Kroos Balas Sindiran Mount Dengan Menganjing Bintang Chelsea Itu

Toni Kroos telah membalas kenyataan dari Mason Mount yang menganjing beliau ketika sesi temu bual selepas tamat aksi kekalahan Real Madrid di tangan Chelsea.

Mason Mount memainkan peranan penting dalam membantu Chelsea membenam Real Madrid 2-0 di Stamford Bridge awal pagi semalam.

The Blues berjaya mara ke perlawanan akhir saingan liga Juara-Juara selepas menyingkirkan Los Blancos dengan aggregate 3-1.

Komen awal Kroos ketika sebelum bermula aksi leg kedua telah menarik perhatian Mason Mount yang dengan tiba-tiba menganjing semula pemain midfield Los Blancos itu semalam.

Selepas aksi kemenangan 2-0 mereka menewaskan gergasi La Liga itu, Mount dalam temu bualnya telah menyatakan:

“Saya lihat salah seorang pemain mereka (Kroos) mengatakan yang tidur dia sama sekali tidak diganggu oleh mana-mana pemain kami. Tapi mungkin tidur dia akan terganggu kerana kami sebagai sepasukan.”

Bintang handalan Jerman itu kemudiannya membalas semula kenyataan Mount melalui laman twitter miliknya dengan mengucapkan tahniah sambil menganjing pemain muda Chelsea itu dengan menyatakan:

“Semoga berjaya untuk perlawanan akhir CL pertama kamu.”

Kenyataan itu jelas menganjing Mount yang mungkin terlebih gembira kerana layak ke perlawanan akhir buat pertama kalinya.

Sedangkan beliau sendiri sebelum ini sudah beraksi dalam tiga perlawanan akhir Champions League bersama Real Madrid serta memenanginya.

Selain memenangi tiga perlawanan akhir bersama Madrid, Kroos turut pernah melakukan hal sama ketika beraksi bersama Bayern Munich.

Pemenang empat kali gelaran liga Juara-Juara dan juga pemenang Piala Dunia 2014 bersama Jerman itu sebelum ini pernah ditanya tentang pemain Chelsea paling sukar untuk dihadapi.

“Pemain paling sukar untuk dihadapi di Chelsea? Tak ada seorang pemain pun yang boleh mengganggu tidur saya selama 15 tahun ini.”

Jelas Kroos.

“Mereka bermain dengan baik sebagai satu pasukan, tapi saya tak boleh namakan sesiapa kepada kamu.”

Sebenarnya ia bukanlah satu provokasi yang terlalu teruk dari Kroos, namun Mount mungkin mendengar atau membaca kenyataan itu dan bersedia untuk menggunakan semula andainya beliau berjaya membawa Chelsea ke perlawanan akhir.

Selain menggunakan kenyataan itu untuk menganjing Kroos, pemain berusia 22 tahun itu juga turut menyumbang sesuatu kepada Chelsea ketika berada di atas padang.

Gandingan beliau bersama N’Golo Kante berjaya mendominasi bahagian midfield menewaskan duo berpengalaman seperti Kroos dan Luka Modric.

Timo Werner mencatat nama sebagai penjaring pertama dalam perlawanan ini sebelum Mount menjaringkan gol yang cantik untuk melengkapkan kemenangan 2-0 Chelsea menewaskan Madrid.

Hasil kemenangan 3-1 secara aggregate, Chelsea mara ke perlawanan akhir bertemu Manchester City di Istanbul bulan hadapan.

Mungkin Kroos boleh tidur lena ketika aksi perlawanan akhir itu dengan Mount bakal terus mempamerkan bakat hebatnya di pentas terbesar Eropah.

Mount Menganjing Semula Komen Kroos Yang Menyindir Pemain Chelsea

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.