Michael Watson antara petinju yang terbaik ketika generasi beliau. Seorang yang berjiwa kental dan berani. Namun pada malam Sabtu, 21 September 1991 pada 10:54 malam, karier beliau telah berakhir dan hampir kehilangan nyawa.
Beliau baru berusia 26 tahun ketika itu dan sedang menuju prestasi terbaik. Sepanjang karier beliau, Watson sudah bertarung 30 kali. 25 kali menang 4 kali kalah dan 1 seri. Beliau melakukan 21 KO. Satu rekod yang sangat baik.
Malam Penamat Karier
Entah apa yang dilakukan oleh pengadil pertarungan ketika itu, Roy Francis yang tidak menghentikan pertarungan ketika Watson sudah dalam keadaan tidak bermaya dan penglihatannya sudah ‘lari’.
Krew beliau dan jurulatihnya, Jimmy Tibbs masuk ke dalam ring dan memaki pengadil. Pengadil menjerit:
“Jim, dia (Watson) sudah mati Jim, sudah mati!”
Tibbs memberitahu yang dia sudah melihat petinju dilatihnya itu memang sudah ‘mati’ dalam beberapa saat sebelum dia terjatu.
“Hati dan naluri saya sudah memberitahu yang dia sudah mati, saya tahu dia akan pergi.”
Di satu penjuru, seteru Watson, Chris Eubank meraikan kemenangannya, membuka sarung tangan dan mengangkat tangan ke udara. Ia disambut dengan sorak peminat beliau.
Di satu penjuru sebelah lagi, petugas perubatan dan pasukan Watson kelihatan semakin panik. Mereka melihat Watson dalam keadaan kritikal.
Semua orang di dalam dewan tersebut mulai resah dan tergamam.
Segalanya berlaku pada pusingan ke-11. Ketika itu Watson sudah dalam keadaan tak bermaya. Eubank menyerang Watson dengan teruk. Mata Watson sudah pecah dan kakinya sudah lemah. Pengadil tetap meneruskan pertarungan dan penonton di dalam arena ketika itu menikmati detik itu.
Watson memberitahu Tibbs ketika itu dia hanya memikirkan wajah isteri, anak dan keluarganya. Dia tahu yang dia mungkin akan menghembuskan nafas terakhir di gelanggang itu.
Watson mendahului dalam pertarungan itu untuk secara mata. Dan dia berpeluang untuk menjadi juara dunia dalam kelas middle-weight. Beliau juga hampir pasti membalas dendam kekalahan di tangan Eubank pada Jun tahun yang sama.
Eubank hampir tersungkur ketika itu selepas terkena tumbukan Watson. Namun Eubank membalas dengan uppercut yang tepat di dagu Watson diikuti dengan beberapa tumbukan. Itu yang membuatkan Watson tewas.
Ketika itulah Tibbs masuk ke gelanggang dan mendengar pengadil menjerit:
“Jim, dia dah mati Jim, dah mati”
Pada ketika itu tiada ambulans ataupun paramedik di tempat kejadian. Mujurlah ada seorang doktor yang memakai jaket biasa tiba 8 minit kemudian.
Melawan Lumpuh
Ketika Watson tersungkur kritikal, dia tidak diberikan oksigen. Ianya mengambil 28 minit untuk Watson mendapatkan rawatan doktor di hospital.
Watson koma selama 40 hari. 6 pembedahan di bahagian kepala dilalui untuk mengeluarkan darah dari otak beliau. Beliau kemungkinan besar akan lumpuh seumur hidup.
Watson menghabiskan lebih setahun di pusat jagaan rapi (ICU) dan rehabilitasi. 6 tahun beliau duduk di kerusi roda. Namun, beliau berjaya melawan semua itu dan perlahan-lahan melakukan beberapa pergerakan serta mampu bercakap dan menulis.
Doktor yang merawat beliau Peter Hamlyn menganggap Michael Watson seorang pejuang sejati. Tidak ramai yang sekuat beliau dalam melawan situasi tersebut.
“Satu perjalanan yang sangat jauh. Saya masih ingat, hari pertama beliau di sini dia tidak boleh bercakap, tidak boleh mendengar, tak boleh berjalan. Benda tu berlaku untuk 8 bulan.”
“Perlahan-lahan dia berjaya mengatasi semua itu. Dia manusia luar biasa.”
Saman Ke Atas BBBoC
Selepas beliau cergas, Watson telah mengambil tindakan perundangan ke atas British Boxing Board of Control (BBBoC) di atas kecuaian yang menyebabkan ‘kerosakan’. Mereka gagal membekalkan petugas dan doktor untuk memberikan rawatan segear di tempat kejadian.
Selain itu BBBoC turut gagal meneyedikan ambulans untuk mengejarkan Michael Watson ke hospital segera. Tiada kelengkapan seperti tangki oksigen disediakan yang membuatkan Michael Watson mengalami pendarahan di bahagian otak kerana kekurangan oksigen.
Watson menyaman BBBoC £1juta. Pihak BBBoC faham dengan pertuduhan dan tidak melakukan bantahan ataupun sebarang rayuan. Mereka terpaksa menjual HQ mereka di London yang ketika itu bernilai £400,000 untuk menambah wang mereka bagi membayar saman tersebut.
BBBoC ternyata tidak ada insurans untuk pertarungan tersebut. Jika tidak, mereka tidak perlu untuk menjual pejabat mereka. Nampaknya, pihak penganjur memang sangat cuai dalam penganjuran pertarungan tersebut.
Watson banyak menerima sokongan daripada Eubank sepanjang hidup beliau selepas peristiwa itu. Mereka menjadi rakan baik.
Pada April 2003, Watson menyertai London Marathon. Beliau berjalan setiap pagi untuk 6 hari seminggu. Selain itu Watson juga mengumpul dana untuk badan amal Brain and Spine Foundation.
Pada 2004 Watson dianugerahkan MBE oleh Queen Elizabeth II kerana jasanya kepada sukan paralimpik. Watson turut menjadi pembawa obor dalam larian obor Sukan Paralimpik London 2012.
Itulah kisah seorang petinju berbakat yang terpaksa mengakhiri karier pada usia 26 tahun. Perjuangan beliau melawan lumpuh juga sesuatu yang memberikan inspirasi kepada ramai orang.
Michael Watson adalah definisi pejuang sejati di dalam gelanggang dan di luar gelanggang.