Khabib Nurmagomedov: Juara Immortal Tidak Terkalah Yang Akhirnya Menumpahkan Air Mata

Khabib Nurmagomedov terus menjadi petarung UFC ulung yang tidak boleh dipertikai serta tidak terkalahkan sepanjang kariernya apabila mudah menewaskan Justin Gaethje dengan jurus kepitan beruang.

Sensasi Mix Martial Arts(MMA) dan Ultimate Fighting Championship(UFC) akhirnya membuat kemunculan semula di gelanggang Oktagon bagi mempertahankan gelaran juara dunia Lightweight yang disandangnya ketika ini.

Petarung yang menjadi lawan Khabib Nurmagomedov dalam pertarungan utama di UFC 254 yang berlangsung di Kepulauan Yas, Abu Dhabi ini adalah Justin Gaethje.

Justin Gaethje merupakan juara interim atau sementara bagi kategori yang sama dengan dengan Khabib Nurmagomedov iaitu kategori Ligthweight selepas menewaskan Tony Ferguson.

Khabib Nurmagomedov menewaskan juara interim, Justin Gaethje selepas satu minit 34 saat pertarungan pada pusingan kedua dan melebarkan rekod kepada 29-0.

29 pertarungan tanpa tewas menobatkan Khabib sebagai undisputed and undefeated Champions atau juara tidak boleh dipertikaikan dan tak terkalahkan.

Kemenangan Khabib diselebungi suasana sedih selepas Khabib mendedikasikan kemenangannya ini kepada Arwah Bapanya dan menangis di gelanggang Oktagon.

Bapanya merupakan jurulatih dan mentor sepanjang kariernya namun telah pergi menemui Sang Pencipta selepas bertarung nyawa akibat jangkitan Covid-19.

Khabib juga telah mengumumkan bahawa ini adalah pertarungan terakhir beliau dan mengesahkan persaraannya sebagai petarung MMA.

Pengumuman Khabib ini nyata mengejutkan dunia MMA dan berita ini seolah-olah telah menutup kemenangan ke-29 beliau.

Siapa Khabib Nurmagomedov?

Khabib Nurmagomedov dilahirkan di sebuah wilayah kecil dikenali sebagai Dagestan di Russia.

Dibesarkan di ibu kota wilayah tersebut iaitu Makhachkala, Khabib dan keluarganya kemudian berhijrah ke Kiev, Ukraine.

Gusti adalah sukan yang popular di Dagestan. Khabib tidak ketinggalan mempelajari ilmu gusti sejak usia remaja.

Guru pertama beliau adalah ayah beliau sendiri yang merupakan seorang veteran perang.

Di bawah latihan arwah ayahnya, Khabib telah menjalani latihan yang keras, dan adakalanya dianggap pelik.

Penampilan Khabib sebelum pertarungan juga sentiasa mencuri tumpuan kerana dikatakan seiras bekas pemain Manchester United, Marouane Fellaini.

Sebenarnya ianya bukan begitu. Penutup kepala seakan-akan gaya rambut milik Fellaini itu sebenarnya ialah sejenis topi yang dikenali sebagai papakha.

Papakha ialah sebahagian dari aksesori dan kebanggaan budaya etnik Avar. Pemakaiannya adalah popular di bandar kelahiran Khabib iaitu Dagestan, sepertimana kita gemar bersongkok sebagai tanda budaya kita rakyat Malaysia.

Kontroversi beruang dan latihan keras

Sebelum ini pernah tular bagaimana Khabib yang berusia 9 tahun bergusti dengan beruang.

Dari kecil sudah bergomol dengan beruang maka tidak peliklah kenapa Khabib begitu berstamina tinggi dan hebat bermain di ground.

Bapa Khabib melatih beliau sedari kecil untuk mempersiapkan beliau sebagai seorang pejuang bagi menempuh hidup yang penuh liku.

Pada September tahun lalu, sebuah organisasi hak asasi haiwan, Ethical Treatment of Animals (PETA), telah mengecam tindakan Khabib Nurmagomedov yang bergusti dengan beruang.

Khabib sebelum ini pernah memuat naik satu status di Instagram dengan kapsyen: “Dengan sahabat lama saya.”

Ia merujuk kepada haiwan yang pernah menjadi teman dan juga rakan ‘sparring’ beliau ketika kecil.

Perkara itu terus mendapat perhatian PETA yang mendapat tahu akan video Khabib bergusti dengan beruang.

Menurut PETA, tindakan Khabib itu adalah tidak berperikemanusiaan kepada binatang. PETA juga menganggap Khabib sebagai jijik kerana bergusti dengan beruang, dan bukannya dengan lawan yang rela.

Lantas PETA meminta Khabib hanya bergusti dengan lawan yang sanggup dan memberikan persetujuan sahaja, bukannya dengan beruang.

PETA juga menuduh Khabib sebagai mempromosi kekejaman ke atas binatang dan meminta UFC mengambil tindakan.

PETA berharap UFC mengkaji semula status Khabib sebagai juara dunia, sehigga petempur UFC itu mengubah sikapnya, serta melayan haiwan dengan lebih rasa hormat.

Video Khabib Nurmagomedov bergusti dengan beruang itu sudah lama tersebar. Ketika video itu dirakam, Khabib baru berusia 8 tahun. Ketika video itu dirakam ianya tahun 1997.

View this post on Instagram

With my old friend 🐻 ✋🤚

A post shared by Khabib Nurmagomedov (@khabib_nurmagomedov) on

Video tersebut kerap dikongsikan untuk menunjukkan kehebatan Khabib sejak kecil lagi. Namun begitu, pihak PETA nampaknya tidak gembira dan meminta Khabib untuk hanya bertarung dengan manusia sahaja.

Pengarah PETA cawangan UK, Elisa Allen memberitahu Business Insider: “Bergusti dengan beruang adalah kelakuan jijik dan menunjukkan sikap tiada hormat dan timbang rasa kepada binatang.”

“Di alam semulajadi, beruang-beruang ini mengembara merentasi wilayah yang luas, mencari makanan, berenang, menggali tanah, memanjat pokok, mencari pasangan dan menunjukkan tingkah laku yang penting kepada alam semula jadi.”

“Namun ada beberapa beruang yang malang di Rusia digunakan untuk bertinju, menari, dan untuk hiburan kuno yang lain. Biasanya beruang-beruang ini dipisahkan daripada ibu mereka sebagai anak, dirantai, diikat, dimalukan, dipukul dan dirampas semua perkara yang bermakna untuk mereka.”

“PETA menggesa Encik Nurmagomedov untuk terus hanya bergusti dengan lawan manusia yang sanggup.”

Ayah kepada Khabib sebelum ini pernah menyatakan bahawa, Khabib dan beruang itu hanyalah bermain bersama-sama.

Namun ketika itu keadaan berubah apabila Khabib dan beruang itu bergusti, dan secara tak langsung itu telah menguji karakter Khabib ketika kecil.

Walaubagaimanapun, ayahnya menyatakan Khabib dan beruang itu hanyalah bermain-main kerana mereka rapat dan mesra dengan satu sama lain. Jauh sekali ada unsur penganiayaan berlaku.

Bergomol bersama beruang bukan satu-satunya latihan lasak yang pernah dilakukan oleh Khabib untuk menjadikan dirinya seperti hari ini.

Antaranya adalah berenang menongkah arus sungai yang deras dan sangat sejuk. Ia merupakan antara aktiviti yang digemari oleh Khabib dalam latihan sambil menikmati alam.

Seorang Muslimin yang taat

Khabib sentiasa menunjukkan contoh yang baik sebagai seorang muslim dan sentiasa menyebut kalimah Allah sebelum memulakan perlawanan. Maka tidak hairanlah mengapa Khabib mampu mengekalkan rekod tanpa kalahnya sepanjang karier di UFC.

Dalam satu video yang dimuatnaik di laman Youtube rasmi Khabib, seperti kita semua tahu Khabib adalah seorang muslim dan dalam video tersebut menunjukkan beliau mengimamkan solat di kem latihannya di Emiriyah Arab Bersatu.

Khabib juga pernah membuktikan kemewahan hasil dari pertarungan tidak pernah mengaburi matanya. Sebaliknya, pegangan agamanya adalah kewajiban bagi Khabib.

Menurut laporan Forbes pada 2017, seorang petarung UFC boleh meraih sehingga £21 juta melalui satu pertarungan, tidak termasuk keuntungan dari sumber lain dan tajaan.

Jumlah tersebut dipengaruhi oleh populariti dan nilai pasaran seseorang peninju untuk menarik tontonan dan tajaan itu sendiri.

Maka apabila seseorang peninju UFC diberikan slot untuk satu pertarungan, jarang sekali mereka akan menolaknya. Menang atau kalah, ia tetap durian runtuh untuk mereka.

Tetapi sebaliknya yang dilakukan oleh Khabib sebelum ini. Pada Julai 2016, Khabib telah menolak satu pelawaan perlawanan penting di UFC 200 yang dilangsunkan di Las Vegas.

Sebab utama Khabib berbuat demikian ialah kerana beliau tidak mahu menjejaskan tanggungjawab beliau sebagai seorang Muslim untuk berpuasa di bulan Ramadan.

Jika Khabib menerima tawaran tersebut, bermakna Khabib harus mengorbankan ibadah puasa demi perlawanan dan wang ringgit semata-mata.

View this post on Instagram

3 weeks ago, with my Brothers. 🤲 🕋 #Alhamdulillah

A post shared by Khabib Nurmagomedov (@khabib_nurmagomedov) on

Khabib pada asalnya dijadualkan untuk berhadapan dengan Tony Ferguson, yang pada ketika itu memiliki rekod 20-3 di MMA, 10-1 di UFC.

Nama Khabib terpaksa digugurkan selepas itu. Ini kerana peraturan pertandingan turut menetapkan setiap peserta mengikuti diet yang ditetapkan sebagai syarat untuk bertarung.

“Saya tahu badan saya perlukan rehat. Bulan Jun adalah permulaan Ramadan dan saya mahu berehat seketika dan kembali sekitar bulan September atau October.

“Tetapi kalau UFC bijak dan memilih saya untuk bertarung di New York, New York ada lebih sejuta orang yang boleh bercakap bahasa Russia.

“Saya mungkin terkenal di New York dan saya boleh bertarung di New York. Tetapi buat masa sekarang saya mahu berehat sebentar,” kata Khabib ketika itu

Hubungan Khabib dan CR7

Bola sepak juga merupakan sukan kegemaran Khabib. Malah Khabib mempunyai hubungan yang baik dengan bintang Juventus dan Portugal, Cristiano Ronaldo.

Cristiano Ronaldo dari awal lagi sudah menyatakan sokongannya kepada rakan baiknya Khabib Nurmagomedov untuk aksi UFC254, di mana Khabib menentang Gaethje dalam acara utama.

Malah ketika di dalam tempoh isolasinya di rumah, Ronaldo sempat mendoakan Khabib Nurmagomedov agar beroleh kemenangan ke atas Justin Gaethje.

Cristiano Ronaldo yakin Khabib Nurmagomedov akan memenangi UFC 254 menentang Justin Gaethje dalam pertarungan merebut gelaran juara kelas ringan dunia di Abu Dhabi.

Kepercayaan ini dinyatakan oleh Ronaldo semasa sesi soal jawab dengan peminatnya melalui Instagram. Salah seorang peminat Ronaldo bertanya mengenai pertarungan Khabib vs Gaethje di UFC 254.

“Tentu, tentu saja, Khabib akan menang [UFC 254]. Saudaraku. Insya-Allah, [Khabib akan menang],” kata Ronaldo ketika menjawab soalan dari peminat mengenai UFC 254.

Ronaldo juga melaungkan ‘Sii’ sebagai sokongan kepada Khabib. Teriakan ‘Sii’ adalah tanda tangan Ronaldo setiap kali dia meraikan gol.

Hubungan erat antara Ronaldo dan Khabib pertama kali bertemu ketika kedua atlet itu bertemu pada tahun 2018. Pada masa itu Ronaldo memberikan Khabib baju Real Madrid dengan nama ‘Khabib’ di bahagian belakang.

Khabib Nurmagomedov merupakan peminat setia Real Madrid.

Dalam video pertemuan yang dimuat Khabib melalui Instagram, Ronaldo menerima hadiah aksesori kepala yang biasanya digunakan Khabib setelah kemenangannya di UFC.

Pertarungan menentang Gaethje adalah percubaan ketiga Khabib untuk mempertahankan gelaran ringan dunia UFC.

Dan Khabib berjaya mempertahankan kejuaraannya. Di mana beliau melakukan submission – dengan triangle choke pada pusingan kedua.

Khabib Nurmagomedov menangis di atas octagon meraikan kemenangan beliau itu kerana terkenangkan arwah ayahnya yang sudah meninggalkan dia dan ibunya beberapa bulan lalu.

Ronaldo memuat naik mesej ucapan tahniah. Ronaldo berkata: “Tahniah bro, ayah kamu bangga dengan kamu.”

Demi ibu tercinta

Khabib Nurmagomedov sebelum ini pernah menyatakan, dia memikirkan untuk bersara jika berjaya mencatatkan 30-0 dalam kariernya.

Namun semalam petarung dari Rusia itu mengumumkan dia akan meninggalkan octagon dengan rekod 29-0.

Kemenangan kali ini pasti berbeza. Nurmagomedov menangis teresak esak di atas octagon sambil ditenangkan oleh Gaethje yang mengerti kesedihan lawannya itu – sekaligus menghadirkan atmosfera penuh emosi yang jarang sekali hadir dalam pertarungan UFC.

Khabib kehilangan ayahnya beberapa bulan yang lalu. Ayahnya merupakan jurulatih yang sentiasa bersamanya sepanjang kariernya.

“Ini pertarungan terakhir saya. Tidak mungkin saya dapat datang ke sini [lagi] tanpa ayah saya. Saya juga sudah berjanji, ini adalah pertarungan terakhir saya.” tegas Khabib.

Nurmagomedov kemudian mengejutkan dunia dengan mengumumkan persaraannya.

Khabib yang meletakkan sarung tangannya di atas gelanggang sambil berkata: “Ini adalah pertarungan terakhir saya.”

Sebab utama beliau berbuat demikian kerana janjinya kepada ibunya.

Di mana beliau memberitahu ibunya sebelum pertarungan ini, bahawa ini adalah pertarungan terakhirnya, ditambah dengan tanpa kehadiran ayahandanya tercinta di sisinya kali ini.

Pemergian ayahnya telah membuatkan Khabib bertekad untuk menjaga ibunya dengan memberikan lebih banyak perhatian selepas ini.

Abdulmanap meninggal dunia pada usia 57 tahun kerana komplikasi COVID-19.

Dia menderita serangan jantung setelah didiagnosis dengan coronavirus, yang memerlukan pembedahan kecemasan.

Dia kemudian dua kali dimasukkan ke dalam koma akibat perubatan dengan keadaannya dilaporkan “serius tetapi stabil.”

Tetapi dia tidak lama kemudian dinyatakan meninggal dunia di sebuah hospital di Moscow.

Kehilangan Abdulmanap pastinya kehilangan besar kepada dunia UFC dan juga kepada Khabib Nurmagomedov.

“Dia memainkan peranan besar dalam hidup saya, dan hingga kini dia masih terus menjadi jurulatih saya dan tentu saja ayah saya.”

“Keluarga memainkan peranan besar dalam hidup saya. Saya selalu mendahulukan mereka. Saya tidak melihat perkara yang lebih penting dalam hidup ini daripada keluarga. Saya fikir kita harus selalu mengutamakan mereka.”

Penutup

Terima kasih Khabib Nurmagomedov. Apa pun keputusan beliau, ia harus dihormati oleh semua pihak.

Khabib akan sentiasa dikenang sebagai seorang petarung UFC yang tidak terkalah.

Sebagaimana setiap kejayaannya sehingga meraih 29 kemenangan tanpa kalah, demikianlah juga keputusan beliau untuk bersara tidak harus dipertikaikan.

Nama Khabib ‘The Eagle’ Nurmagomedov pasti akan sentiasa terpahat sebagai seorang pahlawan MMA dan UFC terbaik sepanjang zaman.

 

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.