Lihat Bintang Chelsea Kai Havertz Menyinar, Jaring Hatrik Belasah Barnsley 6-0

Kai Havertz menampilkan kualiti yang dimilikinya kepada penyokong Chelsea dalam perlawanan pada awal pagi tadi apabila menjaringkan hatrik ketika membantu The Blues membelasah Barnley 6-0 di pertandingan Piala Carabao.

Pemain baru dari Jerman ini gagal menampilkan potensi yang dimilikinya dalam dua perlawanan pertama bersama Chelsea ketika menentang Burnley dan juga Liverpool.

Prestasi beliau dalam kedua-dua perlawanan tersebut pantas mendapat perhatian penyokong bola sepak yang melihat Havertz boleh menjadi satu lagi pembelian yang gagal untuk Chelsea seperti Kepa Arrizabalaga.

Menentang pasukan yang lebih lemah pada awal pagi tadi, Havertz mengingatkan pengkritiknya dengan menghasilkan permainan berkualiti dalam perlawanan yang diadakan di Stamford Bridge.

Havertz menjaringkan gol pertamanya untuk skuad kendalian Frank Lampard dengan penyudah kemas menggunakan kaki kiri untuk membenarkan Chelsea mendahului 2-0 setelah Tammy Abraham melakukan dummy kemas yang mengelirukan.

Penyerang England itu kemudiannya menghasilkan satu assist untuk satu lagi gol dari Havertz sebelum babak pertama berakhir.

Bukan sahaja Havertz telah menjaringkan gol. Beliau turut memainkan peranan besar untuk gol ketiga Chelsea yang dijaringkan oleh Ross Barkley selepas melakukan satu tackle menarik untuk merampas bola dari penjaga gol lawan.

Data dan statistik yang dihasilkan oleh Kai Havertz dalam perlawanan ketiga setelah perpindahan bernilai £71.6 juta dari Bayer Leverkusen juga pasti membuat Lampard menarik nafas kelegaan.

Namun satu perkara yang harus dibuktikan oleh Havertz ialah untuk menampilkan aksi cemerlang yang sama secara konsisten.

Abraham dan Olivier Giroud menjaringkan baki jaringan lain dan seorang lagi pemain baharu bernilai £45 juta, Ben Chilwell turut menyumbang satu bantuan gol selepas dimasukkan dari bangku pemain simpanan.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.