Lihat Gol ‘Masterclass’ Jota Untuk Portugal, Buktikan Pelaburan Berbaloi Dari Liverpool

Di dalam bola sepak, menang atau kalah adalah adat perlawanan. Tetapi kalah dibelasah, itu adalah perkar yang pahit untuk ditelan. Apatah lagi kelab seperti Liverpool yang mempunyai reputasi selaku juara bertahan Liga Perdana Inggeris.

Ia pasti tempoh dua minggu yang panjang untuk The Reds memadam duka kekalahan 7-2 kepada Aston Villa. Penyokong pula ternanti-nanti Liverpool kembali ke landasan kemenangan, sekali gus bertanggapan kekalahan tersebut sekadar disebabkan nasib yang kurang baik.

Sebaliknya untuk tempoh dua minggu ini tadi, pemain-pemain Liverpool terpaksa beraksi bersama negara masing-masing di serata dunia sebelum kembali untuk ‘Merseyside Derby’ pada hujung minggu ini.

Jota tetap menyinar

Jangan salahkan pemain dari Liverpool jika ada di kalangan mereka tampil dengan riak wajah masam bersama negara masing-masing.

Jika ada dari kalangan pemain Liverpool yang tidak terkesan dengan kekalahan kepada Villa, maka Diogo Jota telah membuktikan dirinya salah seorang pemain itu.

Pemain yang baru didatangkan ke Anfield ini telah menjaringkan dua gol, dan menghasilkan satu assist untuk membantu Portugal menang 3-0 ke atas Sweden di pertandingan Nations League pada awal pagi tadi.

Minit awal perlawanan lagi pengulas sudah bertanya: “Ronaldo who?” – selepas rembatan Jota sedikit tersasar dan juga ketiadaan bintang Juventus itu yang tidak dirasai dalam perlawanan ini.

Assist oleh Jota tiba pada minit ke-21 selepas pemain itu tidak mementingkan diri sendiri melintangkan bola kepada Bernardo Silva untuk menjaringkan gol.

Sebelum babak pertama perlawanan tamat, Jota meletakkan dirinya selaku penjaring untuk kedudukan 2-0.

Hantara lintang jauh dari sebelah kanan dikawal dan disempurnakan dengan baik seperti seorang pakar oleh Jota. Jika anda penyokong Liverpool, anda pasti terbayangkan Jota menyambut hantaran Trent Alexander-Arnold.

Gol kedua menakjubkan

Gol kedua peribadi oleh Jota tatkala perlawanan berbaki 20 minit merupakan tumpuan utama di dalam perlawanan ini.

Jota yang memiliki bola di sebelah kiri, menewaskan dua pertahanan Sweden sebelum melepaskan rembatan padu menewaskan Robin Olsen.

Siapa perlukan Cristiano Ronaldo jika anda memiliki Diogo Jota?

Ia adalah satu gerakan masterclass dari bekas pemain Wolves itu yang pasti akan membuatkan Jurgen Klopp pening kepala untuk pemilihan pemain menjelang Merseyside Derby pada Sabtu ini.

Tiba di Anfield pada nilai £45 juta, Jota melakukan penampilan pertamanya bersama Liverpool menentang Arsenal dan menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut.

“Saya sangat gembira untuk Diogo Jota. Pemain yang amat amat berkualiti,” kata Klopp kepada BBC sebelum ini. Ia amat sukar untuk menambahbaik pasukan yang sudah hebat seperti kami. Jota memang sudah berada di dalam senarai saya selama dua tiga musim lepas. Sekarang dia ada di sini.

“Diogo dimasukkan, bermain sebagaimana sepaturnya, ikut bertahan sepertimana kami bertahan di sini, dan dia hanya memiliki 20% pengetahuan tentang apa yang kami lakukan selama ini.

“Kami akan mengadakan team meeting untuk itu, dan ia akan mengambil masa.

“Hari ini dia sempat menyaksikan aksi Sadio Mane selama 60 sehingga 70 minit dan kemudian dimasukkans sebagai pengganti dan beraksi amat baik.

“Beliau menjaringkan gol yang hebat, dan ia amat baik untuk perlawanan pertama di Anfield. Dia tidak akan lupakan itu. Ia permulaan yang baik.”

Penutup

Buat masa ini masih terlampau awal untuk menilai keupayaan Jota bersama Liverpool. Namun jika beliau mampu mencapai tahap yang dicapai oleh Mane pada tahun-tahun mendatang, sudah tentu kita boleh simpulkan Liverpool telah membuat pelaburan yang berbaloi.

Penyokong Liverpool pasti ingat bagaimana Klopp membangunkan potensi Mane. Jota bolehlah dianggap sebagai projek seterusnya untuk Klopp.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.