Lihat Gol Spektakular Tak Sengaja Kimmich Bantu Bayern Munich Tewaskan Dortmund

Bayern Munich muncul pemenang German Super Cup selepas menewaska Borussia Dortmund 3-2 pada awal pagi tadi.

Juara Bundesliga itu bagaimana pun menang dengan cara yang perit selepas Dortmund bangkit dari kedudukan 2-0 untuk menyamakan kedudukan.

Dan pada ketika wisel penamat semakin menghampiri pada 10 minit akhir perlawanan, Joshua Kimmich menjaringkan gol kemenangan spektakular yang membuatkan ramai terpinga-pinga.

Gol dari Corentin Tolisso dan Thomas Muller memberikan pendahuluan 2-0 buat anak buah Hansi Flick, sebelum Julian Brandt merapatkan kedudukan buat Dortmund pada minit akhir babak pertama

Kemudian Erling Haaland menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-55 perlawanan dengan penyudah yang cukup tegang.

Perlawanan tersebut bagaimana pun ditentukan apabila Kimmich menjaringkan gol pada minit ke-82 yang sememangnya memerlukan sedikit pejelasan.

Pemain tengah itu pada mulanya memenangi bola di bahagian tengah padang, dan melarikannya sejauh 25 meter.

Kimmich sempat melakukan hantaran satu-dua bersama Robert Lewandowski sebelum melakukan percubaan ke arah gawang lawan.

Percubaan pertama pemain antarabangsa Jermain itu pada mulanya diselamatkan oleh Marwan Hitz. Namun tampanan kurang kemas penjaga gol itu melantun kembali ke Kimmich yang sudah pun tertiarap di atas padang.

Pemain itu bagaimana pun sempat menyungkit bola melepasi Hitz untuk gol kemenangan Bayern Munich.

Ia sememangnya gol yang menarik dan dianggap oleh media Jerman sebagai spektakular. Namun adakah Kimmich benar-benar sengaja atau tidak untuk menghasilkan gol sebegitu.

Ia mungkin satu pertanyaan. Namun Kimmich sememangnya dilihat cuba mencapai bola tersebut dengan kakinya dalam keadaan tertiarap itu.

Persoalannya adalah bagaimana ia dilakukan begitu sempurna dan tepat, hanya Kimmich yang boleh menjawabnya.

Kejayaan terbaru ini bermakna Bayern Munich telah memenangi lima trofi sepanjang satu kalendar setahun.

Mereka muncul juara Bundesliga, Piala Jerman, UEFA Champions League, UEFA super Cup, dan kini German Super Cup.

Bagi kebanyakan, tahun 2020 adalah tahun yang pelik, dan penuh dengan cabaran. Namun tidak bagi Bayern Munich.

“Ianya tidak mudah terutama pada babak kedua perlawanan. Kami mendahului 2-0 kemudian membuatkan diri dalam keadaan sukar,” kaya Hansi Flick mengenai perlawanan tersebut.

“Apa yang penting ialah kami telah menang perlawanan ini. Perkara lain yang perlu diberikan perhatian ialah perlawanan seterusnya pada Ahad [menentang Hertha Berlin].”

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.