Mokhtar Dahari merupakan figura bola sepak negara yang paling terkenal. Beliau adalah ikon dan lagenda yang disegani kawan mahupun lawan. Bagaimanapun, sepanjang kariernya yang cemerlang, beliau pernah mencipta kontroversi dengan dua kali mengumumkan persaraan.
Pengumumannya menggemparkan seluruh negara yang ketika itu amat menagih sentuhan ajaibnya dalam skuad kebangsaan. Mokhtar dikenali sebagai individu yang sensitif dan berjiwa lembut.
Berbeza dengan aksinya ketika di padang, beliau akan bertukar karakter menjadi seorang yang keras hati, cekal, dan bersungguh-sungguh dalam memastikan kemenangan buat pasukan yang diwakilinya.
Filipina dan Burma (Myanmar) pernah menjadi mangsa amukannya di padang. Pada Sukan Asia 1974 di Tehran, Mokhtar menyumbat lima gol dalam kemenangan 11-0 keatas Filipina.
Burma pula sampai merajuk dikerjakannya apabila pasukan negara membelasah mereka 9-1 dalam Sukan SEA 1977, lima gol juga dijaringkan oleh Mokhtar ketika itu.
Burma kemudian menarik diri dari menyertai Pestabola Merdeka kerana bimbang dibelasah lagi oleh Mokhtar dan rakan-rakan.

Dikecam
Tetapi, bagaimana situasinya jika pasukan negara kalah ketika itu? Media akan menghentam habis-habisan. Peminat akan mengecam dan menghamburkan kata-kata yang kurang enak kepada pasukan negara.
Mokhtar antara orang yang paling teruk menerima kecaman. Beliau tersinggung dengan ulasan-ulasan di dalam akhbar yang dianggap tidak adil kepadanya dan pasukan negara.
Mokhtar mengakui, kegagalan mencapai kemenangan kadang-kadang membawa sampai ke rumah sehingga menganggu waktu tidurnya.
Persaraannya yang pertama adalah pada bulan November 1979, beliau tersinggung dengan laporan akhbar yang mempertikaikan prestasinya selepas kekalahan teruk 7-0 di tangan pasukan China pada Sukan Asia di Bangkok 1978.
Selepas itu pasukan Malaysia tewas dua lagi perlawanan antarabangsa menentang New York Cosmos dan City Bank dari Korea Selatan.
Mokhtar dilabelkan sebagai field passenger atau penumpang di dalam padang tanpa memberi sumbangan yang berkesan kepada pasukan.

Menurut Mokhtar, ulasan sebegini memberikan kesan kepada mentalnya dan memberi tekanan sekaligus melunturkan semangatnya untuk beraksi di dalam padang.
Beliau menyatakan rasa hormatnya kepada wartawan dan kebebasan mereka dalam membuat ulasan, tetapi laporan sebegini telah membunuh semangatnya sekaligus mendorong beliau membuat keputusan untuk menarik diri dari skuad kebangsaan secara mengejut.
Menimbulkan Kegemparan
Pengumuman itu mencetuskan kegemparan kepada seluruh negara dan penyokong bola sepak tanah air. Peminat masih menagih aksinya dan memerlukan tenaganya untuk menghadapi pra kelayakan Olimpik 1980.
Keputusan Mokhtar itu menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir yang mempersoalkan sebab-sebab Mokhtar ingin bersara.
Media mula memainkan peranan dalam usaha untuk memujuk Mokhtar menarik kembali keputusannya itu. Akhbar Utusan antara yang paling agresif dengan usaha itu dan lantas menyamakannya dengan Kevin Keegan yang masih muda dan sebaya dengannya tetapi bersemangat untuk membawa England muncul juara Piala Dunia.
Bagaimanapun Mokhtar tetap bertegas dengan keputusannya walaupun dipujuk oleh Tan Sri Hamzah Abu Samah yang ketika itu menjadi Presiden FAM. Sehinggakan FAM ketika itu terpaksa menggertak dengan melarang mereka yang ingkar bermain untuk negara dari terlibat dalam kejohanan Piala Malaysia.
Mokhtar kemudian bertindak bersemuka dengan Tan Sri Hamzah dan menyatakan keputusannya bersara adalah disebabkan oleh terlalu banyak bermain perlawanan antarabangsa menyebabkan beliau keletihan.
Tan Sri Hamzah menerima alasan itu, tetapi menyatakan beliau akan menolak sekiranya Mokhtar mengemukakan alasan kritikan akhbar. Mokhtar bagaimanapun berjaya dipujuk 11 bulan kemudian untuk beraksi dalam Pestabola Merdeka 1980.
Kembali Semula
Tidak sampai setahun kembalinya Mokhtar dalam skuad negara, pasukan negara dikejutkan pula dengan rombakan besar pada bulan Mei 1981. Rombakan ini menyaksikan pengguguran beberapa pemain utama seperti Soh Chin Aun, Santokh Singh, James Wong, Hassan Sani, Chow Chee Keong, R. Arumugam, Shukor Salleh, dan Khalid Ali. Rombakan ini dilakukan berikutan prestasi buruk dan kegagalan skuad negara dalam pra Piala Dunia di Kuwait. Bagaimanapun pengguguran ini tidak melibatkan Mokhtar Dahari.
FAM terpaksa mengambil keputusan berani ini kerana ada dakwann mengatakan terdapat perpecahan dalaman dan komplot yang berlaku di antara pemain dalam kem pasukan negara. Khabar angin mengatakan terdapat perbezaan kasta senior-junior dalam pasukan negara ketika itu yang melibatkan pemain seperti Chow Chee Keong dan Yip Chee Keong.
Mereka berdua yang bermain di Hong Kong dipanggil khas oleh FAM untuk membantu pasukan negara, bagaimanapun setelah membuat satu siasatan khas, keputusan untuk merombak pasukan terpaksa diambil demi kebaikan pasukan negara.
Sebelum bertolak ke Kuwait, pasukan ini digambarkan sebagai barisan terkuat negara yang ketika itu dijadualkan untuk bertemu dengan Korea Selatan, Thailand, Iran dan Kuwait. Para pemain pula diberikan latihan khas di Bukit Fraser selama sebulan yang dibimbing oleh jurulatih Karl Heinz Weigang.
Bagaimanapun semua itu tidak mencukupi apabila pasukan negara hanya mampu mencatat keputusan seri dengan Thailand sebelum tewas dalam perlawanan lain.

Mokhtar Dahari pernah meminta untuk disingkirkan sekali kerana simpati dengan nasib yang menimpa rakan sepasukannya. Beliau mengakui prestasinya kurang memuaskan dan menyoal kenapa beliau dikekalkan dan tidak digugurkan seperti yang lain?
Persoalan itu bagaimanapun tidak dijawab dan beliau kekal bersama Jamal Nasir, Yahya Jusoh, Bakri Ibni, Ahmad Jusoh, Zulkifli Hamzah, dan Ibrahim Din yang dianggap sudah mampu membawa cabaran negara.
Ketika itu hanya Mokhtar sahaja pemain yang paling lama dan cukup berpengalaman berbanding dengan yang lain. Perkara ini menyukarkan prestasi pasukan negara dengan beberapa persembahan yang hambar. Mokhtar yang ketika itu menjadi tunggak utama diberikan tanggungjawab untuk menggalas cabaran dalam Sukan SEA di Manila 1981.
Kecederaan
Malang tidak berbau apabila Mokhtar mengalami kecederaan yang membuatkan beliau terlepas beberapa kejohanan utama seperti Piala Presiden Park di Seoul dan Pestabola Merdeka pada bulan Ogos 1982.
Kecederaan yang dialaminya tidak berapa serius dan beliau berharap namanya dipanggil untuk kejohanan Piala Merlion di Singapura tetapi harapannya musnah apabila beliau digugurkan serta merta atas alasan kecederaan itu.
Beliau berasa kecil hati ketika itu dan mula terdetik untuk berundur terus dari skuad negara dalam tulisannya untuk majalah Dunia Sukan yang bertajuk Apa Ada Pada Nama Kalau FAM Sudah Tidak Berselera Lagi.
Tulisan beliau bagaimanapun ditegur oleh presiden FAM ketika itu, Tan Sri Hamzah yang memberinya amaran untuk tidak menulis lagi kerana tindakan itu menyalahi status amatur yang dikuatkuasakan oleh FIFA yang menggariskan pemain tidak boleh menerima wang hasil dari penulisan.
Penamat
Pada hujungnya Mokhtar menyedari FAM tidak memerlukan beliau lagi dan membuat keputusan untuk bersara kali kedua pada Oktober 1982 setelah bermain untuk Malaysia selama 10 tahun.
Keputusan itu adalah muktamad kerana beliau bertekad untuk menumpukan kepada pasukan kesayangannya, Selangor sahaja selepas ini.
Dan akibatnya pasukan negara mengalami kegagalan dalam kejohanan Pestabola, Piala Presiden Park, dan Piala Merlion yang mendorong FAM untuk memanggil semula pemain lama seperti R. Arumugam, Soh Chin Aun, Khalid Ali, dan Santokh Singh.