Lewandowski Dedah Bagaimana Klopp Bantu Beliau Menjadi Penyerang Terhebat Dunia

Robert Lewandowski telah mendedahkan bagaimana pertaruhan beliau bersama Jurgen Klopp ketika sesi latihan telah membantu dirinya untuk menjadi salah seorang penyerang terhebat dunia.

Lewandowski membantu Bayern Munich untuk memenangi gelaran treble yang cukup bersejarah pada tahun 2020 yang lalu.

Beliau juga telah menjaringkan 55 gol sepanjang tahun lalu, dan ia merupakan pencapaian yang luar biasa hebat untuk seseorang pemain penyerang.

Namun, Lewandowski bukanlah pemain yang sememangnya dilahirkan dengan bakat semula jadi sebagai penyerang yang berbisa.

Pemain kebangsaan Poland itu mula menyertai Borussia Dortmund pada tahun 2010 dan beliau ketika itu mengalami kesukaran untuk berada di negara asing dengan usianya baru 21 tahun.

Namun, semuanya berubah selepas beliau bertemu dengan Jurgen Klopp, yang mana pengurus dari Jerman itu telah membuat pertaruhan kecil bersama Lewandowski pada ketika itu.

“Ketika saya sampai, saya tak mampu untuk bercakap bahasa Jerman, saya tahu ‘danke’. Terima kasih. Saya tahu ‘scheisse’. Cuaca hujan dan mendung. Dan dengan Klopp, intensity di padang latihan sangat, sangat tinggi.”

“Saya sangat terdesak untuk mendapatkan prestasi terbaik, dan Jurgen mahu memberi cabaran kepada saya. Jadi untuk tempoh beberapa bulan awal, kami ada buat pertaruhan kecil. Jika saya menjaringkan 10 gol ketika dalam sesi latihan, dia akan beri saya €50 dan jika saya gagal, saya akan beri dia €50.”

“Beberapa minggu pertama, saya perlu bayar pada dia boleh kata hari-hari. Dia ketawa. Tapi lepas beberapa bulan, semuanya berubah. Saya kutip semua duit pertaruhan tu.”

“Jadi satu hari tu dia cakap, ‘Sudah! O.K.! Ini sudah cukup. Kamu sudah bersedia sekarang.”

Musim pertama Lewandowski beraksi beliau hanya menjaringkan sembilan gol sahaja dari 43 penampilan, ia merupakan bilangan yang sangat jauh berbeza dari catatan beliau sekarang.

Selepas bermula dengan agak perlahan, beliau kemudiannya menjaringkan 103 gol untuk Dortmund dari 187 perlawanan.

Beliau juga berjaya membantu kelab untuk memenangi dua kali gelaran Bundesliga dan mara ke perlawanan akhir liga Juara-juara pada tahun 2013.

2014 beliau membuat keputusan untuk berhijrah menyertai Bayern Munich dan hubungan baiknya bersama Jurgen Klopp masih terjalin dengan baik.

“Pada ketika itu saya tidak fikirkan sangat tentang itu. Tapi sekarang saya sedar yang perbualan saya dengan Jurgen seoalah salah satu perbualan yang saya harap saya boleh lakukan bersama ayah saya.”

“Salah satu perkara yang sudah lama saya impikan dan tidak merasakannya dalam tempoh yang sangat lama.”

“Saya boleh cakap tentang apa saja dengan Jurgen. Saya boleh percayakan dia. Dia seorang ‘family man’, dan dia banyak pengalaman dalam apa saja yang berlaku dalam kehidupan peribadi anda.”

“Jurgen bukan hanya tokoh bapa untuk saya. Sebagai pengurus, dia seolah seorang cikgu yang jahat. Dan saya maksudkan itu dalam ayat yang paling masuk akal.”

“Dia bukan cikgu yang suruh kamu dapat A, B, kamu tau? Jurgen mahu semua dapat A+. Dia bukan mahukan itu untuk dirinya sendiri. Dia mahukan itu untuk kamu.”

“Jurgen tidak pernah lupa yang kita semua manusia dan kedua baru pemain bola sepak.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.