Kisah Prairie View A&M Mengakhiri Rekod Kekalahan 80 Perlawanan Berturut-Turut

Leo Maestro 2 tahun yang lalu

Pernah tak anda tertanya-tanya, rekod kekalahan terburuk paling teruk di dunia? Rekod pasukan American Football, Prairie View A&M ini mungkin sukar untuk dipecahkan mana-mana pasukan lain.

Ini selepas mereka merekodkan 80 kekalahan berturut-turut sejak 1989 dalam kejohanan di antara kolej di Amerika Syarikat.

Kali terakhir mereka menang adalah pada 20 Oktober 1989, menang ke atas Mississippi Valey dengan kedudukan 21-12.

Rekod kekalahan mereka pun bermula dengan kekalahan di tangan Langston dengan jaringan 19-18. Dalam tempoh 9 tahun tersebut mereka pernah tewas teruk 92-0 di tangan Alabama State pada 1991.

Mereka pernah menukar 4 jurulatih dalam semusim dan dibelasah teruk bukan sesuatu yang asing bagi mereka.. Namun masih gagal untuk mengakhiri badi kekalahan mereka.

Jurulatih yang berjaya membantu mereka mengakhiri kekalahan, Greg Johnson menganggap rekod itu sebagai melampau dan terpaksa menunggu lebih 9 tahun untuk kemenangan pertama dalam tempoh tersebut.

Namun beliau tidak pernah ragu akan suatu hari, rekod itu akan berakhir juga. Agak ironi kerana rekod kekalahan buruk itu juga diakhir dalam perlawanan menentang Langston.

Prairie menang 14-12 dalam perlawanan yang berlangsung di Oklahoma City. Pemain-pemain mereka meraikan kejayaan dengan ada yang menitiskan air mata.

Mereka seperti menang kejuaraan kebangsaan ketika itu. Nikmat kemenangan yang sudah lama mereka tidak rasai. Presiden Prairie View A&M ketika itu, Larry Raab gembira menyaksikan peristiwa bersejarah itu.

“Malam ini, papan skor adalah sah dan kami sentiasa percaya pasukan kolej kita ini hanya layak untuk mereka yang berjiwa pemenang.”

Pada 1998, mereka sudah memecahkan rekod baru dengan 77 kekalahan ketika itu mengatasi rekod Macalester College yang dicipta pada 1974-1980.

Pada tahun 1998 juga mereka melihat ada peningkatan ketara. Mereka ‘hanya kalah’ 24-13 di tangan Texas Souther, 22-14 di tangan Howard Payne. Ini menunjukkan mereka sudah boleh menjaringkan skor ke atas pasukan kuat.

Raab memberitahu yang coach Greg Johnson kembali kepada perkara paling asas dalam latihan beliau iaitu mahu pemain kembali mengingati erti kemenangan dalam hidup mereka.

Tak kisahlah nikmat kemenangan ketika bermain bola sepak dengan adik mereka di rumah. Itu disemai dalam jiwa pemain dan mereka mulai berkongsi dengan rakan-rakan apa sahaja detik kemenangan mereka ketika di sesi latihan.

Ada yang berkongsi kemenangan mendapat teman wanita baru dan sebagainya.

Dalam perlawanan menentang Langston, mereka mendahului 14-6 dalam masa permainan yang tinggal 30 saat lagi. Detik cemas apabila mereka turut melepaskan 6 mata untuk membolehkan lawan mereka hanya 2 mata di belakang mereka.

Namun, tiada siapa dapat menarik balik kemenangan mereka kali ini. Itulah hari di mana berakhirnya antara rekod paling buruk dalam sejarah sukan dunia dengan 80 kekalahan sepanjang 9 tahun.

Pada hari ini mereka kembali bersaing dengan pasukan-pasukan yang lain. Pada 2016, mereka membuka stadium American Football yang serba mewah. Dianggarkan kos stadium tersebut bernilai $61 juta.


SHARE ()