Kerana Kanak-Kanak Ini, Khabib Cabar Georges St-Pierre Keluar Persaraan Dan Bertarung

Khabib Nurmagomedov kini sedang bercuti selepas pertarungan dengan Dustin Poirier. Khabib sudah menyatakan kepada wartawan bahawa beliau benar-benar perlukan rehat itu.

“Ayuhlah, saya sangat sibuk dalam beberapa tahun ini. Fokus saya sekarang nak makan burger (sambil tersenyum). Saya nak berehat dahulu.”

Namun begitu, Khabib tetap memberikan komen beliau tentang lawan yang beliau inginkan selepas ini.

Berdasarkan apa yang disebut oleh Dana White, pertarungan Khabib yang seterusnya adalah berdepan Tony Ferguson.

Walaubagaimanapun, Khabib mengulangi sekali lagi hasrat beliau mahu berhadapan dengan Georges St-Pierre.

Khabib tidak berminat langsung membincangkan soal rematch dengan McGregor walaupun dicabar oleh petarung itu menerusi twitternya.

Khabib, malah, lebih berminat bertarung dengan Georges St-Pierre.

Georges St-Pierre sudah bersara, namun beberapa bulan lalu beliau menyatakan, masih membuka pintu untuk kembali dengan syarat ianya pertarungan melibatkan, sama ada, Khabib Nurmagomedov ataupun Conor McGregor.

Lantas, Khabib mengalu-alukan kepulangan semula Georges St-Pierre ke octagon dan keluar dari persarannya.

Kenapa Khabib mahu berhadapan dengan Georges St-Pierre?

Georges St-Pierre merupakan legenda UFC. Menurut Khabib, Georges St-Pierre adalah lelaki yang sangat baik dan dihormati kerana kehebatannya di dalam gelanggang dan juga sikapnya di luar gelanggang.

Khabib berkata: “Georges St-Pierre seorang yang sangat hebat, juara sejati, dan atlet luar biasa.”

“Kalau kamu mahu mencari seorang atlet untuk diteladani oleh golongan muda dan kanak-kanak pada hari ini, Georges St-Pierre adalah orang yang sangat sesuai.”

“Saya tahu beliau sudah bersara. Namun, jika beliau mahu kembali, dan terasa ‘lapar’, ataupun merasakan beliau mahu melanjutkan lagi legasi beliau di arena pertarungan kepad 155, saya ada di sini menunggu beliau.”

“Mungkin juga, beliau mahukan tali pinggang baru. Saya boleh bagi jika beliau mahu, namun untuk ambil gambar sahaja, selepas itu, bagi balik kepada saya,” jelas khabib sambil berseloroh.”

“Jika beliau benar-benar mahukan pertarungan (menentang saya), saya sentiasa mengalu-alukan beliau.”

Khabib menegaskan, beliau mahu bertarung dengan Georges St-Pierre kerana ada misi kebajikan, berbanding dengan memenuhkan poket mereka berdua.

Khabib yakin, George adalah pilihan yang tepat kerana beliau seorang yang baik hati. George pastinya tidak ada masalah dengan pertarungan sambil beramal.

Ini kerana Georges St-Pierre seorang yang sangat dermawan. Lagipun, beliau merupakan legenda. Maka pertarungan itu pasti akan mendapat publisiti yang sangat tinggi.

Khabib juga mengakui beliau merupakan peminat kepada George St-Pierre.

Khabib Mahu Bawa UFC Ke Afrika

Pada 2018, Khabib pernah melawat Nigeria dan menyumbang sedikit dana untuk membantu beberapa perkampungan di sana yang tidak ada air.

Khabib menegaskan, beliau akan kembali ke Afrika sekali lagi apabila ada kelapangan kelak.

“Di Afrika, ramai orang yang menderita kerana tiada air minuman.”

“Ini (mengangkat botol mineral water kecil) bukan masalah bagi ramai antara kita di sini, namun jutaan orang di luar sana tak mampu mendapatkannya,” jelas Khabib, sambil memberikan kesedaran kepada hadirin bahawa, di Afrika banyak tempat yang tidak mendapat bekalan air bersih.

“Mungkin saya boleh bertarung dengan Georges St-Pierre, salah satu nama yang sangat besar, sangat sangat besar.”

“Pada pandangan saya, ia mungkin boleh meraih sekitar $50 juta, tak tahulah… mungkin $40 juta ataupun $30 juta.”

“$30 juta untuk satu malam pertarungan dan memberikan kesemua wang itu kepada mereka yang memerlukan. Saya suka dengan idea seperti ini.”

“Mereka membina arena seperti ini dalam 2, 3 bulan. Dan boleh dibina di mana sahaja seperti di Congo, Nigeria, Somali, Sudan dan di mana sahaja.”

“Kita boleh bertarung di sana dan mendapat wang dan membuat amal kebajikan. Kenapa tidak kita lakukannya, ayuh. Jika kamu sokong usaha ini, saya akan memberikan sokongan juga.”

“Afrika sekarang dalam keadaan tenat. Ramai mereka di sana tidak ada air minuman. Orang tak bercerita tentangnya, namun kita harus ceritakannya.”

“Saya boleh bertarung pada Januari, Februari, atau Mac (2020). Kami boleh bertarung di tempat seperti di Congo.”

“Kenapa tidak? Dan dengan wang yang kami dapat daripada pertarungan itu, kami akan sumbangkan untuk kebajikan kepada kanak-kanak Afrika ataupun tempat lain.”

Sebelum ini Khabib memberikan sokongan kepada badan kebajikan lawannya, Dustin Poirier dengan meyumbang dana sekitar $100,000 hasil daripada jualan t-shirt.

Khabib sangat berharap pertarungan itu dapat direalisasikan. Ditanya tentang isu berat, Khabib tidak rasa ia masalah besar: “Saya boleh naikkan berat badan jika Georges St-Pierre tidak mahu menurunkan berat badan beliau.”

blank

Dalam muat naik di instagram beliau, Khabib menyatakan: “Ayuh lakukannya pada November. Selepas pertarungan ini, kamu bersaralah. Saya membesar dengan menyaksikan pertarungan kamu.”

“Saya sangat menghormati kamu, dan percaya kamu, George, akan muncul di Moscow.”

“Namun, ia satu penghormatan terbesar untuk saya berkongsi octagon dengan kamu. Salah seorang petarung teragung dalam sejarah.”

Persoalannya kini, adakah Dana White akan setuju dengan idea Khabib ini? Kerana Dana White sudah meletakkan nama Conor McGregor sebagai senarai menunggu jika Tony Ferguson tidak dapat berhadapan dengan Khabib dalam pertarungan akan datang.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.