Lihat Aksi Hebat James Rodriguez Jaring Dua Gol Dan Catat Satu Assists

Everton meneruskan rentak kecemerlangan mereka musim ini dengan mencatatkan kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan liga.

Empat kemenangan dari empat perlawanan merupakan catatan rekod luar biasa yang berjaya dilakukan oleh Everton.

Nama James Rodriguez pastinya menjadi sebutan apabila kemasukkan beliau ke dalam skuad kendalian Ancelotti memberikan impak yang luar biasa.

Beliau telah mempamerkan kecemerlangannya sejak dari perlawanan pertamanya untuk Everton.

Everton turun sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan minggu keempat liga bertemu Brighton semalam.

Skuad kendalian Carlo Ancelotti itu membuka tirai jaringan seawal minit ke-16 menerusi Dominic Calvert Lewin.

Pemain yang baru sahaja mendapat panggilan untuk skuad kebangsaan England itu kini sedang berada dalam tahap persembahan terbaiknya dengan menjaringkan gol dalam setiap perlawanan untuk Everton.

Walau bagaimanapun, dalam perlawanan ini tumpuan lebih terarah kepada James Rodriguez berbanding Calvert Lewin yang sedang berada dalam rentak aksi terbaiknya.

James berjaya menjaringkan dua gol dan mencatatkan satu assists dalam kemenangan 4-2 Everton menewaskan Brighton.

Sumbangannya itu menjadikan beliau sebagai pemain paling berimpak tinggi dan menjadi pemain terbaik dalam perlawanan ini.

James dianggap sebagai pemain terbaik perlawanan selepas merekodkan statistik yang sungguh mengagumkan dalam perlawanan tersebut.

Beliau berjaya mencipta 94% hantaran tepat dengan 72 kali sentuhan. James juga turut memenangi lima sepakan percuma dan lima pemulihan daripada ancaman.

Pemain kebangsaan Colombia itu juga menjadi nadi utama dalam sistem serangan Everton dengan menyempurnakan dua peluang kepada jaringan berserta satu bantuan jaringan.

Selain daripada itu, bekas pemain Real Madrid itu juga berjaya melakukan empat percubaan ke arah gol dan dua darinya menghasilkan jaringan.

Menariknya, James berjaya menjaringkan kedua-dua gol tersebut dengan cara yang hampir sama, yang mana beliau tiba pada waktu yang tepat di zon yang sama.

Ianya bukan lah hal yang mudah untuk dilakukan kerana, untuk menjayakannya seseorang pemain itu perlu ada premonition yang tepat untuk mengagak arah tuju bola.

Gol pertama beliau terhasil daripada counterpressing yang mana James menghulur bola kepada rakan sepasukannya dan terus berlari ke far post.

Dari situlah James menerima bola dan dengan mudah beliau menolak bola tersebut untuk menewaskan penjaga gol lawan.

James Rodriguez juga berjaya untuk mencatatkan assists dalam perlawanan ini kepada rakan senegaranya, Yerry Mina.

Beliau melakukan hantaran cantik untuk disudahi oleh Yerry Mina dengan satu tandukan yang padu.

Perhubungan antara kedua-dua pemain itu dalam perlawanan ini sama seperti aksi mereka berdua ketika beraksi untuk skuad kebangsaan Colombia dalam saingan Piala Dunia sebelum ini.

Jaringan yang dicipta oleh Mina hasil hantaran James juga telah mencipta sejarah baru dalam saingan premier league yang mana penjaring gol dan assists dilakukan oleh pemain dari Colombia.

Gol kedua James dan juga keempat untuk Everton dalam perlawanan ini terhasil dari gerakan yang hampir sama seperti gol pertamanya.

Beliau sekali lagi berlari ke arah far post dan menerima bola dari zon sama sebelum menjaringkan gol.

Kali ini mungkin kerana kesilapan dari pertahanan Brighton yang gagal untuk menghentikan hantaran silang serta membiarkan James bebas tanpa kawalan.

James Rodriguez setakat ini telah terlibat secara langsung dalam lima gol untuk Everton dari lima perlawanan dalam semua pertandingan.

Jelas sekali, ianya merupakan statistik yang jauh lebih baik dari apa yang beliau lakukan bersama Real Madrid musim lalu.

James juga memecahkan rekod peribadinya apabila berjaya untuk menjaringkan dua gol dan mencatatkan assists dalam satu perlawanan yang mana kali terakhir beliau lakukan adalah ketika mencipta Hat-trick untuk Bayern pada Mac 2019.

Jaringan James tersebut mengesahkan kemenangan berpihak kepada Everton 4-2 dan kemenangan tersebut juga menyaksikan skuad kendalian Carlo Ancelotti berjaya kekalkan rekod sempurna dengan memenangi tujuh dari tujuh perlawanan dalam semua pertandingan musim ini.

Empat dari tujuh perlawanan tersebut adalah perlawanan dalam saingan liga, ini bermaksud Everton masih mengekalkan rekod bersih mereka dalam saingan premier league musim ini.

Ini juga merupakan pertama kalinya Everton memenangi kesemua tujuh perlawanan awal mereka dalam semua pertandingan sejak kali terakhir mereka lakukan pada 1987.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.