Lihat Aksi Axel Tuanzebe, Senjata Sulit Ole Matikan Jentera Serangan Bernilai €367 Juta

Kompilasi aksi hebat Axel Tuanzebe menentang Paris Saint-Germain (PSG) membuktikan beliau adalah pemain pertahanan tengah yang Manchester United benar-benar perlukan sekarang.

United menewaskan PSG 2-1 di Parc des Princes pada awal pagi tadi dan nama Tuanzebe yang berada di dalam kesebelasan utama skuad kendalian Ole Gunnar Solksjaer mengejutkan ramai.

Pemain pertahanan produk akademi Manchester United itu sebenarnya telah disisihkan akibat kecederaan sejak Disember lalu, dan hanya dibawa masuk oleh Solksjaer selepas kidmat Harry Maguire dan Eric Bailly buat seketika.

Namun demikian aksi Tuanzebe tidak menunjukkan sebarang tanda beliau kekok dan megawal kehadiran Neymar dan Kylian Mbappe dengan baik untuk satu lagi kemenangan menentang kelab Perancis tersebut.

Neymar dan Mbappe, kedua-duanya sahaja membawa nilai €367 juta – menjadikan gandingan kedua-duanya sebagai gandingan penyerang paling mahal di dunia.

Dalam perlawanan tersebut beliau bukan sahaja membuktikan mampu melakukan tugas bertahan dengan baik. Malah Tuanzebe turut mara ke hadapan dan melakukan beberapa hantaran yang membelah blok unit pertahanan PSG dari bahagian bawah.

Kepantasan adalah antara isu yang sering menjadi masalah buat pertahanan United sejak beberapa musim lalu, dan pemain pertahanan skuad remaja England ini membuktikan beliau mempunyai kapasiti tersebut.

Bekas pemain pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand yang bertugas sebagai salah seorang pengulas dalam perlawanan tersebut bersama BT Sport turut kagum dengan aksi Tuanzebe.

“Di sini (situasi sebegini) Man United sentiasa bergelut sejak enam sehingga 12 bulan lalu, iaitu usaha mereka mengejar pemain di bahagian channels (half-space). Mereka (pemain pertahanan sedia ada) tidak boleh melakukannya, dan ia menyebabkan ruang pertahanan empat atau tiga pemain di belakang terbuka.

“Tetapi dia (Tuanzebe) awal lagi sudah boleh menghidu bahaya (yang akan datang). Ole (Gunnar Solksjaer) berkata dia baru sahaja berhadapan dua pemain penyerang terbaik dunia, dan dia menghidu ancaman (dan mematikan) banyak kali.

“Beliau bergelut dengan kecederaan sebelum ini, dan beraksi perlawanan pertama dalam 10 bulan, masuk ke padang dan menampilkan aksi sebegini.

“Anda harus memberikan sesuatu untuk permainan sebaik ini, tetapi akhirnya Ole yang harus membuat keputusan.”

Bagi Solksjaer prestasi yang ditampilkan oleh Tuanzebe walaupun setelah tidak beraksi lama akibat kecederaan yang dialaminya amat mengujakan.

“Kami tahu kualiti yang dimiliki oleh Axel. Beliau adalah pemain pertahanan yang amat baik. Itu adalah perlawanan pertamanya dalam tempoh 10 bukan, dan prestasi tersebut adalah indikasi kepada kualiti yang dimilikinya.”

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.