Lewandowski Yakin Beliau Paling Layak Memenagi Anugerah Ballon d’or Tahun Ini

Penyerang sensasi Bayern Munich, Robert Lewandowski mendakwa bahawa dirinya paling layak untuk memenangi anugerah Ballon d’or bagi tahun 2020 ini.

Namun sayangnya anugerah paling berprestij dalam dunia bola sepak itu terpaksa dibatalkan pada tahun ini ekoran dari penularan wabak Koronavirus.

Robert Lewandowski musim ini telah mengharungi musim terbaik dalam kariernya dan hal itu diakui dengan apa yang telah beliau pamerkan.

Antara pencapaian terbaiknya pada musim ini adalah, beliau merupakan pemegang kasut emas dalam saingan Liga Juara-juara, Bundesliga dan DFB Pokal.

Beliau turut menjadi nadi penting sebalik kejayaan Bayern Munich memenangi gelaran treble untuk kali kedua musim ini.

Tidak dinafikan penyerang Poland itu telah mempamerkan aksi yang sungguh luar biasa dan tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa beliau merupakan salah seorang pemain terbaik dunia ketika ini.

Namun, memandangkan anugerah ballon d’or tahun ini terpaksa dibatalkan kerana penularan wabak Koronavirus, Lewandowski terlepas peluang untuk merebut anugerah yang sepatutnya beliau mampu untuk miliki kali ini.

Walau bagaimanapun, kerana hampir kesemua liga utama di benua Eropah dan kejuaraan besar lainnya berjaya dihabiskan, terdapat ramai pihak yang mempertikaikan keputusan membatalkan anugerah tersebut.

Sebelum ini anugerah tersebut diumumkan batal kerana penularan wabak Koronavirus yang menyebabkan kesemua saingan bola sepak terpaksa digantung dan ada yang dibatalkan.

Namun kerana kesemua saingan bola sepak sudah diteruskan dan sudah ditamatkan dengan ada pemenang, maka ramai peminat menggesa untuk anugerah itu diteruskan.

Ketika ditanya tentang ini, Lewandowski menyatakan bahawa beliau selayaknya memenangi anugerah tersebut selepas mengharungi musim yang sungguh cemerlang.

Dalam satu sesi temu bual bersama sebuah program di Poland, Sportowe Fakty, Lewandowski telah ditanya siapakah yang paling layak diberikan anugerah Ballon d’or, dan beliau menjawab:

“Diri saya sendiri.”

Ketika diminta untuk menjelaskan keputusannya, Lewandowski kemudian membentangkan fakta tentang mengapa beliau memilih dirinya sendiri.

“Kami memenangi segalanya yang kami mampu bersama Bayern. Dalam setiap pertandingan seperti Bundesliga, German Super Cup dan Liga Juara-juara, saya adalah penjaring terbanyak. Saya juga faham tekanan dari pihak lain atau pemain lain yang mereka rasakan lebih hebat.”

“Tetapi ianya bukan semua pemain bola sepak boleh memenangi Golden Ball itu dengan mencapai apa yang telah saya capai.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.