Khabib Nurmagomedov sebelum ini menyatakan beliau mahu berehat lama sedikit selepas jadual yang sangat sibuk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Perkara itu diluahkan oleh Khabib selepas kemenangan ke atas Dustin Poirier.
Tetapi rehat lama yang dimaksudkan Khabib itu hanyalah sebulan dan 8 hari. Petarung unggul UFC itu sudah pun memulakan latihan intensif beliau.
Khabib dilihat sudah mulai berenang di sebatang sungai. Khabib menongkah arus sungai yang deras dan sangat sejuk. Ia merupakan antara aktiviti yang digemari oleh Khabib dalam latihan sambil menikmati alam.
Kingfaruh yang berkongsi video itu berkata: “Kerja keras dan dedikasi daripada sang juara Khabib Nurmagomedov.”
“Hari ini sangat sejuk, dan beliau tak kisah. Air itu sangat sejuk dan saya cuba letakkan kaki ke sana, rasa macam membeku dibuatnya.”
“Tony, kamu dalam masalah.”
Dan selepas itu, beliau dilihat melakukan beberapa rutin latihan.
Ini juga menguatkan lagi spekulasi bahawa Khabib Nurmagomedov bakal mengumumkan pertarungan beliau yang seterusnya di dalam sidang media.
Lawan seterusnya Khabib masih belum disahkan. Namun ramai menjangkakan iya ialah Tony Ferguson.
Pada Sabtu lalu, wartawan ESPN, Arierl Helwani melaporkan bahawa pertarungan Khabib yang seterusnya adalah menentang Tony Ferguson, dan ianya kemungkinan besar akan berlangsung di New York.
Helwani juga menyatakan bahawa Dana White sedang mengadakan perbincangan akhir dengan pegawai UFC yang lain bagi pertarungan yang dianggap paling besar untuk musim 2020.
Helwani dalam kenyataannya juga berkata: “Pertarungan di antara Khabib dan Ferguson dijangka akan berlangsung pada Mac atau April tahun hadapan. Saya mendengar, mereka sedang mempertimbangkan New York sebagai venue ( sama ada di Barclays Center ataupun Madison Square Garden.).”
Jika benar pertarungan itu berlangsung di New York, ia bermakna hasrat Khabib untuk bertarung di negaranya pada pertarungan beliau seterusnya, adalah tidak kesampaian.