Lautaro Martinez Dilaporkan Menandatangani Perjanjian Bersama Real Madrid

Menurut satu laporan yang mengejutkan dari Itali, bintang Inter Milan, Lautaro Martinez dilaporkan sudah menandatangani perjanjian bersama Real Madrid.

Martinez yang kini berusia 23 tahun dilaporkan bersetuju untuk menyertai Real Madrid dalam perjanjian dipercayai bernilai £92 juta.

Menurut laporan sama juga, perjanjian tersebut melibatkan pertukaran dengan Luka Jovic dilaporkan akan berhijrah ke Inter Milan sebagai sebahagian dari perjanjian.

Pemain antarabangsa Serbia itu menyertai Real Madrid pada tahun 2019 tetapi gagal memberikan sebarang impak untuk pasukan sejak ketibaannya.

Beliau menandatangani perjanjian bersama Real Madrid ketika itu dengan nilai £55 juta dari Eintracht Frankfurt.

Sementara itu, Martinez pula sudah menjadi pemain terhangat dalam pasaran pemain musim panas ini ekoran dari aksi cemerlangnya bersama Inter Milan.

Beliau telah menjaringkan 30 gol untuk Inter Milan sejak ketibaannya dari Racing Club pada tahun 2018 yang lalu.

Lautaro Martinez menjaringkan 21 gol dalam semua pertandingan musim lalu dan beliau menikmati musim tersebut sebagai musim terbaik dalam kariernya.

Pemain kebangsaan Argentina itu sebelum ini sering dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona.

Barca sudah memantau perkembangan beliau sejak dari musim lalu dan mahu menandatanganinya pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Tetapi, dengan tiba-tiba pasukan seteru mereka pula yang masuk jarum dan berminat untuk menandatangani Martinez pada musim panas ini.

Real Madrid sehingga kini masih belum melakukan mana-mana penandatanganan mega sejak dari jendela perpindahan dibuka.

Kelab tidak mahu menandatangani pemain pada jendela perpindahan musim panas ini kerana mahu mengelakkan masalah ekonomi kelab selepas penularan wabak Koronavirus.

Kelab bersedia untuk melakukan beberapa penandatanganan pada jendela perpindahan akan datang dengan nama seperti Kylian Mbappe, Dayot Upamecano dan Eduardo Camavinga berada dalam senarai utama kelab.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.