Robben yang kelihatan beremosi kemudiannya meraikan gol dengan melontarkan satu tumbukan ke udara tanda kepuasan.

Ia adalah gol pertamanya untuk Groningen sejak 28 April 2002, iaitu18 tahun yang lalu.

Hanya setahun yang lalu Robben mengumumkan persaraan selepas 19 tahun karier profesional di beberapa kelab utama di Eropah.

Beliau bagaimanapun memilih untuk bermain semula bersama Groningen selepas menolak tawaran oleh kelab Brazil, Botafogo.

Robben dan Groningen bakal berhadapan PSV Eindhoven pada Ahad hadapan untuk perlawanan kompetitif pertama di musim baharu Eredivisie.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.