Pembongkar rahsia (whistleblower), Grigory Rodchenkov telah melarikan diri ke Amerika Syarikat. Ini setelah beliau dikehendaki oleh pihak berkuasa di Rusia.
Peguam beliau menyatakan yang klien beliau tidak akan berundur daripada membongkar skandal dadah yang sistematik dilakukan oleh Rusia dalam membantu atlet mereka bersaing di peringkat tertinggi.
Rodchenkov kini telah menerima banyak ancaman termasuk ancaman bunuh kerana membongkar hal itu. Beliau adalah bekas pegawai anti-doping di Rusia.
Beliau memiliki banyak dokumen dan tahu akan semua program sukan di Rusia. Rodchenkov sebelum ini mendedahkan Rusia ada satu program khas untuk menyuntik bahan terlarang itu ke dalam tubuh atlet mereka dan sukar untuk dikesan oleh ujian makmal.
Kesannya, selepas pembongkaran Rodchenkov ini, Rusia telah digantung daripada menyertai Sukan Olimpik musim sejuk yang akan datang walaupun ramai atlet mereka yang bersih dengan bukti yang sahih.
IOC turut menggantung seumur hidup 43 atlet Rusia yang dengan sengaja terlibat dalam program doping yang dilaksanakan secara rahsia oleh Rusia. 42 daripada rayuan setakat ini sudah ditolak.
Rodchenkov berikrar akan terus memberikan kerjasama kepada CAS (Mahkamah Timbang Tara Sukan) berkaitan dengan dokumen yang membuktikan program itu. Beliau mahu semua yang terlibat dalam salah laku itu membayar balik perbuatan mereka.
Rodchenkov bekerja dalam Jabatan Anti-Doping Rusia sejak 2014. Beliau menyatakan beliau sudah tidak tahan dengan permainan kotor Rusia di dalam sukan.
Kini nama Rodchenkov berada dalam senarai orang yang paling dibenci di Rusia. Beliau juga menyebabkan bekas Menteri Sukan Rusia, Vitaly Mutko digantung seumur hidup kerana menjadi dalang program itu. Peguam beliau, Walden berkata:
“Rodchenkov sangat fokus untuk melakukan apa yang harus dilakukan dalam beberapa minggu akan datang.”
“Grigory dijangka akan membuat pengakuan di 2 prosiding. Dia kini sedang bersiap sedia untuk itu. Selepas beliau selesai semua ini, tugas saya memastikan beliau dalam keadaan selamat.”
Perkara yang paling merisaukan Rusia sekarang adalah, Rodchenkov juga memberitahu sukan bola sepak di Rusia juga terlibat dalam program doping itu. Ia pastinya tamparan hebat untuk bakal tuan rumah Piala Dunia itu dalam masa beberapa bulan lagi.
Namun buat masa ini, Rodchenkov hanya memberitahu beberapa orang sahaja pemain bola sepak yang terlibat. Sudah pastinya FIFA akan memberikan perhatian yang dalam ke atas situasi ini.
FIFA juga dijangka akan menghantar pasukan siasatan bebas untuk menyiasat perkara itu. Ini bagi memastikan Piala Dunia 2018 tidak dipalit dengan isu dadah. Semua pemain bola sepak yang didapati terlibat dalam program itu akan dikenakan tindakan yang berat.
Amerika Syarikat terbuka untuk membantu Rodchenkov di dalam perjuangan beliau. Jadi, buat masa ini, beliau akan tinggal di negara Uncle Sam itu untuk tujuan keselamatan.