Klopp: Sudah Beberapa Tahun, Manchester United Hanya Tahu ‘Parking Bas’

Pengurus Liverpool Jurgen Klopp tidak gembira dengan cara Manchester United bermain ketika kunjungan pasukannya ke Old Trafford.

Ini kerana menurut beliau sudah beberapa musim berturut-turut, Liverpool bertandang ke Old Trafford dan berhadapan dengan pasukan yang hanya berkampung bertahan di kawasan sendiri, dalam istilah lain ‘park the bus’.

Liverpool sekadar mencatat keputusan seri dengan Manchester United.

Adam Lallana menjadi penyelamat Liverpool daripada kekalahan pertama musim ini.

Sebelum perlawanan, Ole Gunnar Solskjaer menyatakan beliau sudah menemui cara untuk memperbaiki prestasi pasukan Manchester United.

Solskjaer juga menegaskan perlawanan ini perlawanan sempurna untuk menjadi titik kebangkitan mereka.

Ole menggariskan isu permainan bola sepak yang banyak menyerang sepertimana yang diamalkan oleh banyak pasukan kuat yang lain di dunia.

Namun begitu, Jurgen Klopp merasakan Manchester United hanyalah pasukan yang bertahan dengan ramai pemain di dalam kawasan pertahanan sendiri.

“Semua orang gembira apabila Manchester United berhadapan dengan Liverpool kerana mereka fikir kedua-dua pasukan akan mencuba untuk bermain. Namun mereka tidak begitu mencuba (untuk bermain).”

“Apabila kami datang ke sini tahun ini, tahun yang lalu, dan tahun-tahun sebelumnya, mereka hanya bermain dengan corak bertahan.”

“Ini bukan kritikan tetapi ini adalah fakta.”

“Setiap pemain mereka membentuk gunung dan ianya gunung sangat besar. Dalam perlawanan ini, ada satu pasukan yang hanya bertahan dan pasukan satu lagi berusaha membentuk permainan.”

Selain daripada itu Jurgen Klopp juga kecewa dengan sistem pengadilan VAR. Ini kerana beliau berpendapat gol pertama Manchester United adalah tercetus daripada insiden kekasaran oleh Victor Lindelof ke atas Divock Origi.

Akhir sekali, Jurgen Klopp lega kerana pasukannya berjaya mengelakkan diri daripada kekalahan.

Jaringan pada minit ke-85 oleh Adam Lallana memastikan Liverpool terus kekal menjadi pasukan yang masih belum tewas pada musim ini dalam saingan Liga.

Liverpool kekal di tangga teratas EPL dengan jarak 6 mata daripada Man City.

Sementara Man United berada di tangga ke-13 EPL, gagal naik ke 10 teratas.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.