Lihat ‘Backheel Flick’ Jahat Serge Gnabry Selamatkan Jerman Diaib Oleh Switzerland

Jerman bangkit secara luar biasa sebanyak dua kali dalam perlawanan Nations League menentang Switzerland pada awal pagi tadi untuk mencatatkan keputusan seri 3-3.

Momentum perlawanan sering berubah-ubah di dalam perlawanan ini, yang diakhiri dengan gol backheel sensasi dan jahat untuk membunuh harapan Switzerland mengejutkan bekas juara dunia itu.

Duo dari Chelsea, Timo Werner dan Kai Havertz terlebih dahulu memulakan kebangkitan Jerman yang ketinggalan 2-0 dengan gol masing-masing setelah terlebih dahulu ketinggalan oleh jaringan Mario Gavranovic dan Remo Freuler.

Jaringan kedua Gavronovic di dalam perlawanan ini memberikan kelebihan satu gol kembali kepada Switzerland sebelum bachheel flick cantik oleh Gnabry memastikan anak buah Joachim Low tidak dimalukan.

Switzerland menamatkan perlawanan dengan 10 pemain apabila Fabian Schar dilayangkan kad merah pada babak akhir perlawanan, namun Jerman gagal memanfaatkan kelebihan pemain yang ada.

Switzerland memulakan ancaman seawal minit ke-4 perlawanan dan memaksa Manuel Neuer menyelamatkan keadaan di near post.

Tidak lama selepas itu Neuer terpaksa mengutip bola dari gawang sendiri selepas Gavranovic menghasilkan lambungan cantik yang memerangkap Neuer.

Jerman terus ketinggalan pada minit ke-26 perlawanan, selepas kesilapan Toni Kroos yang hilang bola dan serangan balas menyaksikan Freuler melakukan penyudah tajam mencungkil bola melepasi jangkauan Neuer yang melulu keluar.

Dalam keadaan tersebut, Jerman kemudiannya pantas memberikan respon melalui Werner yang menghukum kealpaan benteng pertahanan Switzerland dengan penyudah baik menewaskan Yann Sommer.

Selepas terlebih dahulu mengegarkan palang, Havertz memintas hantaran selekeh Schar sebelum tenang merembat masuk menewaskan Sommer sekali lagi untuk gol penyamaan Jerman.

Tatkala momentum perlawanan dilihat milik Jerman, Switzerlan pantas menafikan kebangkitan gergasi eropah itu dengan gol oleh Gavranovic yang merembat deras dari tengah kotak penalti selepas bola melantun dari Neuer hasil percubaan Haris Sferovic.

Jerman bagaimana pun enggan menyerah kalah dan menyamakan kedudukan melalui backheel menarik selepas menerima cut-back dari Werner untuk menjadikan kedudukan 3-3.

Sommer terpaksa bertindak cemerlang menafikan Julian Draxler selepas itu, dan Kroos turut melepaskan peluang terbaik Jerman menghasilkan kemenangan apabila sepakan percuma beliau melambung tinggi.

Masuk masa kecederaan, Schar dilayangkan kad kuning kedua dan arahan keluar padang, namun ia sudah terlambat untuk Jerman berbuat apa-apa.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.