Ganas, padu, tepat, buas, ini adalah antara perkara yang bermain di minda tatkala nama Buakaw disebut. Sombat Buakaw Banchamek adalah seorang superstar dalam sejarah Muay Thai. Nama beliau adalah tidak asing lagi kepada penggemar dan peminat martial arts.
Beliau telah bertarung lebih dari 300 buah perlawanan sepanjang 20 tahun kariernya yang penuh suka dan duka.

Buakaw dilahirkan pada 8 May 1982 di Surin, Thailand. Ketika umurnya lapan tahun beliau telah menghadiri sebuah perlawanan Muay Thai di kampungnya. Melihatkan keterujaan penonton yang memuja dan memekik nama peninju membuatkan beliau menanam cita-cita untuk menguasai gelanggang itu suatu hari nanti.
Beliau pulang ke rumah selepas perlawanan itu dan berbincang dengan ibu-bapanya tentang hasratnya untuk menjadi peninju Muay Thai. Ibu-bapanya membenarkan dan Buakaw mula berlatih di sebuah pusat latihan beberapa hari kemudian.
Fizikal Buakaw yang mantap adalah berkat menjalani disiplin latihan yang teratur dan tekun di gym. Beliau akan bangun seawal pukul 5.30 pagi dan berlari sehingga 10 batu sebagai pemanas badan.
Selepas itu beliau akan melakukan rutin latihannya yang mengandungi 15 pusingan berlatih punching bag, menumpukan kekuatan dan kestabilan, dan sparring. Pada pukul 3 petang pula beliau akan berlari lagi sekali dan menyambungnya dengan 15 pusingan latihan punching bag sehinggalah pukul 7 atau 8 malam baru beliau akan berhenti untuk makan malam.
Ini adalah rutin yang dilakukannya sehari-hari tanpa berhenti! Dan jika ada pertarungan, beliau akan melipatgandakan rutinnya untuk menambah kekuatan.
Buakaw adalah peninju yang tidak mendapat status elit di Thailand. Pada awal kariernya beliau tewas empat daripada lima pertarungan peringkat nasional di Lumpinee Stadium. Kekalahan itu hampir membuatkannya berputus asa.
Mujur rakan-rakan di gym banyak membantu dan menaikkan semangatnya semula untuk terus bertarung. Tuahnya datang apabila beliau dijemput untuk menyertai kejohanan K-1, sebuah kejohanan pertarungan peringkat antarabangsa dimana beliau berjaya mengungguli dan menjuarai kejohanan itu seterusnya mendominasi arena pertarungan dan mendapat banyak peminat dari seluruh dunia.
Pada tahun 2014 semasa beliau aktif menyertai pertarungan, Buakaw telah menandatangani kontrak dengan sebuah keab bola sepak di divisyen dua Thailand. Kelab itu, RBAC FC terpesona dengan Buakaw yang dilihat bagus sebagai seorang penyerang.
Ketika membuat keputusan untuk menyertai bola sepak professional, Buakaw berkata beliau sangat meminati bola sepak semenjak dari kecil, dan untuk bermain dan beraksi sebagai pemain bola sepak professional adalah salah satu dari impiannya.

Buakaw pada hari ini dikenali sebagai Buakaw Banchamek, pada zaman kehebatannya beliau membawa nama gym terkenal di tempatnya berlatih dan lebih dikenali sebagai Buakaw Por. Pramuk. Pergeseran antara Buakaw dan gym Por.Pramuk berlaku apabila pengurus gym itu dilaporkan menyeleweng hampir 95% daripada pendapatan Buakaw.
Pada tahun 2012 Buakaw dilaporkan menghilangkan diri dan tidak kelihatan di gym tersebut. Beliau secara tiba-tiba membuat kemunculan di sebuah rancangan talks show Thai dan meminta maaf kepada peminat atas kehilangannya.
Dalam rancangan itu Buakaw telah mengakui pengkhianatan yang dilakukan oleh gym Por. Pramuk keatasnya dan membuat keputusan untuk bersara dari bertarung untuk menamatkan sebarang hubungan dengan Por. Pramuk.
Beberapa bulan dalam tempoh persaraannya, terdapat beberapa laporan mendakwa Buakaw dilihat sedang berlatih Jiu Jitsu, Judo, Wrestling dan Tinju. Ini menimbulkan spekulasi hangat yang menyatakan bahawa Buakaw sedang mempersiapkan diri untuk menceburi MMA dimana perkara ini tidak melanggar kontrak antaranya dengan Por. Pramuk.
Malangnya ia tidak berlaku sama sekali dan beliau kembali semula ke gelanggang pada bulan ogos 2012.
Selepas keluar daripada Por. Pramuk, atas bantuan sponsor, Yokkao, Buakaw membina sebuah gym-nya sendiri di kampung tempat asalnya. Gym itu hanya mengambil masa selama 10 hari untuk dibina dan dinamakan sebagai Banchamek Gym.
Tujuan beliau membina gym itu adalah untuk membantunya berlatih di samping dapat membantu kanak-kanak yang meminati Muay Thai.

Pada tahun 2013, Buakaw dianugerahkan ijazah Masters of Sport Science oleh University Kasersart atas penglibatannya dalam sukan dan menjadi antara atlet yang sangat dihormati di Thailand.
Beliau juga menerima Ph.D dalam Regional Development Strategies oleh University Surindra Rajabhat kerana menjadi duta seni dan warisan Thailand di mata dunia.
Populariti dan pencapaian beliau selama bertahun-tahun telah menjadikannya lagenda untuk sukan Muay Thai dan K-1. Beliau beberapa kali menjadi WMC Champion, WBC Muay Thai Diamond Champion, Omnoi Stadium Champion, Shooto Boxing S-Cup World Champion, Thai Fight World Champion dan merupakan peninju pertama memenangi K-1 World Max sebanyak dua kali.

Buakaw Banchamek ternyata adalah seorang peninju agung pada generasi sekarang, pencapaian dan kehebatannya diharap akan berterusan kerana dunia tidak pernah puas melihat beliau memperagakan aksi membelasah lawan dengan penuh bersahaja.