LHDN Sekat Nidzam Adzha Ke Luar Negara

Disebabkan kesilapan orang lain, orang lain pula yang harus menanggung kepayahan. itulah nasib yang menimpa bekas penolong jurulatih Melaka, Nidzam Adzha Yusof.

Perkara itu berlaku ekoran kegagalan Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) melangsaikan cukai pendapatan jurulatih tersebut kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

LHDN sepatutnya menerima Pemotongan Cukai Berjadual (PCB) sebanyak RM2976.95 seperti yang tertera di dalam slip gaji jurulatih itu setiap bulan.

Namun demikian tiada pembayaran diterima oleh LHDN, yang sepatutnya dilakukan oleh pihak MUSA sejak Disember 2018.

Sumber: MUSA

Disebabkan perkara itu, nama Nidzam Adzha kini disenarai hitam oleh LHDN untuk ke luar negara.

“Saya telah disekat oleh LHDN untuk keluar negara sementara apabila melibatkan KWSP, saya agak terkilan kerana ia merupakan wang saya dan majikan perlu segera menyelesaikan masalah ini,” kata Nidzam seperti yang dilaporkan oleh Stadium Astro.

MUSA dilaporkan bukan sahaja gagal menjelaskan PCB Nidzam kepada LHDN. Badan bola sepak itu turut dilaporkan mempunyai tunggakan selama 10 bulan untuk pembayaran kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Tunggakan tersebut melibatkan jumlah RM40,000 dan Nidzam mengesahkan telah membuat tuntutan kepada MUSA mengenai perkara ini sebelum ianya dilanjutkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Awal bulan Ogos, saya telah menerima surat daripada pihak MUSA mengenai penyelesaian yang perlu ditangani jika saya bersetuju. Surat itu menyatakan segala tunggakan akan diselesaikan November ini namun saya berharap ia dapat diselesaikan seawal bulan ini,” tambah Nidzam lagi.

Setiausaha Agung MUSA, Asri Ninggal enggan memberi sebarang ulasan mengenai perkara ini setelah dihubungi oleh wartawan Astro Arena.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.