Kisah Sedih: Satu Panggilan Telefon Yang Membuatkan Adriano Terus Merudum

Pemain yang pernah diberikan rating 99 shot power di dalam PES, Adriano memang legenda dengan caranya tesendiri.

Adriano dianggap antara penyerang terbaik di dunia ketika beliau prime dahulu. Malah di Inter Milan beliau digelar gabungan Zlatan Ibrahimovic dengan Ronaldo Fenomeno.

Ketika Ronaldo cedera, nama Adriano adalah pengganti yang terbaik kepada pemain itu. Namun siapa sangka kariernya sangat tidak lama.

Adriano mendedahkan pemergian ayahnya telah memberikan kesan yang sangat mendalam di dalam kariernya.

Panggilan yang mengubah hidup Adriano

Pada 2004, Javier Zanetti menyatakan: “Adriano mendapat satu panggilan, dan panggilan itu memberitahunya: ‘ Adri, ayah dah tiada [meninggal dunia]’.”

Ketika itu Adriano bersama dengan rakan rakannya di kem pra musim.

Zanetti menyambung: “Saya melihat dia dekat biliknya dan mulai menjerit, membaling telefon di tangannya. Kamu tak akan pernah bayangkan bagaimana jeritan itu. Saya tergamam sehingga ke hari ini.”

Beberapa hari sebelum ini, Adriano baru sahaja menjadi wira negaranya apabila menjaringkan gol penyamaan masa kecederaan menentang Argentina dalam final Copa America.

Gol yang membantu negaranya menjuarai edisi tersebut.

Zanetti menyatakan, jeritan Adriano itu sangat kuat. Dia sangat sedih ketika itu. Beliau baru sahaja meraikan impian masa kecilnya bersama skuad kebangsaan Brazil, berganti dengan satu panggilan yang menjadi mimpi ngeri kepadanya.

Ayahnya mengalami sakit jantung sejak Adriano berusia 22 tahun. Adriano dibesarkan di Vila Cruzeiro, Favela.

Beliau menggunakan bakat bola sepaknya untuk mengubah nasib keluarganya sehingga mendapat kontrak dengan pasukan gergasi Inter Milan.

Fiorentina, Parma dan Inter – kesemua penyokong mereka mengenali bakat yang ada pada pemain yang digelar d L’Imperatore (the Emperor).

Adriano pernah membentuk gandingan luar biasa dengan Zlatan Ibrahimovic.

Adriano meratapi pemergian ayahnya

Namun  Zanetti sudah melihat pemergian ayahnya akan memberikan kesan kepada karier Adriano.

“Beliau terus bermain bola sepak, menjaringkan gol demi gol dan menunjukkan ke langit, mendedikasikan setiap golnya untuk ayahnya.

“Namun selepas panggilan itu, segalanya berubah. Ivan Cordoba pernah meluangkan masa bermalam dengannya dan berkata: ‘Adri, kau adalah gabungan Ronaldo and Zlatan Ibrahimovic. Kau sedar tak kau mampu menjadi pemain terbaik sepanjang zaman?'”

Adriano tak dapat ditenangkan. Adriano menjawab:

“Kematian ayahku memberikan kesan sangat besar di dalam diri aku.”

Selepas itu Adriano ada berkongsi detik itu dengan majalah R7 di Brazil.

Adriano berkata: “Saya keseorangan, sedih, depres di Itali. Itulah hari di mana saya mulai minum [minuman keras].”

“Saya tak tahu nak menyembunyikan kesedihan saya kerana saya mabuk sepanjang masa termasuk ketika latihan.”

Adriano mengibaratkan hidupnya telah dibawa pergi bersama beer, wain, wiski dan vodka.

“Pada suatu hari mereka [pegawai kelab] memberitahu saya bahawa saya ada masalah pada otot.”

Pada 2006, beliau dan rakan-rakan kecewa dalam kempen Piala Dunia. Brazil ketika itu diwakili oleh ramai bintang termasuk 3 pemenang Ballon d’Or iaitu Ronaldo, Kaka dan Ronaldinho.

Ini ditambah dengan Sang Maharaja yang dianggap antara pemain yang boleh bersaing mendapatkan anugerah itu suatu hari nanti.

Adriano mulai merosot aksinya. Beliau mulai berhadapan dengan masalah homesick dan pernah mengambil cuti tanpa gaji. Adriano mulai menjadi pemain yang bermasalah.

Adriano kembali ke Inter, dan kemudian dipinjamkan sekejap ke Roma. Beliau mulai menyertai beberapa kelab di Brazil.

Banyak kelab masih percayakan beliau kerana bakatnya namun Adriano terus gagal memenuhi harapan mereka.

Adriano mulai terlibat dengan kumpulan gangster dan berat badan berlebihan. Dia sudah tidak mahu meninggalkan Favela. Adriano selesa di situ.

Adriano sudah lama meninggalkan kariernya tertinggi. Sedangkan Ibrahimovic masih bermain dengan pasukan AC Milan di pentas liga utama Eropah.

Adriano sudah 6 tahun tidak bermain. Beliau ada 48 kaps untuk Brazil, 4 Serie A, 27 jaringan antarabangsa, Pemenang Liga Brazil, kariernya dahulu memang gemilang.

Adriano pernah menyatakan kepada wartawan, beliau mendedikasikan trofi Copa America 2004 kepada mendiang ayahnya.

Sejak ayahnya meninggalkannya, pada hari beliau menerima panggilan, kariernya telah berubah.

Itulah kisah emosi Sang Maharaja yang sukar untuk dirawat. Sayangnya kepada ayahnya terlalu kuat dan pada masa yang sama beliau sangat rapuh dalam menghadapi dugaan.

Zanetti pernah berkata: “Kami gagal untuk membantu Adriano keluar daripada depresi. Itu adalah kekalahan paling teruk di dalam karier saya. Ia masih lagi sakit. Dan saya sangat tak berdaya.”

Artikel: Sportsbible