Kisah Kegemilangan Beregu Emas Koo-Tan

Leo Maestro 2 tahun yang lalu

Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong pernah digelar sebagai beregu emas Malaysia. Mana tidaknya, pasangan beregu ini telah menggegar kejohanan Asia dan juga arena badminton dunia. Mereka juga pernah menduduki ranking no.1 dunia BWF pada satu ketika dahulu.

Pasangan beregu ini digandingkan bersama bermula 2006 oleh jurulatih Rexy Manaiki. Pada awalnya, mereka berdua bukanlah pasangan beregu. Namun Rexy melihat ada potensi yang besar bagi kedua dua mereka.

Di dalam gelanggang 2 pemain ini seakan-akan saling melengkapi. Koo memiliki kebolehan bertahan yang sangat baik dengan ‘coverage’ serta refleks yang tinggi. Tan Boon Heong pula pemain yang memiliki smash yang kuat di tangannya.

Tan Bon Heong diikitiraf Guinness World Record pemain badminton dengan smash terpantas dengan catatan 421 km/j.

Juara Sukan Asia 2006

Siapa sangka anak muda Malaysia bernama Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong berjaya memenangi pingat emas acara beregu dalam Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar. Mereka membawa reputasi sebagai Juara Terbuka Jepun ketika itu.

Koo-Tan berjaya menewaskan Lee Jae-jin – Hwang Ji-man (Korea Selatan) pada peringkat suku akhir. Di separuh akhir, Koo-Tan berhadapan dengan pilihan utama kejohanan Cai Yun – Fu Haifeng.

Pasangan sensasi China tersebut dikejutkan oleh anak muda Malaysia ini dengan 21-9,21-19.

Di final Koo-Tan menewaskan beregu kuat daripada Indonesia Markis Kido – Hendra Setiawan juga dengan ‘straight set’ 21-16,21-13. Mereka menamatkan semua perlawanan dengan ‘straight set’.

Seluruh rakyat Malaysia ‘histeria’ meraikan kejayaan anak muda Malaysia ini. Seluruh dunia mulai mengalihkan perhatian kepada mereka. Koo-Tan menghiasi dada-dada akhbar dan bibir peminat badminton.

Foto – Badminton Profile

2007 dan Juara All England

2007 boleh dikatakan tahun terbaik di dalam karier mereka. Masuk ke musim 2007, mereka menjuarai Siri Supe Terbuka Denmark pada 2007.

Menjuarai terbuka Denmark itu hal yang lain. Cara mereka bermain di dalam gelanggang kelihatan semakin matang.

Cara Koo-Tan menewaskan lawan mereka sangat digeruni. Mereka akan menggunakan kepantasan yang luar biasa serta pertahanan yang ampuh.

Banyak perlawanan besar mereka menangi dengan ‘straight set’. Dalam beberapa perlawanan dianggap pemanas badan, Koo-Tan diibaratkan tidak berpeluh pun.

Salah satu kejuaraan terbesar yang dimenangi oleh beregu ini adalah menjuarai All England pada 2007. Siapa yang menyangka mereka berjaya menjuarai kejuaraan badminton tertua itu selepas menjuarai emas Sukan Asia 2006.

Kemenangan mereka ketika itu menentang lawan yang bukan calang-calang. Sekali lagi legenda badminton duni, Cai Yun dan Fu Haifeng menjadi mangsa mereka.

Pasangan yang sedang berada di prestasi kemuncak ini sebelum ini sudah dibedil Koo-Tan di Sukan Asia dalam 2 set.

Kali ini, Fu Haifeng dan Cai Yun pastinya mahu membalas dendam. Ia tidak berlaku! Dengan aksi meyakinkan daripada awal, pasangan Koo-Tan menewaskan jaguh China tersebut dengan ‘straight set’ 21-15, 21-18.

Foto – Badminton Planet

Koo Kien Keat-Tan Boon Heong berjaya mengakhiri penantian seluruh rakyat Malaysia di kancah All England. Kali terakhir beregu Malaysia memenangi All England adalah pada 25 tahun sebelum itu menerusi Razif-Jalani Sidek pada tahun 1982.

Ketika menjuaraai kejohanan tersebut, Koo Kien Keat baru berusia 22 tahun, manakala Tan Boon Heong pula berusia baru 20 tahun.

2007 adalah tahun terbaik di dalam karier mereka. Selain All England, mereka menjuarai beberapa Siri Super lain termasuk Terbuka Filipina, Terbuka Swiss dan banyak lagi.

Ramai meramalkan mereka akan menjadi pasangan yang mampu mengakhiri penantian emas Olimpik kita di Beijing pada 2008. Mana tidaknya, mereka menjadikan pasangan seperti Fu Haifeng dan Cai Yun seperti rakan ‘sparring’ mereka dalam kejohanan besar.

Sukan Olimpik 2008 Beijing

Ianya bermula dengan baik apabila mereka mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan dari Jepun dengan 2 set sahaja.

Namun siapa sangka, Koo-Tan serba tidak menjadi berhadapan dengan Markis Kido-Hendra Sitiawan. Pasangan ini diletakkan antara pasangan pilihan untuk menjuarai acara beregu.

Di Malaysia, media cetak dan media elektronik memberikan perhatian yang sangat kuat kepada mereka. Mungkin tekanan yang tinggi membuatkan mereka gagal untuk memikulnya.

Giliran Markis-Hendra pula menewaskan mereka dengan straight set di suku akhir. Pasangan Indonesia tersebut turut menjadi pemenang pingat emas Olimpik Beijing pada tahun tersebut.

Foto – Olympic Beijing

Di hari mereka tewas di tangan beregu Indonesia, Koo-Tan berjanji akan bangkit. Rakyat Malaysia terus memberikan sokongan.

Mereka masih muda dan anggap sahaja Olimpik kali ini medan terbaik untuk dijadikan pengalaman.

Kemerosotan Prestasi

Tetapi, di hari mereka meninggalkan gelanggang, itulah hari terakhir mereka berada di mata media dan peminat badminton dunia.

Pasangan Koo-Tan kemarau kejohanan sangat lama. Mereka seakan-akan sukar untuk bangkit daripada kekalahan tersebut. 2007 masih menjadi tahun terakhir mereka merasai gelaran sehinggalah 2011.

Perkara terindah yang mereka lakukan hanyalah pada Terbuka Hong Kong 2008 dengan membalas dendam ke atas Markis-Hendra di suku akhir.

Rexy Manaiki mulai mengkritik sikap Koo Kien Keat sebagai ‘besar kepala’. Dan cerita bahawa pasangan ini bakal dipisahkan terus berlegar.

Hubungan Koo Kien Keat dan Rexy Manaiki semakin rapuh. Ramai peminat badminton masih mengharapkan mereka terus bersama dan kembali menyerlah di persada badminton dunia.

Rext menjelaskan kedua-dua mereka mahu menjadi ketua di dalam gelanggang dan tidak mahu menjadi pemain kedua. Ini yang membuatkan mereka seringkali bermasalah.

Mereka masih bersama dalam All England 2008, tetapi hanya sampai ke pusingan kedua dan pulang awal. Itulah kisah mereka yang kemudiannya terus lenyap daripada pasangan elit badminton dunia.

Tetap Antara Yang Terbaik

Walaupun mereka jatuh merudum. Apa yang mereka lakukan ketika prestasi kemuncak pada 2006 dan 2007 dianggap satu fenomena.

Peminat tidak pernah putus harapan kepada mereka. Sayangnya bakat dan keupayaan kemuncak mereka tidak tahan lama. Mereka menikmati kegemilangan terlalu sekejap.

Mereka menjadi beregu yang paling digemari oleh peminat badminton di seluruh dunia, kecuali beregu yang mereka sokong sedang menenang Koo-Tan. Ini kerana keupayaan mereka menewaskan nama-nama besar.

Mentaliti besar yang mereka dalam perlawanan besar sangat luar biasa. Tenang dan membuatkan lawan mereka geram.

Walaupun kegemilangan itu sekejap sahaja, pasangan Koo-Tan antara perkara terindah yang pernah lahir dalam sukan badminton Malaysia dan juga dunia. Daripada ‘giant killer’ mereka disorak sebagai beregu emas.

Sukan Asia dan All England itu bukan perkara yang mudah untuk dicapai tetapi mereka sudah melakukannya!


SHARE ()