Lihat Calvert-Lewin Simpan Van Dijk Dalam Poket Promosi Merseyside Derby

BT Sport seperti sengaja untuk buat lawak dan bikin panas dengan pemain pertahanan terbaik dunia, Virgil Van Dijk melalui iklan terbaru syarikat penyiar itu untuk derbi Merseyside.

Pemain pertahanan bernilai £75 juta itu berjaya menjadikan dirinya sebagai salah seorang pemain pertahanan terbaik dunia sejak tiba di Anfield pada 2018.

Gol pertama pemain tinggi lampai ini bersama Liverpool adalah ketika debutnya dalam perlawanan menentang Everton.

Namun keadaan pasti tidak sama apabila kedua-dua pasukan sekali lagi bertemu pada 17 Oktober hadapan selepas liga rehat seketika untuk memberi laluan kepada kalendar antarabangsa.

Ini kerana prestasi Everton pada hari ini dianggap mantap, terutama sentuhan penyudah oleh Dominic Calvert-Lewin yang begitu menyerlah sehingga mendapat panggilan oleh Gareth Southgate untuk mengganggotai skuad England.

Liverpool pula masih segar dengan kekalahan memalukan, diratah Aston Villa 7-2. Prestasi benteng pertahanan yang diketuai oleh Virgil Van Dijk yang begitu rapuh pasti sekali lagi menjadi perhatian dalam perlawanan derbi Merseyside itu nanti.

Buat masa ini belum boleh kita bayangkan bagaimana Van Dijk mampu meneutralkan ancaman oleh Calvert-Lewin itu nanti.

Tetapi Van Dijk sudah pasti sedikit terganggu dengan iklan oleh BT Sport membabitkan dirinya ini.

Melalui iklan tersebut, penyerang Everton tersebut dilihat dengan yakinnya menyimpan Van Dijk ke dalam poket seluar – indikasi keyakinan kali ini Calvert-Lewin mampu mengecewakan Liverpool musim ini.

Carlo Ancelotti ketika ditanya mengenai prestasi Calvert-Lewin yang menyerlah pada awal musim ini berkata:

“Dia adalah seorang penyerang yang lengkap. Tidak mudah untuk mencari seorang penyerang dengan karakter sebegini.

“Dia begitu bertenaga, dan pantas. Saya gembira dia beraksi dengan baik dan menjaringkan banyak gol kerana seorang penyerang akan dinilai dengan jumlah jaringan yang dihasilkan.

“Ia adalah pencapaian yang hebat sehingga dipanggil oleh skuad England. Saya harapkan ini bukan terakhir. Ia terpulang dengan dia. Dia melakukannya dengan baik, namun memerlukan konsistensi.”

“Untuk pemain  penyerang kami memang ada melakukan latihan secara individu, tetapi bukannya ada latihan istimewa. Saya berpendapat ianya lebih kepada mentaliti atau taktikal yang memberikan fokus di kotak penalti.

“Untuk memiliki James [Rodriguez] di belakang penyerang juga membantu. Bukan sahaja untuk Dominic yang bermain sebagai penyerang tetapi untuk kami memiliki penguasaan bola yang lebih baik.

“Dominic memanfaatkan kualitil yang dimiliki oleh James dan pasukan. Apa yang kami mahu ialah untuk bermain secara menyerang, dan fokus dari dia ialah untuk berada di dalam kotak penalti.”

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.