Kisah Tragik Esteban De Jesus; Juara Dunia Menjadi Pembunuh Dan Dibunuh HIV

Leo Maestro 2 tahun yang lalu

Jika anda mencari kisah paling tragik dalam dunia sukan, anda mungkin akan terjumpa dengan kisah Esteban De Jesus.

Esteban merupakan petinju dari Puerto Rico dalam acara kelas ringan yang sangat berbakat. Beliau pernah menjadi juara dunia WBC. Dalam sejarah Puerto Rico, hanya Carlos Ortiz yang memiliki rekod lebih baik dalam sukan tinju.

Beliau menjadi petinju pertama yang menewaskan Roberto Duran pada 1972. Namun malangnya pertarungan ini tidak mempertaruhkan gelaran.

Sebelum pertarungan dengan Duran di Madison Square, beliau hanya tewas sekali. Itupun di tangan juara dunia WBA Antonio Gomez. Karier beliau masih lagi baru ketika itu.

Roberto Duran sebelum itu tidak pernah kalah. Tetapi di tangan Esteban, Roberto Duran tersungkur. Selepas menewaskan Duran, Esteban de Jesus menewaskan seorang lagi jaguh iaitu Ray Lampkin.

2 kali beliau menang ke atas Lampkin dan berjaya merampas tali pinggang American Lightweight.  Esteban de Jesus terus menjadi mimpi ngeri kepada petinju handalan yang lain.

Beliau kemudian menewaskan  Josque Marquez sebanyak 2 kali. Seterusnya, nama-nama seperti Victor Ortiz, Lionel Hernandez, Percy Hayles, Angel Robinson, dan Chuck Wilburn antara yang tersenarai dalam nama-nama petinju yang tewas di tangan beliau.

Bakat beliau terus menjadi perhatian dan media melihat potensi yang besar ada pada Esteban De Jesus. Selepas menang ke atas Duran, beliau menewaskan bekas juara dunia welterweight (remaja), Alfonso Frazier.

Pada Mac 1974, Esteban bertemu sekali lagi dengan Duran. Dan kali ini beliau menyingkirkan Duran sekali lagi. Ketika ini, Duran berhadapan dengan petinju yang berbeza daripada yang beliau tentang 2 tahun yang lalu.

Esteban De Jesus berada dalam prestasi terbaik beliau. De Jesus kemudian menentang penyandang kejuaraan WBC, Guts Suzuki pada 1976. Esteban De Jesus menunjukkan aksi dominan beliau dan memastika kejuaraan dunia pertama milik beliau.

Duran kemudian tampil mencabar De Jesus sekali lagi untuk kali ke-3.  Kali ini ianya melibatkan pertarungan untuk gelaran dunia WBC yang sedang dipakai oleh De Jesus.

Duran vs De Jesus III dilangsungkan di Las Vegas dan ia dianggap sebagai superfight! Kali ini Duran berjaya menewaskan Esteban De Jesus.

Duran memerlukan aksi terbaik di dalam hidup beliau untuk menang perlawanan ini. De Jesus kemudian bangkit daripada kekalahan di tangan Duran dengan beberapa siri kemenangan termasuk menentang  Edwin Viruet.

De Jesus kemudian bertarung dalam acara yang mempertaruhkan gelaran dunia WBC dalam kategori welterweght pada 1980 menentang Soul Mamby.

De Jesus berjaya menumpaskan Mamby dengan gaya permainan yang bertenaga dan seperti biasa, beliau seorang petinju yang memiliki tenaga yang sangat banyak di dalam badannya.

Kisah Tragik

Selepas menjuarai beberapa gelaran dunia dalam pelbagai kategori, De Jesus dianggap petinju bintang. Ramai peminat dan media menyanjung beliau.

De Jesus mengumumkan beliaui bersara dengan rekod 57 kemenangan daripada 62 pertarungan, 32 KO serta 3 kemenangan KO teknikal dicatatkan beliau pada ketika itu.

Beliau merancang untuk menukar angin di dalam hidupnya, dan mahu membantu negaranya menghasilkan lebih ramai petinju berbakat.

Beliau telah menewaskan 3 juara dunia dalam karier beliau termasuk Duran, Cervantes dan Mamby. Kesemua mereka sedang berada dalam prestasi terbaik ketika berhadapan dengan De Jesus.

Namun siapa sangka, fasa seterusnya dalam hidup beliau sangat tragik. Pada suatu hari, De Jesus telah bergaduh dengan seorang remaja.

De Jesus ketika itu dalam pengaruh kokain telah bertengkar dengan remaja berusia 17 tahun kerana salah faham di jalanraya ketika memandu.

De Jesus mengeluarkan pistol beliau dan menembak remaja itu sehingga mati. De Jesus dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Ketika di penjara, De Jesus menjadi atlet besbol yang paling cemerlang. Berapa kali beliau menjadi All Star dalam pertandingan antara banduan penjara.

Tetapi, ketika di penjara, dia dijangkiti HIV.  Selepas beberapa tahun dijangkiti AIDS, dia terlantar di atas katil dan tidak boleh bangun.

Paling mengharukan, apabila pada suatu hari De Jesu dilawati oleh seseorang yang pernah menjadi musuhnya di gelanggang.

Orang itu ialah Roberto Duran yang datang melawatnya dan memeluk De Jesus. Duran tidak percaya yang seterunya itu akan mengakhiri sisa hidupnya dalam keadaan sangat tragis selepas menjadi salah seorang petinju paling berbakat.

Duran masih ingat bagaimana De Jesus mengejutkan beliau pertama kali. Duran ketika itu berasa marah dan tidak percaya petinju muda bernama Esteban De Jesus menewaskan beliau dan mengakhiri rekod tanpa kalah beliau.

Sejak dari hari itu, Duran meningkatkan lagi latihan. Duran akhirnya menang, itupun dalam pertarungan ke-3 mereka.

Roberto Duran yang terkenal dengan imej macho dan keras tewas juga dan menangis teresak-esak memeluk Esteban De Jesus.

Duran memberitahu, dia benci dengan De Jesus di atas gelanggang. Namun dia mengagumi De Jesus sebagai lawan terbaik di dalam hidup beliau. Lawan yang paling sukar dan berbakat!

“Itulah sebab saya datang melawat. Saya mahu memberikan penghormatan kepada lawan paling sukar di dalam hidup saya. Saya tahu, dia akan melawan semua ini. Dia seorang pejuang sejati!”

Selepas 8 tahun di penjara, pihak berkuasa memutuskan untuk membebaskan Esteban De Jesus secara parol atas sebab-sebab kemanusiaan.

Hanya 2 bulan menghirup udara di luar penjara, Esteban De Jesus meninggal dunia kerana HIV tersebut.

Naskah hidupnya sangat tragik! Hanya kerana emosi yang membuak-buak dalam pertengkaran di jalan raya membuatkan segalanya berubah dalam sekelip mata.

Hasratnya untuk menikmati persaraan yang mewah, tidak kesampaian. Itulah kisah juara dunia yang berakhir dengan kejadian tragik!


SHARE ()