Lapan Pemain Utama City Mahu Meninggalkan Etihad Kerana Tidak Puas Hati Dengan Kelab

Pep Guardiola bakal melakukan rombakan besar-besaran menjelang musim panas ini dengan laporan terbaru menyatakan lapan pemain akan meninggalkan Etihad musim panas ini.

Selepas kekalahan 1-0 di tangan Chelsea dalam aksi perlawanan akhir saingan Champions League, Manchester City berkemungkinan akan mengucapkan selamat tinggal kepada lapan pemain utama mereka.

Guardiola jelas telah melakukan kesilapan ketika aksi Di Porto kemarin, dengan gol jaringan Kai Havertz dan persembahan mantap yang ditunjukkan oleh skuad Chelsea menafikan hak City untuk memenangi gelaran Champions League pertama mereka.

Pada pertengahan musim lalu, Manchester City menjangkakan mereka akan mengakhiri kempen 2020/21 ini dengan menjulang empat Piala kejuaraan.

Namun selepas berakhirnya kempen musim ini, Manchester City hanya berjaya mencatatkan kejayaan double sahaja selepas memenangi gelaran Premier League dan Carabao Cup.

Mereka ketika ini sedang dalam persiapan untuk menyediakan skuad yang lebih rapi menjelang sepak mula musim baharu nanti.

Kedua-dua Jack Grealish dan Harry Kane dilaporkan berada dalam senarai kegemaran Guardiola untuk ditandatangani pada musim panas ini.

Walau bagaimanapun, beliau juga berkemungkinan akan kehilangan lapan pemain utamanya, yang sama sekali tidak gembira dengan peranan masing-masing di Etihad.

Menurut sumber laporan The Athletic, Aymeric Laporte, Gabriel Jesus, Raheem Sterling, Joao Cancelo, Rodri, Benjamin Mendy, Bernardo Silva dan Riyad Mahrez juga berkemungkinan akan meninggalkan Etihad pada musim panas ini.

Laporte sepertinya sudah tidak mendapat tempat dalam sistem pertahanan Pep Guardiola pada musim ini.

Ketibaan Ruben Dias dilaporkan adalah untuk membina gandingan antaranya bersama Laporte, namun apa yang berlalu ketika ini tidak seperti apa yang dirancang oleh City sebelum ini.

Dias lebih kerap digandingkan dengan John Stones yang sebelum ini pernah menyatakan hasratnya untuk meninggalkan Etihad pada musim panas lalu.

Sejak Disember lalu, gandingan Dias dan Stones terus menunjukkan peningkatan yang mendadak dan telah berjaya membantu City untuk merampas kejuaraan liga musim ini dari Liverpool.

Minit permainan untuk Gabriel Jesus juga sama sekali tidak ada peningkatan pada musim ini, dan walau ketiadaan Aguero, bintang Brazil itu tetap diketepikan oleh Pep.

Guardiola lebih kerap menggunakan peranan false nine sepanjang musim ini dan andai Grealish dan Kane menyertai City musim hadapan, masa depan Jesus tentunya semakin malap.

Sterling turut diturunkan ketika aksi bertemu Chelsea kemarin, namun ia sebenarnya satu kejutan dari kesebelasan pilihan Guardiola pada ketika itu.

Ramai yang tidak menjangkakan Pep akan menurunkan Sterling dalam perlawanan ini kerana aksi beliau sangat merosot sejak suku kedua saingan musim ini.

Beliau hanya mempunyai baki kontrak selama dua tahun sahaja lagi bersama City, jadi andai beliau tidak menandatangani perjanjian baru dan tidak mendapat minit permainan yang cukup, maka beliau mungkin akan meninggalkan Etihad secara percuma sahaja musim hadapannya.

Hal yang sama turut berlaku kepada Riyad Mahrez walau bekas pemain Leicester City itu lebih kerap dipilih berbanding Sterling sepanjang musim ini.

Beliau juga hanya mempunyai baki beberapa tahun sahaja dalam kontraknya dan ketika perjanjiannya tamat, usia beliau pada ketika itu sudah 32 tahun dan sukar untuknya mencari kelab baharu di usia tersebut.

Cancelo juga dilaporkan pernah mempertimbangkan untuk meninggalkan kelab pada tahun lalu, namun beliau musim ini sudah mendapat peranan yang lebih besar dalam sistem Guardiola.

Walau bagaimanapun, Cancelo juga sepertinya sudah hilang tempat dalam kesebelasan utama City dan menyebabkan beliau sekali lagi mempertimbangkan untuk meninggalkan kelab.

Sementara untuk Rodri pula, rasa tidak puas hati beliau pada kelab semakin membuak-buak selepas dirinya diketepikan terus dari skuad ketika bertemu Chelsea kemarin.

Ketiadaan nama beliau dan Fernandinho dalam kesebelasan utama City pada ketika itu juga sudah cukup mengejutkan para peminat.

Mendy antara pemain yang paling hampir pasti untuk meninggalkan kelab pada musim panas ini selepas melihat bagaimana Pep tidak memerlukan khidmatnya.

Beliau hanya membuat 11 penampilan sahaja dalam aksi saingan Premier League musim ini, dan kerana itulah Mendy berhasrat untuk keluar dan mendapatkan lebih banyak minit permainan bersama pasukan lain.

Akhir sekali, Bernardo Silva pula mahu meninggalkan City dengan alasan bahawa tiada jaminan untuk beliau sentiasa berada dalam kesebelasan utama pilihan Pep.

Beliau mungkin akan dijual pada musim panas ini dengan City mahu mendapatkan dana tambahan untuk menandatangani dua bintang England yang nilainya mencecah £100 juta setiap seorang itu.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.