Klopp Anggap Liverpool Boleh Tewaskan Madrid Jika Bermain Di Stadium Yang Lebih Rapi

Jurgen Klopp melihat skuadnya dibelasah 3-1 oleh Madrid awal pagi tadi, namun pengurus Liverpool itu berfikir bahawa bermain di stadium yang lebih rapi akan beri kelebihan kepada mereka untuk aksi leg kedua nanti.

Juara bertahan saingan premier league yang secara matematiknya sudah tidak mampu untuk mempertahankan gelaran liga mereka pada musim ini, telah bermain dengan sangat teruk ketika bertemu Madrid awal pagi tadi.

Ia boleh dianggap sebagai permainan terburuk skuad The Reds sepanjang musim ini dengan anak-anak buah Jurgen Klopp itu mudah diayam-ayamkan oleh skuad kendalian Zinedine Zidane.

Walaupun Liverpool sudah tidak asing untuk bertemu Real Madrid atau bermain di Madrid, namun ia sedikit berbeza untuk aksi pada musim ini.

Hal ini kerana wakil premier league itu terpaksa beraksi di Estadio Alfredo di Stefano untuk bertemu The Los Blancos.

Stadium tersebut kebiasaannya menjadi halaman untuk Real Castilla namun kini turut menjadi gelanggang untuk Juara 13 kali kejuaraan Eropah, Real Madrid.

Real Madrid telah menjadikan gelanggang tersebut sebagai arena mereka sejak setahun lalu ketika Santiago Bernaneu dalam proses naik taraf.

Ia merupakan masa yang sesuai untuk Los Blancos untuk menaik taraf stadium mereka memandangkan ketika ini tiada penonton dibenarkan masuk ke stadium.

Ia sememangnya tiada masalah untuk Real Madrid sehinggalah Klopp mengeluarkan kenyataan yang seakan tidak berpuas hati dengan kualiti Alfredo di Stefano.

Klopp dalam satu kenyataan telah menyatakan bahawa beliau merasakan lebih baik untuk skuadnya dapat bermain di stadium yang lebih rapi pada aksi leg kedua nanti.

Membalas kritikan tersebut, Zidane yang gembira dengan kemenangan skuadnya itu serta berbangga dengan persembahan yang ditunjukkan oleh Toni Kroos menjawab:

“Saya tak ada pandangan atas apa yang dikatakan oleh Jurgen Klopp, tapi kami berbangga bermain di Estadio Alfredo di Stefano.”

Liverpool sememangnya terkenal dengan aksi comeback dalam pertandingan liga Juara-juara ini, apa lagi ketika bermain di gelanggang keramat mereka, Anfield.

Namun selepas apa yang berlaku sepanjang musim ini dan penghujung musim lalu, ternyata semuanya sudah berubah.

Musim lalu mereka turut menyatakan hal yang sama, namun The Reds tetap gagal menghalang Atletico dari mara ke peringkat seterusnya dengan menyingkirkan mereka.

Seperti aksi leg kedua nanti, tidak akan ada penonton yang akan dibenarkan masuk jadi tidak begitu banyak bezanya Stadium rapi dengan tak rapi seperti yang didakwa oleh pengurus Jerman itu.

Gol tunggal Liverpool jaringan Mo Salah akan menjadi bekalan untuk skuad the reds dalam menghadapi skuad kendalian Zinedine Zidane di stadium yang rapi itu nanti.

Bahkan sebelum perlawanan leg pertama lagi, Jurgen Klopp sudah menyatakan bahawa stadium itu sangat berbeza dari semua stadium yang pernah dilawati dan menganggapnya seperti padang latihan sahaja.

Sudah tentu dia benar, stadium yang diberi nama bersempena nama legenda Real Madrid itu sebenarnya memang digunakan sebagai pusat latihan untuk skuad kendalian Zinedine Zidane.

Ada juga peminat yang menganggap ia memang padang latihan dari segi melihat bagaimana pasukan tuan rumah mendominasi pasukan pelawat ketika aksi leg pertama itu berlangsung.

Apa yang Klopp perlu tahu adalah, walaupun musim hadapan para penonton akan dibenarkan untuk masuk ke stadium, Real Madrid akan masih tetap menggunakan Estadio Alfredo di Stefano sebagai gelanggang rasmi mereka sehingga Jun 2022.

Tapi musim depan belum tentu Liverpool boleh bertemu dengan Real Madrid memandangkan harapan untuk mereka beraksi di pentas liga Juara-juara musim hadapan dilihat semakin pudar.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.