Keputusan Siasatan FA Terhadap Terjahan Liar Pickford Terhadap Van Dijk

Jordan Pickford tidak akan dijatuhkan sebarang hukuman oleh badan disiplin The FA berikutan insiden terjahan yang dianggap keras dan liar sehingga menyebabkan kecederaan terhadap pemain pertahanan terbaik dunia, Virgil van Dijk.

Van Dijk dilaporkan mengalami ACL akibat pertembungan dengan Pickford pada minit ke-5 perlawanan derbi Merseyside pada Sabtu lalu.

Semakan oleh VAR memutuskan Liverpool tidak seharusnya diberikan penalti kerana Van Dijk berada di posisi offside.

VAR turut memutuskan terjahan oleh Pickford tidak perlu dilayangkan kad merah.

Liverpool dipercayai telah memanjangkan insiden tersebut dan memohon penjelasan rasmi dari Lembaga Pegawai Perlawaan Proesional/Professional Game Match Officials Board (PGMOL) — badan yang mengendalikan pengadil dan VAR di Premier League – untuk beberapa keputusan meragukan sepanjang perlawanan tersebut.

Pihak The FA hanya akan mempertimbangkan hukuman untuk insiden yang tidak dilihat oleh pegawai perlawanan di padang, atau pun oleh VAR di ibu pejabat yang terletak di Stockley Park.

Van Dijk dijangka akan menjalani pembedahan dalam masa terdekat untuk memulihkan kecederaan ligamen di lutut yang dialaminya akibat pertembungan tersebut.

Everton dan Pickford bernasib baik tidak perlu berhadapan dengan sepakan penalti selepas bahu Van Dijk didakwa berada di dalam kedudukan offside sebelum insiden tersebut.

Pertembungan dengan Pickford menyebabkan Van Dijk terpaksa dikeluarkan dan dikejarkan ke hospital kemudiannya untuk rawatan segera sebelum disahkan perlu menjalani pembedahan.

Pada masa yang sama kelab itu turut menuntut penjelasan mengapa gol kemenangan yang dijaringkan oleh Jordan Henderson turut dibatalkan.

Insiden tersebut bukan satu-satunya perkara yang menyebabkan Liverpool rasa tidak adil.

Gol oleh kapten pasukan, Henderson dihasilkan ketika perlawanan memasuki minit kedua masa kecederaan, dan sepatutnya memberikan kelebihan 3-2 kepada Liverpool turut dibatalkan oleh VAR.

VAR kemudiannya membatalkan gol tersebut setelah Sadio Mane yang melakukan hantaran kepada Henderson didakwa terlebih dahulu berada di posisi offside ketika menerima hantaran Thiago.

Rakaman video yang ditayangkan kepada umum selepas itu memberi bayangan Mane sebenarnya berada di dalam keadaan onside ketika menerima bola dari Thiago.

Teknologi Hawk-Eye yang turut digunapakai di dalam Premier League bagaimanapun membuktikan Mane berada di hadapan Yerry Mina sedikit sahaja.

Bekas pemain dan legenda Liverpool, Jamie Carragher dalam ulasannya bersama Sky Sports, percaya ketiadaan Van Dijk yang terpaksa berehat panjang pada musim ini akan menyebabkan perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim ini menjadi terbuka.

Carragher juga berkata Liverpool perlu mendapatkan seorang pengganti di pasaran pemain pada Januari hadapan.

Joel Matip dan Joe Gomez adalah dua pemain yang sentiasa digandingkan dengan Van Dijk sebelum ini.

Namun Carragher berkata isu kecederaan dan konsistensi yang turut sering menyelubungi kedua-dua pemain itu bermakna Liverpool tidak mempunyai squad depth yang cukup di bahagian tengah pertahanan.

 

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.