Taufik Hidayat, Kisah Legenda Backhand Dan Pemain Moden Serba Lengkap

Leo Maestro 2 tahun yang lalu

Siapa tidak kenal dengan Taufik Hidayat? Anda mungkin tidak pernah tahu akan kewujudan sukan badminton di planet bumi yang sfera ini.

Taufik Hidayat adalah legenda badminton dari Indonesia. Dianggap antara pemain perseorangan yang paling lengkap /most decorated di dalam gelanggang.

Awal karier

Taufik Hidayat meminati badminton daripada ayahnya yang seringkali membawa dan memaksanya bersama untuk bermain badminton dengan rakan-rakannya.

Dalam temuramah dengan BWF, Taufik berkata:

‘Segalanya bermula pada 1990, apabila ayah saya kerap memaksa saya untuk bermain badminton.’

Selepas menguasai sukan ini dengan lebih baik, Taufik Hidayat semakin menggilai sukan ini. Beliau dan kawan-kawannya seperti budak-budak yang lain, mahu menjadi hero badminton Indonesia pada suatu hari nanti.

Beliau banyak bermain sama ada di gelanggang di hadapan rumah beliau bersama rakan-rakan ataupun dengan ayahnya di dewan badminton.

Semakin menganjak usia beliau, Taufik Hidayat terlalu bagus untuk ditentang mana-mana pelajar seangkatan dengan beliau.

Dan, ketika usianya 13 tahun, Taufik Hidayat memenangi kompetisi Piala Aqua di Silo. Dari situlah bakatnya dikesan oleh jurulatih kelab Sangkuriang Graha Sarana (SGS) Elektrik yang berpangkalan di Bandung.

Terus berkembang sebagai juara

Beliau ditawarkan untuk menyertai kelab tersebut. Bagaikan pucuk dicita, ulam mendatang, Taufik terus menyertai kelab tersebut yang memiliki jurulatih yang hebat termasuk bekas pemain badminton kebangsaan Indonesia, Iie Sumirat.

Taufik memiliki karakter pendiam tetapi sangat rajin. Ketika di akademi, Taufik seringkali melakukan latihan tambahan sehingga 2 ataupun 3 jam lebih daripada jadual latihan asas.

Secara purata, ketika menjadi pemain profesional beliau berlatih 5 hari dalam seminggu, 2 sesi yang berdurasi 5 hingga 6 jam.

Beliau melakukan debut di arena antarabangsa secara profesional pada 1996, dalam kejohanan terbuka Indonesia. Ketika itu Taufik Hidayat baru berusia 15 tahun.

Pada usia 18 tahun, Taufik Hidayat sudah mampu melakar nama di arena segah All England. Taufik mara ke final All England pada 1999. Namun tumpas di tangan Peter Gade.

Foto – Yonex

Setahun kemudian, beliau mara lagi ke final kejohanan badminton tertua tersebut namun gagal sekali lagi selepas tewas di tangan bintang China Xia Xuanze. Selepas itu, Taufik Hidayat menjadi sensasi di seluruh dunia.

Tidak menoleh ke belakang lagi, Taufik Hidayat membangun sebagai pemain luar biasa di lapangan badminton. Beliau digelar ‘Babyface Assassin’ oleh pemain-pemain badminton lain termasuk rakan beliau.

Corak permainan

Ketenangan, visi dan skil adalah kekuatan Taufik Hidayat. Signature move beliau adalah kekuatan backhand beliau. Taufik mampu melakukan backhand smash dan juga backhand return di hujung gelanggang dengan sempurna.

Kehebatan backhand Taufik Hidayat membuatkan ramai penggemar badminton di seluruh dunia akan menggelarkan mereka Taufik Hidayat di dalam dewan badminton, sebagai tanda mereka sudah melakukan backhand luar biasa.

Selain daripada backhand, Taufik Hidayat memiliki footwork yang sangat baik di dalam gelanggang. Ketenangannya melakukan drop shot juga kerap membuatkan lawan beliau menangis di set terakhir pada malam final.

Di sebalik wajahnya yang jambu tidak garang itu, jika beliau menghayun raket untuk melakukan smash, ia tetap menjadi igauan ngeri lawan beliau. Taufik sangat hebat dalam melakukan jumping smash.

Beliau pernah melakukan smash selaju 305 km/j pada kejohanan dunia 2006 dan dianggap antara smash paling laju dalam sejarah dilakukan seorang pemain perseorangan.

Sebab itulah Taufik Hidayat dianggap most decorated player dalam era moden. Pada kemuncak karier beliau, pemain ini seakan-akan tidak ada kelemahan di dalam gelanggang.

Beliau boleh bertahan dengan baik dan menyerang dengan kejam. Tidak lupa juga, tidak ramai pemain berani mencabar beliau dengan permainan di jaring.

Taufik Hidayat seringkali membuatkan lawannya terkapai-kapai kelemasan kerana trik beliau.

Kejayaan

Untuk menyenaraikan kejohanan yang dicapai beliau sepanjang menjadi pemain badminton, ianya terlalu banyak. Beliau sudah memenangi kesemua kejuaraan penting di peringkat tertinggi.

Beliau memiliki 1 pingat emas Olimpik di Athens menewaskan Son Sheung-Mo. 4 kejuaran Piala Thomas, 2000, 2002, 2004 dan 2006.

Foto – Yonex

2 Pingat Emas Sukan Asia pada 2002 dan 2006. 1 Kejohanan Dunia pada 2005 menewaskan Lin Dan. 3 Kejuaraan Asia 2000, 2004, dan 2007.

Seteru

Sepanjang karier beliau, Taufik tergolong dalam pemain yang membentuk perseteruan elit. Perseteruan Taufik dan Lin Dan dianggap antara perseteruan yang terbaik di dunia sebelum Lin Dan – Chong Wei.

Taufik bertemu Lin Dan 17 kali. Namun hanya menang 4 daripadanya, 13 lagi milik Super Dan.

Perseteruan dengan Lee Chong Wei pula, Taufik menang 8 daripada 23 pertemuan dengan jagoan dari Malaysia itu.

Perseteruan lebih awal beliau adalah dengan Peter Gade. 16 pertemuan di antara mereka, masing-masing menang 8.

Gantung raket

Pada 2014, Taufik Hidayat memutuskan untuk bersara dari lapangan badminton. Beliau memberitahu yang kejohanan terbuka Indonesia pada tahun tersebut adalah yang terakhir untuk beliau.

Ia agak sentimental kerana, di situlah beliau bermula, dan di situlah beliau mengakhirinya. Taufik menjuarai Terbuka Indonesia sebanyak 6 kali.

Kini beliau memberikan perhatian dalam usaha membangunkan bakat muda badminton di Indonesia. Beliau menubuhkan akademi badminton yang diberi nama Taufik Hidayat Arena di Jakarta.

Nama Taufik Hidayat antara figura terpenting dalam sejarah badminton Indonesia dan juga dunia. Beliau salah satu sebab kenapa sukan ini semakin mendapat publisiti.  Ibarat Ronaldo Fenomeno di lapangan bola sepak.

Taufik dianggap pemain yang memberikan kepuasan kepada penonton dengan skil dan kelicikan beliau. Pemain yang pernah dianggap sebagai raja badminton moden ini akan kekal diingati sebagai salah seorang pemain badminton yang terbaik dalam sejarah dunia.

Taufik Hidayat masih aktif sebagai duta Yonex. Beliau kerap terbang ke serata dunia untuk mempromosikan sukan badminton. Banyak juga klinik badminton yang memanggil beliau.

Itulah kisah Taufik Hidayat, legenda badminton berwajah ‘babyface’ tetapi memiliki backhand pembunuh.

Rujukan

BWF

Wikipedia

Juara

Sekiranya anda mempunyai artikel untuk dikongsikan. Hantar di sini.


SHARE ()