Koeman Diberi Gelaran ‘Sarjan Koeman’ Oleh Pemain Barcelona Kerana Perubahan Ini

Jurulatih baru kebiasaannya akan membawa perubahan baharu kepada pasukan.

Ronald Koeman turut membuktikan dirinya tidak terkecuali apabila tiba sebagai pengganti Quique Setien di Barcelona pada musim panas ini.

Selama ini, ianya bukan lagi rahsia latihan di Barcelona dilihat sebagai tidak menepati standard sebuah pasukan elit.

Buktinya hasil di atas padang dilihat semakin merudum sejak beberapa musim yang lalu.

Beberapa pemain yang telah meninggalkan kelab itu turut pernah merungut mengenai intensiti latihan yang dilalui.

Maka tidak hairanlan mengapa prestasi skuad Barcelona tidak seperti yang kita biasa lihat sebelum ini – sehingga tewas dengan teruk kepada Liverpool pada musim lalu, diikuti oleh Bayern Munich di pertandingan Champions League yang lalu.

Namun kini semuanya telah berubah dengan kedatangan Koeman. Jurulatih Belanda itu menjadikan latihan pasukan seolah-olah kehidupan dan masa depan pemain bersandarkan kepada kesungguhan yang ditampilkan.

Perubahan drastik dan keras yang dilakukan oleh Koeman menyebabkan beliau digelar ‘Sarjan Koeman’ oleh pemain-pemain di bilik persalinan.

Antara perubahan yang dilakukan oleh jurulatih itu sejak tiba di Nou Camp ialah meningkatkan tempoh latihan dari sejam kepada 90 minit. Koeman turut memastikan ia adalah latihan berintensiti tinggi.

Perubahan ini yang memaksa pemain lebih banyak melakukan kerja keras mulai dirasai oleh pemain Barcelona, terutamanya di kalangan pemain senior.

Selain itu, pemain turut diwajibkan menghadiri sesi latihan sejam lebih awal untuk mengelakkan dari kelewatan dan tidak ketinggalan.

Pemain-pemain yang sebelum ini kelihatan sukar bersama Barcelona seperti Ousmane Dembele dan Philippe Coutinho dilihat telah memanfaatkan perubahan ini sepenuhnya.

Buat masa ini pemain-pemain tidak pasti sama ada perubahan ini akan membantu mereka pada saingan musim hadapan.

Satu perkara yang pasti semua pemain, termasuk Lionel Messi akan dikerah lebih keras lagi dan dituntut memberikan 100% keupayaan pada setiap sesi latihan yang dijalankan.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.