Lihat Aksi Dungu Leno Hadiahkan Gol Percuma Kepada Lawan

Jika beberapa perlawanan sebelum ini Leno telah diberikan pujian yang melambung kerana kecemerlangan yang beliau pamerkan, pada malam ini telah berlaku kejadian yang tidak diingini olehnya.

Bernd Leno telah melakukan satu kesilapan yang menyebabkan gawang golnya dibolosi oleh pasukan lawan dalam perlawanan bertemu Rapid Wien untuk saingan Europa League.

Arsenal berkunjung ke Allianz Stadion bertemu Rapid Wien untuk aksi perlawanan pertama peringkat kumpulan saingan Europa League.

Gunners telah diundi berada dalam kumpulan B bersama Rapid Wien, Molde dan Dundalk.

Leno telah disenaraikan dalam kesebelasan utama Arsenal untuk perlawanan ini dan beliau telah melakukan satu kesilapan dungu yang menyebabkan gawang golnya dibolosi.

Kesilapan itu juga merupakan kesilapan individu pertama yang menyebabkan gawang gol Arsenal dibolosi dari semua pertandingan musim ini.

Namun tidak dinafikan beliau masih beraksi dengan baik dalam perlawanan tersebut walau telah melakukan satu kesilapan yang membawa padah untuk pasukannya.

Pada minit ke-51, Leno menerima bola hantaran dari David Luiz dalam kotak penaltinya dan beliau kemudiannya telah menolak bola tersebut tepat ke kaki pemain lawan yang ada betul-betul dihadapannya ketika itu.

Leno sepertinya mahu menghantar bola tersebut ke arah Thomas Partey, namun beliau seolah tidak sedar akan kehadiran Ercan Kara yang berada betul-betul dihadapannya.

Bola hantaran lemahnya berjaya dipintas oleh Kara dan bola tersebut tepat menemui Taxiarchis Fountas yang kemudiannya cemerlang merembat bola tersebut menerjah sudut sebelah kiri gawang gol Leno.

Ianya adalah kesilapan yang hampir saja menyebabkan kekalahan mengejut kepada pasukannya, namun mujur saja Arsenal berjaya menjaringkan dua gol pada minit ke-70 dan 74 untuk memastikan kemenangan 2-1 mereka menewaskan Rapid Wien.

Gol pertama Arsenal berjaya dijaringkan oleh David Luiz pada minit ke-70 permainan selepas beliau berjaya menanduk masuk bola hantaran dari sepakan percuma yang diambil oleh Pepe.

Empat minit kemudian, giliran Pierre Emerick Aubameyang mencatatkan namanya sebagai penjaring gol dalam perlawanan ini selepas cemerlang menyudahkan bola hantaran dari Hector Bellerin.

Leno dalam perlawanan ini beberapa kali juga melakukan kesilapan dan mujur saja hanya satu kesilapan beliau yang menyebabkan gawang golnya dibolosi.

Sejak dari bermulanya musim 2018/19, hanya Pickford dan David De Gea sahaja yang telah mencatatkan statistik kesilapan yang menyebabkan gawang gol mereka dibolosi lebih banyak berbanding Leno.

Jordan Pickford telah mencatatkan 11 kesalahan dan David de Gea pula telah mencatatkan 9 kesalahan yang menyebabkan gawang gol mereka dibolosi sejak dari tempoh tersebut.

Manakala Leno sendiri, beliau telah mencatatkan 8 kesalahan yang menyebabkan gawang golnya dibolosi sejak kempen 2018/19 dalam semua pertandingan.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.