Legenda Sapok Biki, Mengubah Sejarah Dengan Emas Acara Tinju Sukan Komanwel

Leo Maestro 2 tahun yang lalu

Sapok Biki adalah nama petinju legenda dalam sejarah sukan Malaysia. Beliau lahir pada 9 April 1974 berasal dari Simunjan, Sarawak. Selain daripada atlet tinju, Sapok Biki juga anggota tentera.

Beliau telah dipilih sebagai salah seorang atlet dalam program Jaya ’98 di bawah kendalian Majlis Sukan Negara.

Sukan tinju bukanlah sukan yang diletakkan harapan yang tinggi dalam kejohanan setinggi Sukan Komanwel. Namun, legenda ini telah meletakkan dirinya sebagai pakej kejutan dan mengubah sejarah sukan tanah air.

Sapok Biki Vs Moses Kinyua

Boleh dikatakan, sebelum final acara tinju kategori light flyweight 48 kg, Sukan Komanwel 1998, tiada siapa pun kenal akan Sapok Biki. Beliau hanya dikenali oleh peminat tinju yang benar-benar mengikuti perkembangan sukan itu.

Langkah beliau diatur untuk masuk ke ring bagi menghadapi petinju sensasi dari Kenya, Moses Kinyua dalam pertarungan final. Moses Kinyua adalah petinju yang berbakat.

Moses Kinyua mulai terlibat dalam dunia tinju dengan serius pada usia 15 pada sekitar tahun 1990. Beliau dipilih mewakili Kenya selepas pencapaian yang memberansangkan dengan beberapa kelab yang beliau wakili termasuk Kenya Railways, Kenya Posta, Kimbo Boxing Club dan banyak lagi.

Kinyua kemudian menjadi antara petinju terbaik di Afrika ketika itu dengan 4 kejuaraan benua Afrika di pinggang beliau sebelum bertandang ke Kuala Lumpur. Orang Kenya menggelar beliau Mohamed Ali versi Kenya.

Dalam perlawanan akhir menentang Sapok Biki, Kinyua diletakkan sebagai petinju pilihan. Lawan beliau hanyalah memiliki pingat perak Sukan SEA 1995 dan kecundang awal pada Olimpik 1996 di Atlanta.

Hari Final

Stadium Melawati Shah Alam dibanjiri dengan lautan manusia yang mahu melihat anak Malaysia pertama beraksi di pentas akhir tinju Sukan Komanwel dalam acara light flyweight.

Jeritan Malaysia Boleh dan Sapok, Sapok, Sapok mengiringi langkah Sapok Biki yang turut disaksikan oleh kedua-dua ibu bapa beliau.

Dalam pusingan awal, Sapok Biki telah menewaskan petinju dari Zambia dengan margin agak besar 23-6. Beliau kemudian mengejutkan Gary Jones dari England dengan kiraan mata 15-11.

Gary Jones antara petinju pilihan untuk memenangi acara tersebut dan dijangka akan menempah tiket final menentang Moses Kinyua.

Dalam sesi latihan sebelum ke final, beliau dengan bimbingan jurulatihnya Adun Pasu lebih fokus kepada taktik beliau. Sapok Biki meminta untuk tidak menonton rakaman video petinju dari Kenya yang bakal dihadapinya.

Beliau mahu fokus kepada dirinya sendiri sahaja. Adun Pasu menghormati permintaan tersebut. Beliau juga memanfaatkan sepenuhnya rehat sehari sebelum perlawanan akhir, walaupun di dalam hatinya gemuruh.

Dengan berbekalkan semangat Malaysia boleh dan doa daripada seluruh rakyat Malaysia, Sapok Biki bertarung di dalam gelanggang dengan penuh keyakinan.

Aksi lincah Sapok Biki ternyata mengejutkan Moses Kinyua. Kelebihan Sapok Biki adalah tanggannya yang sangat laju untuk melakukan counter-punch.

Beliau menggunakan segala keringat yang ada. Segala ilmu yang dibekalkan kepadanyan termasuk sesi latihan di Cuba, Maurituis dan beberapa sesi latihan khas yang lain. Beliau dibekalkan Adun Pasu dengan maklumat teperinci tentang lawan beliau.

Sapok Biki cuba membaca gerakan lawan pada fasa awal pertarungan dan setelah beliau mengenalpasti potensi kekuatan dan kelemahan lawannya, barulah beliau mengambil langkah seterusnya dengan serangan-serangan kemas untuk mengutip mata.

Sapok Biki beraksi dengan konsentrasi yang tinggi dan mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan. Masuk ke pusingan ke-5 ketika pertarungan berbaki beberapa saat, Sapok Biki sudah mengangkat tangannya, yakin yang beliau adalah pemenang di dalam pertarungan itu.

Kisah Dongeng Jadi Kenyataan!

Sapok Biki dan Moses Kinyua bersedia untuk mendengar pengumuman rasmi daripada pegawai pertandingan. Sapok diangkat tangganya oleh pengadil dan diumumkan sebagai pemenang dengan kiraan mata 16-11.

Foto – Moses Kinyua Foundation

Satu stadium gegak gempita meraikan pingat emas pertama Malaysia dari acara tinju sejak kita menyertai Sukan Komanwel pada 1930. Sapok Biki melonjak kegembiraan dan Moses Kinyua mengucapkan tahniah kepada beliau.

Beliau sendiri tidak dapat menggambarkan dengan kata-kata perasaan gembira beliau ketika itu.

“Sebaik mendengar loceng penamat, saya tahu kemenangan memihak saya. Apabila pengadil mengangkat tangan saya sebagai pemenang, kegembiraannya tidak dapat digambarkan.”

Sapok Biki menjadi hero negara. Beliau menjadi bualan di kedai-kedai kopi dan di mana sahaja. Satu kejayaan yang tidak pernah difikirkan oleh ramai peminat sukan tanah air.

Lagenda Selamanya

Pingat emas Sapok Biki ini merupakan yang ke-7 untuk kem Malaysia ketika itu sekaligus menepati sasaran yang diletakkan. Malaysia mengakhiri saingan Sukan Komanwel dengan 10 emas, lebih daripada sasaran yang diletakkan.

Meskipun bergelar juara Komanwel 1998, di peringkat Asia Tenggara, Sapok Biki gagal untuk menjadi juara.

Ini kerana beliau seangkatan dengan barisan petinju-petinju Thailand bertaraf dunia dalam acara ‘ringan’ ini, termasuk Somjit Jongjohor yang kemudiannya menjadi juara Olimpik di Bejing 2008.

Sapok meraih pingat perak di dalam 3 temasya Sukan SEA yang bebeza iaitu Chiangmai 1995, Jakarta 1997, Brunei 1999 dan Kuala Lumpur 2001.

Itulah kisah legenda Sapok Biki yang telah memberikan inspirasi kepada petinju generasi selepas itu. Pencapaian beliau di Sukan Komanwel 1998 antara pencapaian sukan terbaik dalam sejarah sukan negara kita.

SUPER SAPOK!


SHARE ()