Kerana Khabib Nurmagomedov, The Good Fight Raih Dana $200,000

Badan kebajikan The Good Fight yang ditubuhkan oleh Dustin Poirier dan isterinya dilaporkan telah bejaya mengutip dana kebajikan paling tinggi dalam sejarah mereka iaitu sekitar $200,000 ataupun RM835,000.

Jika sebelum ini, paling tinggi diraih adalah sekitar $5,000. Ini bermakna, kutipan kali ini telah berpuluh kali ganda lebih banyak.

Khabib sebelum ini menyatakan beliau mendapat tahu Dustin Poirier dan isterinya menubuhkan yayasan kebajikan itu. Selain daripada mengutip sumbangan menerusi derma, mereka juga menjual barangan cenderamata dan memorabilia untuk meraih dana.

Oleh sebab itu Khabib meminta baju t yang dipakai oleh Poirier kerana menurut Khabib, beliau lebih ramai pengikut di Instagram, dan itu diharap akan dapat membantu Poirier.

Khabib sudah berikrar tidak akan mengambil sesen pun daripada dana yang diraih. Namun ketika itu Khabib tidak berjanji berapa jumlah yang disasarkan beliau.

blank

Khabib menyeru agar semua pertarung UFC sentiasa mengamalkan sikap saling menyokong antara satu sama lain, apabila ada rakan atlet yang lain melakukan usaha kebajikan.

Khabib meminta agar perseteruan dan permusuhan di dalam gelanggang dilupakan, apabila ada isu yang berkaitan dengan sumbangan kemasyarakatan.

Khabib mengakui kagum dengan Dustin Poirier dan bertekad mahu membantu beliau. Namun di octagon Khabib tetap mengenepikan emosi itu dan fokus untuk menewaskan Poirier.

Khabib mahukan agar lebih berita seperti ini keluar daripada dunia sukan MMA, untuk menaikkan lagi imej sukan itu yang kerap dikaitkan dengan ‘thrash talk’ dan sebagainya.

Khabib kemudiannya berkata: “Saya akan cuba membantu usaha murni Dustin. Semoga wang yang diraih itu nanti akan dapat membantu beliau memberikan makanan kepada lebih ramai mereka yang memerlukan di luar sana.”

Apa Itu Good Fight Foundation?

Ianya yayasan kebajikan, ataupun pertubuhan bukan kerajaan yang tidak berorientasikan keutungan.

The Good Fight ditubuhkan oleh Dustin Poirier dan isterinya, Jolie. Usaha mereka baru sahaja diberikan sokongan oleh pembekal peralatan sukan tempur, Everlast.

Yayasan ini menggunakan platform MMA terutama sekali UFC untuk mengumpul dana kebajikan bagi membantu orang yang memerlukan.

The Good Fight (TGF) berusaha untuk meluaskan lagi bantuan mereka ke seluruh dunia.

Sebelum ini, Dustin dan Jolie telah melelong banyak sekali memorabilia, terutama sekali kit pertarungan kepada orang ramai bagi mendapatkan dana untuk yayasan itu.

Kejayaan terbesar sebelum ini adalah, berjaya mengumpul dana $5,000 ketika UFC 211, di mana Poirier berhadapan dengan Eddie Alvarez.

Wang itu telah membolehkan Poirier dan isterinya membeli lebih 3,000 makanan untuk disalurkan kepada bank makanan.

Seterusnya, Yayasan Good Fight juga berjaya mengumpul $4,000 hasil penjualan kit pertarungan oleh Poirier ketika berhadapan Anthony Pettis.

Wang disumbangkan kepada keluarga Koperal Michael Middlebrook, yang bekerja di Balai Polis Lafayette. Michael maut ditembak dengan senjata api.

Khabib berjanji akan membantu dan menyumbang dana kepada Yayasan Good Fight, Poirier. Ia telah memberikan kesedaran lebih besar kepada dunia tentang yayasan itu.

$200,00 Diraih

Terbaru, laporan menyatakan The Good Fight berjaya mengutip dana $200,000 selepas pertarungan Poirier dengan Khabib.

Separuh daripada jumlah itu, ataupun sekitar $100,000 adalah hasil daripada dana yang dikutip oleh Khabib hasil daripada lelongan t-shirt.  Dana itu disalurkan terus kepada badan kebajikan Poirier.

$100,000 lagi dilaporkan hasil sumbangan daripada Presiden UFC, Dana White, yang mahu menyamaai dana yang dikutip oleh Khabib. Perkara itu disahkan sendiri oleh The Diamond aka Dustin Poirier.

Pertarungan Porier dengan Khabib telah mendapat publisiti dan kesedaran yang sangat tinggi ke atas kempen The Good Fight ini.

Sudah pastinya The Good Fight akan mendapat dana lebih besar lagi daripada orang awam di seluruh dunia, yang menderma secara terus selepas kesedaran ke atas badan kebajikan itu.

Ramai juga mengucapkan terima kasih kepada Khabib Nurmagomedov yang telah memberikan contoh terpuji.

Gara-gara beliau, maka Dana White telah mengambil keputusan untuk menyamaai jumlah wang yang berjaya diraih oleh Khabib hasil jualan baju The Diamond.

Namun, tabik juga kepada The Diamond di atas usaha beliau dan isterinya. Semoga terus kental bersukan sambil beramal.

 

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.