Leeds United Bakal Menandatangani Bintang Bayern Munich

Leeds United kini semakin hampir pasti untuk menandatangani midfield Bayern Munich, Mickael Cuisance selepas kedua-dua belah pihak bersetuju dengan terma berkaitan pemain.

Skuad kendalian Marcelo Bielsa telah melakukan beberapa penandatanganan sensasi musim ini selepas mereka layak untuk kembali beraksi di pentas saingan premier league.

Rodrigo dan Diego LIorente antara bintang yang berjaya ditandatangani oleh Juara Championship musim lalu itu untuk menghadapi musim baru ini.

Kini Leeds United semakin hampir untuk menandatangani pemain midfield berusia 21 tahun dari Bayern Munich, Cuisance bagi menghadapi saingan liga musim ini.

Menurut laporan terbaru, Leeds sudah bersetuju dengan terma dan syarat dalam kontrak pemain tersebut untuk urusan perpindahan ini.

Menurut sumber laporan dari Fabrizio Romano, walau terma dan syarat dengan pemain sudah dipersetujui, namun kedua-dua belah pihak belum mendapatkan kata putus lagi.

Namun menurut sumber dalam kelab, Juara saingan Bundesliga itu sanggup untuk menjual pemain muda mereka.

Leeds juga telah mencuba untuk menandatangani midfield dari Udinese, Rodrigo De Paul.

Rodrigo sudah bersetuju untuk menandatangani perjanjian bersama Leeds namun kelabnya tidak bersetuju untuk melepaskan beliau.

Sebenarnya sudah beberapa kali Leeds menghantar bidaan untuk mendapatkan pemain Argentina itu namun semuanya ditolak.

Oleh kerana kelab tidak mahu mengeluarkan dana lebih dari €25 juta, maka Leeds menarik diri dan terus mendekati Cuisance.

Bayern sanggup untuk melepaskan pemain Perancis yang baru mereka tandatangani dari Borussia Monchengladbach pada tahun 2019 lalu, dengan nilai €10 juta, kerana beliau mahu mendapat minit permainan.

Sebenarnya ada alasan lain mengapa Juara saingan Liga Juara-juara musim lalu itu melepaskan bintang muda harapan mereka meninggalkan Allianz Arena.

Menurut sumber laporan Bild, Cuisance dan Robert Lewandowski bertengkar ketika sesi latihan pada hari Isnin lalu selepas bintang Poland itu mengasari pemain muda tersebut.

Cuisance bingkas bangun selepas dikasari oleh Lewandowski dan bersemuka dengannya sebelum kedua-dua mereka berpaling dan tidak bertegur sapa.

Hansi Flick juga dilaporkan terpaksa untuk masuk campur dalam urusan tersebut dan bercakap dengan pemain muda itu tentang insiden tersebut.

Berjaya untuk kembali ke pentas premier league untuk pertama kali dalam tempoh 15 tahun, ianya merupakan permulaan yang baik untuk Leeds memulakan kempen musim ini.

Juara Championship itu bermula dengan tewas 4-3 kepada Juara Premier League kemudian mereka meneruskan rentak kemenangan dengan menewaskan Fulham dan Sheffield United.

Leeds pastinya akan memberi saingan yang luar biasa kepada kesemua pasukan yang bersaing dalam pentas premier league musim ini.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.