Khairy Jamaluddin Sasar Malaysia Ke Piala Dunia Pada 2050

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memberikan ramalan beliau tentang persoalan bilakah skuad Malaysia akan ke Piala Dunia.

Piala Dunia adalah kejohanan yang menjadi idaman rakyat Malaysia sejak sekian lama. Namun harus diakui masih banyak lagi negara di dunia masih belum merasai layak ke Piala Dunia termasuk Malaysia.

Skuad Harimau Malaya mendapat kritikan teruk daripada semua pihak berikutan aksi hambar ketika kempen kelayakan Piala Asia. Malaysia sudah pun tersingkir daripada kejohanan tersebut.

Sukan Medium Penting

Khairy Jamaluddin menyatakan yang sukan adalah medium penting untuk negara kita. Banyak sudah sukan memberikan keceriaan di wajah peminat.

Namun beliau berpendapat yang sukan bola sepak adalah kegembiraan yang mutlak jika berjaya berada di pentas tertinggi seperti sukan badminton dan berbasikal.

“Saya fikir sukan memainkan peranan besar untuk negara seperti badminton, berbasikal namun sukan yang memberi kegembiraan mutlak adalah bola sepak.”

KJ yakin yang semua pihak bertanggungjawab telah memainkan peranan masing-masing dan berusaha keras dalam membantu bola sepak agar kita dapat mara ke Piala Dunia.

“Usaha keras sedang dilakukan, namun keputusan tidak boleh diperoleh dalam tempoh semalaman. Pembangunan NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Negara) dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) sedang melakukan usaha pembangunan pemain di peringkat akar umbi. Semua kerja ini memerlukan masa.”

Menjawab soalan, bila agaknya Malaysia akan mara ke Piala Dunia? KJ ada ramalan beliau tersendiri

“Saya berharap dan berdoa pada 2050 kita akan layak ke Piala Dunia dan sebab itu kita mahu membida tuan rumah Piala Dunia pada 2034.”

Tiada Jalan Pintas Untuk Berjaya

KJ juga mengingatkan peminat Malaysia bahawa tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan. Kini ramai peminat yang mencadangkan agar Malaysia mengambil pemain naturalisasi untuk diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan.

KJ kurang senang dengan cadangan itu kerana ini tidak akan memberikan penyelesaian untuk jangka masa panjang. Beliau mahu peminat fahat konsep naturalisasi dan pemain berdarah campuran/kacukan.

Naturalisasi adalah pemberian hak kerakyatan kepada mana-mana individu luar negara yang sudah menetap di Malaysia berdasarkan syarat kerakyatan tertentu.

Manakala pemain berdarah campuran adalah pemain yang memiliki jurai keturunan berasal dari Malaysia.

“Ramai cakap gunakan pemain naturalisasi. Singapura mengambil pemain naturalisasi tetapi saya tidak fikir itu adalah penyelesaiannya.”

“Kita mahu selesaikan struktur permasalahan dan sistem yang dihadapi. Sudah pasti ia mengambil masa.”

Adakah Malaysia Akan Ke Piala Dunia?

Persoalan yang ketika ini hampir sukar untuk dijelaskan dan dijawab. Piala Dunia adalah simbol kepada kredibiliti bola sepak sesebuah negara. Bola sepak adalah sukan no.1 di dunia.

Pada 2026, Piala Dunia akan menambah slot kepada 48 pasukan. Jadi, semakin banyak negara di Asia mengintai peluang untuk mara ke Piala Dunia ketika itu.

Segalanya perlu dimulakan daripada kualiti jurulatih dan pemain yang ada di Malaysia. Sudah-sudahlah bola sepak kita menjadi bahan lawak jenaka media dan peminat.

Harap suatu hari nanti kita melihat Harimau Malaya beraksi di Piala Dunia.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.