LaLiga Gantung Barcelona Beli Pemain, Impian Dapatkan Depay Dan Wijnaldum Musnah

Perpindahan sensasi Georginio Wijnaldum dari juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Liverpool ke Barcelona tidak boleh diteruskan kerana peraturan ketat mengenai kedudukan kewangan yang ada di LaLiga.

Pengurus baharu Barcelona, Ronald Koeman sebelum ini berkata pemain tengah Belanda berusia 29 tahun itu adalah sasaran utama beliau untuk dibawa masuk ke Nou Camp pada jendela perpindahan musim panas ini.

Selain Wijnaldum, Koeman turut dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain Lyon, Memphis Depay.

Namun demikian kedudukan kewangan Barcelona tidak membenarkan kelab Catalan itu untuk berbuat demikian, setelah turut terkena tempias wabak yang menular dunia.

Menurut laporan Daily Mirror, Barcelona kini perlu menanggung beban bayaran gaji berjumlah £510 jta setahun, dan haruslah menjual pemain terlebih dahulu untuk meringankan beban kewangan sedia ada sebelum memasang niat membeli pemain baharu.

Pada masa yang sama Barcelona dilaporkanharus membayar jumlah wang perpindahan yang sama kepada kerajaan Sepanyol sebagai balasan bantuan kewangan yang diterima ketika krisis yang dibawa oleh wabak.

Selain itu, LaLiga juga hanya membenarkan semua kelab utama di Sepanyol untuk berbelanja membeli pemain berdasarkan kedudukan kewangan mereka sejak lima tahun lalu.

Semua itu membuatkan kemungkinan untuk Barcelona membawa masuk Memphis Depay dan Georginio Wijnaldum sebagai mustahil.

Joris Evers, yang merupakan pengarah komunikasi LaLiga turut tampil menjelaskan situasi tersebut.

“Kami [LaLiga] mempunyai sistem kewangan yang lebih ketat daripada UEFA Financial Fair Play (FPP),” kata Evers.

“Di UEFA, mereka hanya melihat angka pada setiap penghujung musim. Kami pula meletakkan standard tersendiri sebelum bermulanya musim.

“Sekiranya Barcelona cuba melakukan rundingan pintu belakang sekali pun, pakar analisis kami terlebih dahulu akan mengetahuinya.

“Kelab-kelab sebelum ini bersetuju dengan sistem ini (tidak boleh beli pemain baru) ketika keadaan kelab bergelut untuk membayar gaji pemain. Tidak ada sesiapa mahu kembali kepada keadaan dulu.

Untuk rekod, LaLiga pernah dilanda masalah hutan dan kegagalan gaji pemain yang teruk sehingga satu sistem peraturan kewangan diperkenalkan untuk memulihkan kedudukan kewangan setiap kelab.

Wabak yang melanda dunia pada tahun ini nyata memberi kesan negatif kepada kewangan Barcelona yang dikatakan mengalami kerugian berjumlah £300 juta sejak enam bulan lalu.

Malah laporan dari Sepanyol turut berkata Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu turut meminta Lionel Messi menerima pemotongan gaji sebaik sahaja pemain itu bersetuju untuk terus kekal di Nou Camp pada musim ini.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.