Lagenda Nombor 10

Foto – ColumnLife

Mokhtar Dahari mencapai kemuncak kariernya dengan pasukan kebangsaan ketika beliau mula menyarung jersi nombor 10. Jersi yang sebelumnya dipakai berganti-ganti oleh lagenda seperti Ibrahim Mydin, Shaharudin Abdullah, James Wong dan Bakri Ibni, menjadi hak milik kekal Mokhtar Dahari setelah beliau tampi memukau dalam satu perlawanan.

Sepanjang kariernya menyarung jersi nombor 10, Mokhtar telah meletakkan satu standard yang tinggi kepada pemakainya. Ini telah mencipta keramat pada jersi itu sendiri sehinggakan ramai pemain menolak untuk menyarung jersi itu berikutan khuatir tidak mencapai piawaian standard yang telah ditetapkan.

Peminat bola sepak dunia ketika itu telah dididik dengan kehebatan pemain bernombor 10. Kebanyakan daripada penyarungnya merupakan tonggak utama pasukan yang sering membantu dan menjadi wira di dalam sesuatu perlawanan. Penyokong yang hadir ke stadium sanggup berkorban dan membelanjakan wang untuk menyaksikan pemain kegemaran mereka beraksi di stadium.

Keramat Nombor 10

Foto – Dynamo Kiev

Pemain nombor 10 dianggap bahaya dan ancaman kepada pasukan lawan. Mereka seringkali menjadi mangsa kekasaran pertahanan pasukan lawan berikutan kelincahan dan kehebatan yang dimiliki oleh pemain bernombor 10.

Dunia menyaksikan kemunculan ramai bintang-bintang hebat yang menyarung jersi nombor 10. Antaranya ialah, Jose Leandro Andrade (Uruguay), Pele (Brazil), Michel Platini (Perancis), Maradona dan Mario Kempes (Argentina).

Antara pemain lagenda negara kita yang menyarung jersi nombor 10 pula ialah Ghani Minhat, Arthur Koh, Syed Ahmad, Robert Choe, N. Thanabalan, Mohd Nor Khamis, dan Mokhtar Dahari sendiri.

kekeramatan nombor ini seolah menjadi kemestian kepada kehebatan pemain yang menyarungnya. Contohnya seperti Andrade, pemain yang digelar sebagai The Man With The Golden Feet ini bertanggungjawab membawa Uruguay menjadi pasukan yang disegani sekitar era 30an.

Aksinya di padang begitu memukau, beliau seolah-olah memiliki kemampuan untuk menarik bola kepadanya seterusnya menjaringkan gol. Begitu juga dengan Pele, bermula sebagai budak mentah pada usia 18 tahun, beliau tampil hebat dan mengagumkan dengan aksi-aksi lincah yang sukar dihambat oleh pemain lawan.

Ada juga penjaring gol yang memakai nombor lain seperti 8 atau 9, tetapi aura kehebatan tetap terletak kepada pemain nombor 10. Pele, Maradona, dan Platini adalah antara mereka yang menjadi perhatian di peringkat antarabangsa.

Perubahan

Foto – bco.com.my

Bagaimanapun, di Malaysia pada awalnya dahulu pemain-pemain terkenal seperti Ghani Minhat, Aurthur Koh, Syed Ahmad, Mohd Nor Khamis, Ibrahim Mydin dan Mokhtar Dahari sering bertukar-tukar nombor jersi mengikut posisi.

Tetapi bermula pada 1974, kedudukan Mokhtar sebagai penyerang sudah sah dengan jersi nombor 10 kekal menjadi miliknya. Mokhtar telah meletakkan dirinya menjadi penjaring terkemuka skuad negara ketika itu.

Pemain antarabangsa yang lain mengakui kehebatan Mokhtar dan sentiasa berwaspada dengannya ketika bertemu di atas padang.

Dalam masa yang sama ketika itu, pasukan Selangor melakukan perubahan dengan membenarkan pemain untuk menyimpan dan memiliki nombor jersi yang disukai. Mokhtar memilih untuk menyimpan nombor 10, Soh Chin Aun memilih nombor 3, dan R. Arumugam mengambil jersi nombor 22.

Memandangkan pasukan kebangsaan ketika itu diwakili sebahagian besarnya dari pemain pasukan Selangor, maka perubahan ini diteruskan ke dalam pasukan kebangsaan, dan secara perlahan dipraktikkan pula oleh pasukan negeri yang lain.

Jersi Rebutan

Apa yang dilakukan Mokhtar untuk mendapatkan nombor 10 ialah beliau berjuang dan menjaringkan gol yang banyak untuk memahat namanya sebagai pemilik jersi keramat itu. Ketika beliau menamatkan karier antarabangsanya pada tahun 1985, nombor 10 pasukan negara hanya boleh disarungkan oleh pemain yang handal sahaja.

Jurulatih pasukan kebangsaan ketika itu, Haji Ahmad Shafie mengatakan;

Jersi nombor 10 menjadi rebutan murid-murid di sekolah kerana masing-masing bercita-cita mahu menjadi Supermokh! Tetapi apabila saya meletakkan jersi mengikut susunan nombor untuk dipilih oleh pemain kebangsaan, mereka masing-masing cuba mengelak dari mengambil nombor itu kerana bimbang tidak mencapai taraf yang ditetapkan.

Perlu diingatkan di sini bahawa sekalipun para pemain tahun 1974 diberi kelonggaran untuk memilih nombor jersi masing-masing, para jurulatih telah menerapkan disiplin dan kaedah dalam pemilihan nombor jersi.

Contohnya pemain pertahanan digalakkan mengambil nombor yang kecil seperti nombor 2, 3, 4, 5, dan pemain penyerang pula akan memakai nombor yang besar seperti nombor 8, 9, 10.

Jika perubahan posisi berlaku di mana pemain bahagian serangan ditukar menjadi pemain pertahanan, nombor jersi mereka akan turut bertukar.

Terus Bersinar

blank
Foto – Carigold

Idaman setiap penyerang ialah memakai jersi nombor 10. Mokhtar mula menggunakan jersi itu ketika bersama Selangor. Pada kejohanan Pestabola Merdeka edisi 1973, Mokhtar dipilih mewakili pasukan negara, tetapi nombor 10 ketika itu digunakan oleh Shaharudin Abdullah.

Malaysia berjaya menjuarai kejohanan itu dengan mengalahkan Kuwait 3-0 dalam perlawanan akhir. Dua daripada tiga gol itu dijaringkan oleh Mokhtar. Dan pada tahun 1974, Mokhtar secara rasminya mengambil alih nombor keramat itu di peringkat nasional.

Detik itu juga menyaksikan Shaharudin kali terakhir mewakili pasukan negara. Pengurus pasukan ketika itu, Datuk Haji Harun Idris dan jurulatih, Jalil Che Din mengambil keputusan untuk menyerahkan jersinya kepada Mokhtar.

Pada masa yang sama, penyerang terkenal, Syed Ahmad dari Perak dipanggil semula mewakili pasukan negara untuk bergandingan dengan Mokhtar.

Malaysia berjaya mengekalkan kedudukanya sebagai gergasi bola sepak Asia ketika itu dengan mengalahkan Korea Selatan 1-0 dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka 1974.

Angka 10 terus membawa tuah buat Mokhtar apabila beliau berjaya membawa skuad negara untuk beraksi dalam Sukan Asia 1974 di Tehran buat pertama kali dalam sejarah. Gandingannya bersama Isa Bakar membolehkan Malaysia memenangi pingat gangsa dalam kejohanan itu.

Malaysia berjaya mengalahkan Korea Utara dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dengan 2-1.

Persaraan Mengejutkan!

Pada bulan November 1979, Mokhtar menggemparkan bola sepak negara apabila mengumumkan persaraannya. Beliau membuat keputusan itu selepas tidak berpuas hati dengan cara pengurusan pasukan bola sepak negara.

Sebuah lagu dicipta untuk memujuk beliau dari persaraan bertajuk Jersi 10 Pujaanku yang dinyanyikan oleh Jeffri Din. Mokhtar yang menghadiri sesi rakaman lagu itu berasa cukup terharu dengan penghargaan yang diberikan kepada beliau.

Sepanjang 11 bulan persaraanya, jersi keramat nombor 10 disarung oleh pemain dari Perlis, Bakri Ibni ketika mengharungi perlawanan kelayakan Olimpik.

Sehingga kini, nombor 10 pasukan negara kekal menjadi lagenda atas kehebatan yang pernah dicipta oleh Mokhtar Dahari. Hanya pemain yang melepasi syarat tertentu sahaja layak diberikan nombor jersi itu.

Mereka yang memiliki semangat patriotik yang tinggi, handal dan tangkas bermain bola adalah calon yang menepati syarat dan piawaian yang telah ditetapkan sendiri menerusi kehebatan lagenda bola sepak negara itu.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.