Legenda Premier League Ini Mendakwa Grealish Sehebat Andres Iniesta

Jack Grealish telah dibandingkan dengan legenda Barcelona, Andres Iniesta oleh bekas penyerang Aston Villa, Gabby Agbonlahor.

Ketua pasukan Aston Villa itu baru sahaja menandatangani perjanjian lima tahun bersama kelab pada selasa lalu seterusnya menghentikan segala khabar angin yang mengaitkan beliau dengan pelbagai kelab lain.

Ketika pemain berusia 25 tahun itu diragui sebagai pemain terpenting dalam skuad kendalian Dean Smith, bekas penyerang Villa, Agbonlahor telah memberi kata pujian kepadanya sebagai pemain yang berada di tahap yang sangat berbeza.

Bercakap kepada talkSPORT pada Rabu lalu, Agbonlahor mendakwa bahawa pemain kebangsaan England itu mengingatkan beliau kepada Andres Iniesta diwaktu kemuncaknya.

Selain dari itu, Agbonlahor turut mendakwa bahawa beliau tidak pernah melihat mana-mana pemain memiliki bakat semula jadi sehebat Grealish.

Andres Iniesta dianggap sebagai salah seorang pemain midfield terhebat di zamannya bahkan tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa beliau merupakan pemain terbaik sepanjang zaman.

Gandingan beliau bersama Xavi telah banyak membantu Barcelona dan pasukan kebangsaan Sepanyol memenangi pelbagai kejuaraan utama.

Bekas pemain kebangsaan Sepanyol itu berjaya memenangi sembilan kali gelaran La Liga, empat kejuaraan liga Juara-juara, Piala Dunia, dua kejuaraan Euro, berada dalam FIFpro World XI sebanyak 9 kali dan berada di kedudukan kedua, ketiga serta keempat dalam anugerah Ballon d’or.

Untuk Grealish sendiri pula, beliau setakat ini hanya pernah memenangi Championship play-off bersama kelabnya dan Toulon Tournament bersama skuad bawah 21 England.

Pemain berusia 25 tahun itu baru sahaja melakukan debutnya bersama skuad kebangsaan England awal bulan lalu dalam saingan Nations League bertemu Denmark.

Beliau sering dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United sejak dari jendela perpindahan musim panas yang lalu lagi.

Namun skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer setakat ini baru menandatangani Donny Van De Beek dan tidak berminat untuk terus memancing Grealish.

Oleh kerana itu, Jack Grealish akhirnya menandatangani perjanjian baru bersama kelab untuk tempoh waktu selama lima tahun.

“Ianya satu urusan perniagaan yang sungguh bijak untuk Aston Villa.”

Jelas bekas penyerang Villa itu kepada Five Live’s Football Daily podcast.

“Apa yang terjadi disebalik beliau menandatangani perjanjian baru? Adakah Itu bermaksud tiada kelab besar yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya?”

Villa tentunya gembira Grealish menandatangani perjanjian baru bersama kelab dan pastinya semakin gembira sekiranya benar beliau mampu beraksi sehebat Iniesta.

Tidak pasti dari segi apa atau dari sudut mana yang dinilai oleh Agbonlahor sehingga beliau mendakwa Grealish sehebat Iniesta.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.