Tatkala seluruh dunia kini berada dalam perintah berkurung, ia tidak menghalang Zenit St. Petersburg menyerahkan plug atau trofi kepada pemain terbaik mereka untuk bulan Mac.
Kelab Rusia itu tampil dengan idea luar biasa bagi mengekalkan penjarakan sosial apabila menyampaikan anugerah tersebut dengan menggunakan dron.
Bekas pemain Barcelona, Malcom telah dipilih sebagai pemain terbaik bagi bulan Mac menerusi undian daripada peminat kelab tersebut.
Tetapi tatkala Russia menjalani perintah berkurung sehingga hujung bulan ini susulan pandemik COVID-19, Zenit terpaksa mencari cara lain bagi menyampaikan anugerah berkenaan.
Saingan Liga Russia sebelum ini ditangguhkan sehingga 31 Mei depan. Zenit mencuri perhatian peminatnya menerusi kaedah inovatif itu yang dirakam dan dimuat naik di Twitter.
Zenit sent Malcom’s Player of the Month award to him by drone! 😱 pic.twitter.com/Y0pl5CA1tq
— Sky Sports Football (@SkyFootball) April 11, 2020
Malah Malcolm sendiri turut terkejut dan tidak menyangka sama sekali apa yang telah dilakukan oleh pihak kelab.
“Saya baru saja menerima mesej yang saya perlu membuka tingkap,” kata Malcom menerusi video yang dirakamnya ketika dron memasuki tingkap pangsapurinya.
Dron itu kemudian mendarat di lantai bagi membolehkan Malcom mengambil anugerah yang dimenanginya.
Zenit kini menduduki tangga teratas liga selepas melalui 22 perlawanan, dan mempunyai kelebihan 9 mata berbanding pasukan tempat kedua, Lokomotiv Moscow.
Sepertimana nasib liga lain di seluruh eropah, masa depan Liga Perdana Rusia juga masih samar sama ada akan disambung kembali atau tidak.
Zenit dan semua 15 pasukan lain yang bertanding masih lagi perlu melalui 8 perlawanan untuk melengkapkan saingan pada musim ini.