Lewandowski Menamakan Salah Seorang Bintang Atletico Sebagai Penyerang Terbaik Dunia

Robert Lewandowski telah menamakan bintang Atletico Madrid, Luis Suarez sebagai salah seorang dari lima penyerang terbaik dunia masa kini.

Suarez kini baru sahaja menyertai Atletico Madrid dari Barcelona dengan yuran perpindahan bernilai £5.5 juta selepas beliau tidak mendapat tempat di bawah pengurus baru kelab gergasi Sepanyol itu.

Penyerang handalan Bayern Munich, Robert Lewandowski diakui sebagai salah seorang penyerang terbaik dunia ketika ini.

Lewandowski merupakan nadi penting dalam kemenangan treble Bayern pada musim 2019/20 yang lalu.

Beliau cemerlang menjaringkan 55 gol dan mencatatkan 10 assists untuk skuad kendalian Hansi Flick.

Sebelum bermulanya saingan Bundesliga, Lewandowski telah di minta untuk memilih penyerang terbaik dunia masa kini pilihan beliau sendiri.

Pemain kebangsaan Poland itu tidak teragak-agak untuk menamakan Luis Suarez sebagai salah seorang dari lima penyerang yang dianggap terbaik di dunia menurut beliau sendiri.

“Ianya bukan soalan yang mudah. Jika kita bercakap tentang penyerang semula jadi yang bermain di role No.9, sama seperti penyerang klasik, saya akan memilih Karim Benzema, Timo Werner, Luis Suarez, Sergio Aguero dan Kylian Mbappe.”

Suarez meninggalkan Barcelona untuk menyertai Atletico Madrid pada jendela perpindahan baru-baru ini dengan nilai £5.5 juta selepas pengurus kelab, Ronald Koeman tidak mahu menggunakan khidmatnya.

Ronald Koeman secara terang-terangan meminta Suarez untuk mencari kelab baru kerana pemain kebangsaan Uruguay itu tidak ada dalam perancangan masa depan beliau untuk Barcelona.

Bekas penyerang Liverpool itu telah melakukan debutnya untuk Atletico Madrid dalam perlawanan bertemu Granada untuk saingan La Liga awal pagi tadi.

Walau tidak diturunkan dalam kesebelasan utama, Suarez telah dibawa masuk pada minit ke-70 perlawanan menggantikan Diego Costa.

Baru dua minit sahaja beraksi di atas padang, Luis Suarez sudah berjaya untuk mencatatkan assists dan kemudian beliau berjaya menjaringkan dua gol untuk bantu Atletico membenam Granada 6-1.

Beliau membuktikan bahawa dirinya layak untuk digelar penyerang terbaik dunia selepas mempamerkan ketajaman di hadapan gol tidak kira bersama mana-mana pasukan yang beliau wakili.

Sejak musim 2009/10, Luis Suarez merupakan satu-satunya pemain selain dari Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo yang berjaya untuk memenangi gelaran kasut emas Eropah.

Beliau berkongsi anugerah tersebut bersama Ronaldo pada musim 2013/14 dengan kedua-dua mereka menjaringkan 31 gol.

Pada musim 2015/16, Luis Suarez sekali lagi memenangi anugerah tersebut selepas berjaya menjaringkan 40 gol ketika itu.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.