Bola sepak adalah sukan nombor satu dunia, ia sentiasa mendapat perhatian dan populariti yang tinggi kepada penduduk dunia. Berkurun sudah sukan ini bertapak dan mendapat tempat di hati setiap orang. Banyak cerita menarik dan tragedi yang berlaku sepanjang sukan ini dimainkan.
Antaranya adalah seperti momen ‘hand of god’ oleh Diego Maradona pada kejohanan Piala Dunia 1986, tragedi Hillsborough, rambut Roberto Baggio, ini antara yang selalu diperkatakan dan menjadi perbualan sehingga kini.
Tetapi ada cerita lebih menarik lagi yang boleh dikongsi. Cerita-cerita ini adalah benar-benar berlaku tetapi telah dilupakan pada hari ini.
Sila duduk, bertenang, tarik nafas dan enjoy cerita di bawah.
Kabus

Pada tahun 1945, pasukan Arsenal pernah melayan kunjungan kelab Dynamo Moscow dalam satu perlawanan persahabatan yang dianjurkan di stadium White Hart Lane. Ketika perlawanan kabus tebal telah melanda dan meliputi hampir keseluruhan stadium sehingga ke dalam padang.
Para pemain telah meminta kepada pengadil untuk menghentikan perlawanan disebabkan jarak pandangan yang sangat terhad, tetapi pengadil enggan dan mengarah kesemua pemain untuk meneruskan perlawanan.
Apa yang menarik ialah kedua-dua pasukan kemudiannya telah mengambil kesempatan atas situasi yang berlaku. Pasukan Dyanmo Moscow meminta untuk melakukan pertukaran pemain, pemain simpanan dimasukkan tetapi tiada pemain mereka yang keluar.

Sehingga pada satu masa pasukan dari Russia itu bermain dengan 15 orang di dalam padang!
Seorang pemain Arsenal telah diarah keluar padang kerana melakukan kekasaran pada sebelumnya. Tetapi ketika kabus tebal, pemain itu telah masuk semula ke dalam padang secara senyap-senyap dan meneruskan permainan sehingga tamat perlawanan.
Penjaga gol pasukan Arsenal pula telah pengsan dan terpaksa dikejarkan ke hospital setelah berlaga dengan tiang gol sendiri. Seorang wartawan yang entah datang dari mana tiba-tiba muncul menggantikan penjaga gol yang cedera itu dan menyambung perlawanan seperti biasa.
https://www.youtube.com/watch?v=SwZ8OmUFKV8
Derbi Merseyside

Umum mengetahui bahawa derbi Merseyside adalah antara permusuhan yang paling panas dan tegang dalam sejarah. Kedua-dua penyokong Liverpool dan Everton sangat membenci antara satu sama lain.
Pertemuan kedua pasukan sentiasa menjadi perbualan dan dinanti-nantikan oleh dunia bola sepak. Goodison Park dan Anfield Road letaknya hanya berdekatan, tetapi kewujudan mereka telah membelah bandar Liverpool menjadi warna merah dan biru.
Bagaimanapun tidak ramai yang mengetahui pada satu masa dahulu sebelum kedua mereka bermusuh, Everton menjadikan Anfield sebagai padang mereka. Padang yang pada masa kini menjadi stadium keramat pasukan Liverpool.
Sebuah tempat yang sukar untuk mana-mana pasukan yang bertandang. Menurut laman rasmi Everton FC, padang bola sepak Anfield disewakan kepada Everton sehingga penghujung kurun 1800 oleh Orell brothers yang merupakan usahawan tempatan pada waktu itu.

The Tofees memulakan perlawanan pertama mereka di Anfield sebagai tuan rumah pada 27 September 1884 menentang Earlestown, dan bermain perlawanan professional pertama mereka di dalam liga di padang yang sama pada 8 September 1888. Liverpool hanya muncul empat tahun kemudian.
Everton kemudian meninggalkan Anfield pada 25 Januari 1892 untuk berpindah ke bahagian utara, Stanley Park atau kini lebih dikenali sebagai Goodison Park. Liverpool yang pada masa itu menggunakan nama Everton Athletic kemudian berpindah ke Anfield dan menjadikan padang itu sebagai rumah mereka.
Mungkin Boleh Bagi Seri?
Perlawanan tertunda di Liga Perdana Inggeris dan Piala FA adalah satu benda yang tidaklah selalu berlaku. Tetapi tahukah anda, pada musim 1962/1963, perlawanan di antara Lincoln City dan Coventry City terpaksa ditunda disebabkan musim sejuk yang teruk.
Mereka dijangka bertemu pada 5 Januari 1963 tetapi terpaksa ditunda kerana salji tebal menyelimuti padang. Perlawanan tertunda yang dijadualkan beberapa hari kemudian juga terpaksa ditunda lagi akibat masalah yang sama.
Masalah ini berlanjutan sehingga 15 kali penundaan sehinggalah mereka benar-benar bertemu selepas 66 hari kemudian. Dan pada 6 Mac 1963, Coventry City berjaya mengalahkan Lincoln City dengan keputusan 5-1.
Taknak Kalah!
Liga bola sepak di benua Amerika Selatan juga tidak kurang menariknya. Terdapat pelbagai peristiwa dan kisah menarik yang boleh ditemui di sana. Antaranya ialah pertemuan di antara kelab Juventud Alianza menentang General Paz Juniors dalam liga divisyen empat Argentina.
Ianya terjadi pada musim 2009/2010 mereka terikat dengan agregat 3-3 setelah dua kali pertemuan bagi merebut kelayakan ke Apertura untuk Ronda Final.
Penentuan sepakan penalti dilakukan setelah wisel perlawanan ditiup oleh pengadil untuk menentukan pemenang di antara mereka. Apa yang menarik adalah keputusan penalti itu berakhir dengan jumlah yang sangat besar!

Juniors berjaya menewaskan Alianza dengan keputusan 21-20.
Sebanyak 42 sepakan yang telah diambil dan hanya satu sepakan sahaja yang tidak mampu menerjah jaring. Ia adalah sepakan terakhir yang diambil oleh Ruiz, pemain Alianza. Kekecewaan terbesar pasti dirasai oleh penjaga gol pasukan Alianza, Gonzalez yang gagal menyelamatkan kesemua 21 sepakan penalti oleh pemain Juniors.
Sehingga Ke Titisan Peluh Yang Terakhir
Pada musim 1957/1958 perlawanan di antara Charlton Athletic menentang Huddersfield Town telah berakhir sebagai satu perlawanan yang paling menarik dalam sejarah.
Charlton terpaksa bermain dengan sepuluh orang setelah 27 minit perlawanan selepas kaptennya, Derek Ulton terpaksa dikejarkan ke hospital kerana terkehel bahu. Ketika itu pertukaran pemain tidak dibenarkan.
Huddersfield mengambil kesempatan ini dengan menjaringkan gol pertama menerusi Les Massie. Mereka kemudian menggandakan kelebihan kepada tiga gol beberapa minit kemudian menerusi dua jaringan dari Alex Bain.
Huddersfield terus memberikan tekanan kepada Charlton dengan dua lagi gol yang dijaringkan oleh Bill McGarry dan Bob Ledger. Charlton hanya mampu membalas satu gol sahaja melalui Johnny Summers untuk menjadikan kedudukan 5-1.

Ketika menuju ke penghujung perlawanan, satu keajaiban telah berlaku. Bermula dengan dua jaringan pantas dalam masa dua minit oleh pemain Charlton menerusi Johnny Summers dan Johnny Ryan, mereka berjaya mengurangkan defisit menjadi 5-3.
Summers kemudian menambah lagi dua jaringan peribadinya pada minit ke-73 dan 78 untuk mengikat kedudukan menjadi 5-5!
Pada minit ke-81, Summers sekali lagi berjaya menjaringkan gol dan menambah jumlah jaringannya kepada lima gol untuk Charlton mendahului Huddersfield 6-5 buat kali pertama dalam perlawanan. Penyokong pasukan tuan rumah memberikan sorakan yang gegak gempita apabila menyaksikan keajaiban yang ditunjukkan oleh pemain Charlton.
Bagaimanapun kegembiraan itu tidak lama apabila Huddersfield berjaya menjaringkan gol penyamaan lima minit kemudian menjadikan kedudukan terikat 6-6. Kedua-dua pasukan kemudian bersaing sengit dan memberikan persembahan yang sangat bertenaga untuk mencapai kemenangan dan memberikan kenangan terbaik kepada penonton yang hadir.

Ketika permainan berbaki lima minit, Johnny Ryan muncul sebagai wira dengan menjaringkan gol ketujuh Charlton untuk membawa mereka memenangi perlawanan itu dengan keputusan 7-6. Para penyokong menjadi gamat dan menjerit kegembiraan selepas melihat jaringan itu.
Padang pula dibanjiri oleh penyokong yang turun untuk sama-sama meraikan kemenangan.
Dengan sepuluh orang pemain, dan ketinggalan 5-1 pada masa perlawanan yang hanya tinggal lagi 27 minit, Charlton telah melakukan kebangkitan yang menakjubkan untuk memenangi perlawanan.
Pertemuan itu telah direkodkan sebagai kebangkitan terbaik dalam sejarah. Pengurus Hudddersfield ketika itu, Bill Shankly meninggalkan padang dengan lidah yang terkelu.
1 Minit Yang Memalukan
Satu momen memalukan telah berlaku kepada Liga HFS Loans pada tahun 1993, apabila pasukan Congleton telah melakukan ‘satu minit senyap’ sebelum memulakan perlawanan bagi menghormati kematian penyokong paling tua kelab itu, yang telah meninggal dunia pada minggu sebelumnya.
Bagaimanapun, bahagian perhubungan awam kelab itu dikejutkan apabila peminat yang disangka mati itu berjalan perlahan masuk ke padang hanya untuk menyaksikan ‘satu minit senyap’ yang ditujukan kepadanya.
Kesilapan ini dikatakan berpunca daripada maklumat palsu yang diberikan oleh seseorang sebelum perlawanan.
Hari Yang Besar Untuk Chris Nicholl
Bagi mana-mana pemain, menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan adalah satu pencapaian yang hebat dan menakjubkan.
Tetapi tidak untuk pemain pertahanan Aston Villa, yang telah menjaringkan empat gol dalam perlawanan menentang Leicester City pada 20 Mac 1976. Ini kerana beliau telah menjaringkan dua gol untuk pasukannya dan dua lagi gol untuk pasukan lawan menjadikan keputusan perlawanan itu berakhir dengan seri 2-2.
Nicholl telah menjaringkan gol pembukaan untuk pasukannya sebelum menjaringkan gol sendiri beberapa minit kemudian sebelum tamat separuh masa pertama. Pada separuh masa kedua, beliau berjaya menebus kesilapannya dengan menjaringkan gol yang menarik untuk Aston Villa.

Tetapi entah di mana silapnya, beliau sekali lagi telah menjaringkan gol sendiri ketika minit akhir perlawanan.
Ketika ditemuramah beliau telah ketawa dan menyesal atas perkara yang berlaku.
“Gol ketiga adalah terbaik, ia merupakan gol paling menarik pernah dijaringkan oleh saya. Tiada penjaga gol di dunia ini yang mampu untuk menyelamatkan tandukan terbang itu. Tapi malangnya, gol keempat saya adalah gol penyamaan untuk Leicester.”
“Ini sangat memalukan. Selepas saya menjaringkan empat gol, keputusan berakhir 2-2, jadi saya meminta bola daripada pengadil perlawanan sebagai kenang-kenangan, tapi pengadil tak bagi, dia nak simpan bola itu kerana hari itu adalah hari terakhir dia menjadi pengadil.”
Tiup Sahaja Wisel Itu!
Dalam satu perlawanan tempatan liga bola sepak Denmark, Norager sedang mendahului Ebeltoft dengan kedudukan 4-3 menuju ke penghujung masa perlawanan. Ketika itu pengadil, Henning Erikstrup bersedia untuk meniup wisel untuk menamatkan perlawanan.
Malangnya ketika mahu meniup, gigi palsu beliau telah tercampak keluar dan tidak berjaya untuk membunyikan wisel. Ebeltoft yang pada ketika itu sedang menyerang telah berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk menjadikan kedudukan 4-4.
Setelah berjaya memakai semula gigi palsunya, Erikstrup telah meniup wisel dan membatalkan gol penyamaan Ebeltoft dan memberikan kemenangan 4-3 kepada Norager.
Para pemain Ebeltoft telah memprotes keputusan itu dan kekecohan berlaku setelah barisan jurulatih Ebeltoft menyerbu Erikstrup untuk membantah keputusan itu.
Perkara ini telah dibawa ke persatuan bola sepak Denmark tetapi bantahan mereka tidak diterima. Malang sekali untuk pasukan Ebeltoft.
Hatrik Paling Mengagumkan
Kebanyakan penyerang pernah melakukan hatrik untuk sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka. Tetapi bagi pemain pasukan West Ham, Alvin Martin, beliau telah menjaringkan hatrik yang menakjubkan.
Dalam kemenangan 8-1 West Ham keatas Newcastle United pada April 1986, Martin telah berjaya menjaringkan tiga gol mengatasi tiga penjaga gol yang berlainan!
Beliau menjaringkan gol pertama mengatasi penjaga gol Newcastle, Martin Thomas. Thomas kemudian terpaksa dikeluarkan kerana cedera dan digantikan pula dengan Chris Hedworth. Martin berjaya membolosi Hedworth sebelum beliau juga terpaksa digantikan kerana cedera dan digantikan oleh penjaga gol ketiga, Peter Beardsley.
Tetapi Beardsley juga telah tewas apabila Martin menjaringkan gol ketiga untuk melengkapkan hatrik beliau.
Menurut BBC, tiada pemain lain yang pernah menjaringkan hatrik seperti ini.
Perpindahan Tanpa Wang
Pemain tengah pasukan Jiul Petrosani dalam liga Romania telah dijual kepada pasukan Valcea dengan harga 500kg daging babi pada tahun 1998. Ia bersamaan dengan nilai sebanyak 1750 pound sterling.
Presiden Jiul berkata daging itu akan dijual dengan harga yang lebih tinggi untuk membayar gaji pemainnya.
Jika pada hari ini Cristiano Ronaldo berpindah ke PSG dengan jumlah perpindahan bernilai 100 juta pound sterling, ia bersamaan dengan 29 juta kilogram daging babi atau 630000 ekor babi.
Kekecewaan Yang Melampau
Tahukah anda, dalam liga bola sepak Madagascar, pasukan AS Adema pernah mengalahkan pasukan Stade Olympique de L’Emyrne dengan keputusan 149-0!
Ini berlaku kerana pada perlawanan sebelumnya menentang pasukan DSA, pasukan SOE telah memprotes keputusan pengadil yang memberikan penalti minit akhir kepada pasukan DSA yang menyebabkan mereka gagal untuk meraih mata penuh. Perlawanan itu berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Keputusan itu telah menamatkan perjuangan mereka untuk menjuarai liga.
Sebagai protes, mereka telah menjaringkan gol sendiri berulang kali dalam perlawanan menentang AS Adema untuk meluahkan kekecewaan mereka. Sebanyak 149 gol sendiri telah dijaringkan. Mereka melakukannya dari minit pertama perlawanan dengan penjaga gol mereka hanya duduk menggigit lalang.
Selepas perlawanan itu, persatuan bola sepak Madagascar telah menyiasat dan menggantung jurulatih SOE, Zaka Be. Keputusan itu bukan sahaja protes paling bodoh pernah dilakukan, tetapi merupakan kekalahan dan kemenangan paling besar dalam sejarah bola sepak dunia.
Penulis
Artikel ini ditulis oleh Sharell Eizwan untuk diterbitkan di Sukan.my
Sekiranya anda mempunyai artikel untuk dikongsikan. Hantar di sini.