Roger Federer menyatakan beliau bangga meraikan hari beliau diiktiraf sebagai pemain no.1 dunia paling tua. Kali pertama beliau menjadi no.1 dunia adalah pada 14 tahun yang lalu.
Beliau menganggap pencapaian itu sebagai ‘mimpi menjadi kenyataan’. Kejayaan menang dalam Grand Slam dan kemudian Terbuka Rotterdam membolehkan atlet berusia 36 tahun itu kembali semula ke kedudukan no.1 dunia.
Roger Federer mengatasi rekod Serena Willimas yang berada di ranking no.1 dunia pada usia 35 tahun pada 2017. Bagi Federer beliau lebih menghargai kedudukan no.1 pada usia beliau pada hari ini kerana ianya jauh lebih sukar untuk melakukannya.
“Ini memberikan makna paling besar pada usia 36 tahun dan hampir 37 tahun. Apabila anda beranjak lebih tua, anda harus menggandakan usaha untuk menjadi no.1.”
“Anda juga harus bertarung dengan mereka yang juga berjuang dan bekerja keras untuk berada di tempat teratas. Berada di ranking no.1 sentiasa menjadi pencapaian utama dalam sukan tenis.”
“Untuk sampai ke situ, ianya melibatkan perjalanan yang sukar sejak saya mendapat ‘wildcard’ pada 1998. Ianya sangat bermakna.”
Rekod sebelum ini adalah milik Andre Agassi, pemenang 8 Grand Slam. Beliau berada di ranking no.1 dunia pada usia 33 tahun sebelum melepaskan kedudukan itu pada September 2003.
Andre Agassi kagum dengan kemampuan Federer yang terus menaikkan penanda aras baru dalam sukan tenis.
36 years 195 days…@RogerFederer continues to raise the bar in our sport. Congratulations on yet another remarkable achievement!!
— Andre Agassi (@AndreAgassi) February 16, 2018
Roger Federer memberitahu yang beliau sentiasa memastikan keadaan fizikal dan kesihatan beliau dalam keadaan terbaik untuk mencapai tahap yang beliau ada pada hari ini.
"It's impossible" 😮
13 years on from this in Dubai 2005, it's still a mystery how @RogerFederer pulled off this shot… pic.twitter.com/162qlmdCbS
— Tennis TV (@TennisTV) February 24, 2018
Beliau juga sentiasa bermain tenis setiap hari dengan menggandakan lagi rutin latihan. Kali pertama beliau berada di ranking no.1 dunia adalah pada Februari 2004.
Kali terakhir beliau berada di ranking no.1 dunia adalah pada Oktober 2012. Selepas itu beliau pernah jatuh ke ranking ke-17 pada Januari 2017.
Ketika ini, ramai yang menganggap karier beliau sudah berakhir dan sudah harus memikirkan persaraan. Ini kerana sukan tenis menagih ketahanan fizikal yang tinggi.
Namun Fedex tidak pernah mengalah dan sentiasa yakin beliau masih lagi kekal kompetitif dalam saingan kejohanan besar.
Beliau bangkit selepas 6 bulan berehat kerana kecederaan lutut yang memerlukan beliau menjalani pembedahan. Selepas itu beliau menjuarai 8 kejuaraan termasuk Wimbledon 2017 dan Grand Slam Terbuka Australia 2018.
Penganalisis tenis, Stefan Edberg menyatakan, cara Federer bermain mengikut kemampuan fizikal beliau yang semakin berusia antara sebab kenapa beliau mampu menjadi no.1 dunia sekali lagi.
Federer lebih memperkemaskan aspek penguasaan gelanggang berbanding dengan aspek serangan. Beliau fokus kepada permainan lebih bijak. Federer juga seorang atlet yang sangat mementingkan kesihatan fizikal dan mental beliau.
Hebat betul Roger Federer, berjaya merampas semua ranking no.1 dunia selepas 106 hari melepaskannya.
Beberapa hari lalu beliau menerima 2 Anugerah Laureus. Pertamanya adalah World Sportsman of the Year. Kedua adalah Comeback of the Year.
Jadi, beliau kini sudah ada 6 Anugerah Laureus dalam kabinet beliau. G.O.A.T!