Kylian Mbappe Dalam Perundingan Bersama Liverpool Dan Real Madrid

Kylian Mbappe dilaporkan dalam perundingan bersama Real Madrid dan Liverpool berkaitan perpindahan pada jendela perpindahan musim panas akan datang.

Pemain berusia 21 tahun itu tidak menyembunyikan hasratnya untuk meninggalkan Paris Saint Germain di masa hadapan dan waktunya berkhidmat di ibu kota Perancis itu akan berakhir.

L’Equipe telah melaporkan bahawa Mbappe masih lagi belum memutuskan untuk menyertai mana-mana kelab, tetapi beliau sedang berkira-kira untuk berunding dengan beberapa pasukan dan akan memutuskannya pada penghujung musim nanti.

Kontrak Mbappe akan tamat pada 2022 jadi perjanjian yang dibuat pada jendela perpindahan musim panas akan datang akan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak beliau sendiri dan PSG.

Sehingga kini dipercayai tiada tanda-tanda bahawa Mbappe akan melanjutkan kontraknya bersama PSG dan beliau jelas mahu pergi.

Pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu dikatakan mungkin akan menyertai Los Blancos selepas melihat beliau membesar dengan mengidolakan pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane itu sendiri.

Zidane telah lama berminat untuk menandatangani Mbappe dan Madrid sendiri juga berfikir bahawa pemain sayap PSG itu merupakan pemain paling sempurna untuk memimpin generasi baru ‘Galacticos’.

Tetapi Liverpool juga mungkin bakal menjadi destinasi seterusnya untuk Mbappe kerana beliau sendiri secara terang-terangan mengakui bahawa dirinya sangat mengagumi kepimpinan Jurgen Klopp.

Klopp menolak peluang untuk menandatangani Mbappe pada awal tahun lalu dengan menyatakan:

“Membeli pemain berkaliber adalah satu hal yang sangat sukar.”

“Saya tidak nampak mana-mana kelab yang mampu membeli Kylian Mbappe dari PSG ketika ini. Saya tidak nampak mana-mana kelab, begitulah keadaannya sekarang. Dan kami adalah kelab yang tidak mampu untuk terlibat dalam hal seperti ini. Ianya sangat mudah dan jelas untuk difahami.”

“Ok, dari sudut pandangan berkaitan sukan, ia tiada alasan untuk kami tidak menandatangani beliau. Dia merupakan seorang pemain yang hebat dan luar biasa mengagumkan.”

“Tetapi ini tentunya berkaitan dengan soal kewangan. Tiada peluang untuk kami. Jelas sekali ia tiada peluang untuk kami. Maaf kerana mematikan isu ini dengan cara begini.”

Liverpool sejak menjulang kejuaraan saingan liga musim lalu telah menandatangani tiga pemain pada jendela musim panas ini.

Kostas Tsimikas, Thiago Alcantara dan Diogo Jota merupakan tiga pemain yang dibawa masuk oleh Klopp pada jendela perpindahan kali ini.

Melihat kepada cara Liverpool tidak kedekut untuk berbelanja seperti sekarang dan kepintaran Michael Edward, tidak mustahil mereka mampu untuk mendapatkan Kylian Mbappe musim hadapan.

Liverpool dan Real Madrid adalah dua pasukan yang paling berpotensi untuk menandatangani Kylian Mbappe dan pastinya mana-mana pasukan yang berjaya mendapatkan beliau, pasti beruntung.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.