Lihat Aksi Pemalas Terlampau Messi Ketika Bertemu Dynamo Kyiv

Pep Guardiola pernah menganggap bahawa Lionel Messi bukan hanya seorang penyerang yang handal, bahkan beliau menggambarkan bahawasanya bintang Barcelona itu juga merupakan seorang pertahanan terhebat di dunia.

Namun sayangnya, Messi gagal untuk membuktikan kebenaran dari kata-kata bekas pengurusnya itu selepas mempamerkan aksi lemah dan pemalas dalam aksi pertemuan menentang Dynamo Kyiv semalam.

Lionel Messi telah menjaringkan gol menerusi sepakan penalti buat kali yang keempat pada musim ini ketika dalam aksi kemenangan 2-1 Barca menewaskan Dynamo Kyiv di Nou Camp semalam.

Barcelona setakat ini telah mencatatkan tiga kemenangan dari tiga perlawanan peringkat kumpulan dalam saingan liga Juara-juara musim ini.

Namun dalam keriangan mereka meraikan kemenangan semalam, aksi pemalas bintang handalan Argentina, Messi telah tular di media sosial dan mendapat kecaman dari ramai pihak.

Terdapat satu rakaman yang memperlihatkan Messi sekadar berjalan di tengah padang sambil memerhatikan pemain pertahanan Kiev membawa bola.

Beliau jelas tidak melakukan sebarang usaha untuk menekan atau pergi ke arah pemain pertahanan Kiev itu sebaliknya hanya memperhatikan saja pemain lawan membawa bola melepasinya.

Kejadian tersebut berlaku ketika perlawanan sudah masuk ke masa kecederaan dan terdapat satu lagi rakaman yang memaparkan durasi lebih panjang dan dalam rakaman tersebut Messi dilihat ada melakukan sedikit larian untuk mengejar bola sebelum wisel penamat dibunyikan.

Walau insiden tersebut berlaku ketika perlawanan sudah hampir tamat, ianya bukanlah satu aksi yang harus dipamerkan oleh Messi selepas apa yang telah terjadi sejak Ronald Koeman mula mengurus kelab.

Messi pada jendela perpindahan musim panas lalu sangat lantang menyuarakan hasratnya untuk meninggalkan kelab sebelum akhirnya bersetuju untuk kekal selama satu musim lagi.

Aksinya mengundang kecaman dari pelbagai pihak yang menganggap bahawa pemenang enam kali gelaran ballon d’or itu sudah tidak mempunyai jiwa dan hati untuk bermain bersama Barcelona lagi.

Messi memperlihatkan aksi malas ketika dihujung permainan dan para peminat turut membandingkan beliau dengan aksi diakhir minit permainan yang dipamerkan oleh pemain midfield Arsenal, Mo Elneny.

Mo Elneny telah mempamerkan aksi yang sungguh luar biasa ketika beraksi bertemu Manchester United di Old Trafford dalam saingan liga minggu lalu.

Pemain kebangsaan Mesir itu berlari tanpa henti sehingga ke minit-minit terakhir perlawanan dan menunjukkan kerja keras yang luar biasa dalam membantu kemenangan 1-0 Arsenal menewaskan Manchester United.

Aksi malas yang Messi pamerkan juga bukanlah satu hal yang baru. Ketika kemenangan 3-0 Barcelona menewaskan Real Madrid pada Disember 2017, statistik menunjukkan bahawa beliau berjalan 83% dari 5 km pergerakannya atas padang ketika itu.

Namun walau lebih banyak menghabiskan waktu dengan berjalan dari berlari, beliau tetap berjaya mencatatkan satu asists dan menjaringkan satu gol dalam perlawanan tersebut.

Bekas pengurusnya, Ernesto Valverde pernah menyatakan bahawa Messi sering mengabaikan bola ketika minit pertama setiap permainan dengan tujuan untuk memerhatikan gerak geri pertahanan lawan terlebih dahulu.

“Semakin lama permainan berlangsung dia semakin berfungsi. Dia tahu dengan sempurna di mana kelemahan pemain lawan.”

Jelas Valverde.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.