Koeman Label Allan Nyom Biadap Selepas Menyiku Messi Dan Menghina

Pengurus Barcelona, Ronald Koeman mendakwa pemain Getafe, Allan Nyom bertindak biadap terhadap beliau selepas gergasi Catalan itu tewas mengejut kepada kelab berpengkalan di Madrid itu.

Pengendali dari Belanda itu dilihat bertengkar dengan jurulatih Getafe, Jose Bordalas mengenai sikap pemain sayap tersebut, dan dalam sidang media selepas perlawanan mendakwa pemain antarabangsa Cameroon itu melakukan provokasi terhadap beliau.

“Saya beritahu kepada beliau (Bordalas) bahawa pemain No.12 (Nyom) tidak menunjukkan rasa hormat kepada saya. Dia berkata satu dua perkara yang tida baik kepada saya, yang saya tidak akan sebutkan di sini. Dia memperlekehkan saya,” kata Koeman.

“Jadi saya beritahu Bordalas beliau perlu bercakap kepada pemainya kerana kita tidak boleh menerima sikap sedemikian di dalam bola sepak moden.

Ronald Koeman sangat tidak gembira dengan pemain pertahanan Getafe, Allan Nyom setelah kekalahan Barcelona 1-0 di Coliseum Alfonso Perez pada hari Sabtu.

Pemain berusia 32 tahun itu terkenal dengan pendekatan fizikalnya dan menyiku Lionel Messi pada separuh masa pertama permainan.

Terdapat beberapa lagi pelanggaran di sepanjang aksi oleh Nyom yang ditugaskan merantai Lionel Messi.

Sementara Koeman menganggap Nyom turut menghinanya ketika permainan sedang berlangsung.

Bordalas bagaimana pun mempertahankan pemainnya dan berpendapat mustahil pemainnya memperlekehkan Koeman.

“Saya berada di sini untuk bercakap mengenai bola sepak, dan bukan mengenai apa-apa kontroversi. Saya belum bercakap kepada pemain (Nyom),” kata Bordalas.

“Saya akan bertemu dengannya esok, tetapi saya ragu Nyom bertindak sedemikian. Saya amat mengenalinya.

“Dia sangat kompetitif, tetapi seorang yang amat menghormati orang lain. Saya tidak membenarkan sikap tidak baik di kalangan pemain saya dan saya meragui Nyom bertindak memperlekehkan beliau.”

Gol tunggal dari Jaime Mata pada babak kedua perlawanan melalui sepakan penalti memberikan kekalahan pertama Barca selepas empat perlawanan.

Koeman pula berpendapat sepakan penalti yang diberikan pengadil untuk kekasaran Frenkie de Jong terhadap Djene Dakonam sangat lembut.

“Saya tidak tahu sama ada ia patut penalti. Ia seperti mereka menunggu untuk mendapatkannya, dan kami jatuh dalam perangkap. Saya tidak pasti sama ada perlawanan ini menggunakan VAR atau tidak,” kata Koeman lagi.

“Saya tidak suka bercakap mengenai pengadil. Tetapi jika anda menyaksikan perlawanan ini dan lihat berapa banyak kad yang dilayangkan, anda boleh menilai sendiri.”

Getafe mempunyai reputasi sebagai salah sebuah pasukan yang sering bermain secara fizikal di La Liga, telah melakukan 20 kekasaran sepanjang perlawanan, berbanding 9 yang dilakukan oleh Barcelona.

Ini menyebabkan pengadil melayangkan empat kad kuning kepada Getafe, manakala pasukan pelawat dilayangkan tiga kad kuning.

“Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar di sini tetapi kami cuba membuka ruang dan menggerakkan bola secepat mungkin, dan mereka sentiasa menganggu rentak dengan melakukan kekasaran,” tambah Koeman lagi.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.