Kemar Roofe Menjaringkan Gol Terunggul Abad Ini Dari Jarak 54.6 Ela

Kemar Roofe berjaya menjaringkan gol yang sungguh cantik untuk Rangers dalam perlawanan menentang Standard Liege awal pagi tadi.

Rangers berkunjung ke Liege, Belgium untuk perlawanan pertama peringkat kumpulan saingan Europa League bertemu Standard Liege.

Skuad kendalian Steven Gerrard itu telah diundi berada dalam kumpulan D bersama Benfica, Standard Liege dan Lech pada kejohanan edisi kali ini.

Dalam perlawanan tersebut, bintang Rangers, Kemar Roofe telah menjaringkan gol dari tengah padang dengan gaya yang cukup mengagumkan.

Ketika itu Rangers telah mendahului permainan dengan keputusan 1-0 hasil jaringan dari sepakan penalti yang disempurnakan oleh James Tavernier.

Kemar Roofe berjaya mematahkan serangan dari pasukan lawan di minit-minit akhir permainan lalu beliau dengan bergayanya menggelecek tiga pemain Standard Liege sebelum melepaskan rembatan padu dari jarak 54.6 ela.

Gol tersebut juga dijaringkan dalam jarak paling jauh dalam sejarah saingan Europa League.

Roofe yang sebelum ini beraksi di Belgium bersama Anderlecht mematahkan serangan terakhir dari Standard Liege dan beliau kelihatan begitu tenang menggelecek tiga pemain lawan sebelum melepaskan rembatan yang cukup mengagumkan.

Bola rembatan dari tengah padangnya itu melambung di udara dan terus melepasi penjaga gol Liege yang ketika itu berada sedikit ke depan dari gawang golnya.

Penjaga gol Liege jelas tidak mampu untuk menyelamatkan bola tersebut walau sudah melayangkan badannya dan beliau hanya mampu melihat saja bola tersebut masuk menerjah jaring gawang golnya.

Ianya merupakan satu gol yang sungguh cantik sehingga menerima pujian dari para peminat dan yang menariknya, gol tersebut turut mendapat perhatian dari Juara Dunia WWE yang juga peminat Rangers, Drew McIntyre.

Para peminat di media sosial turut memberikan pujian terhadap gol tersebut dan menganggap bahawa gol itu merupakan jaringan tercantik sepanjang musim ini.

“Jaringan yang luar biasa, pembinaan untuk menjaringkan gol tersebut juga luar biasa, dia mampu melihat penjaga gol berada di off position ketika dirinya sedang diasak oleh tiga pemain lawan.”

“Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa jaringan ini merupakan gol tercantik sepanjang musim ini.”

“Gol yang sungguh cantik dan hanya pemain yang ada kualiti tersendiri sahaja mampu untuk melakukannya.”

Begitulah antara komen-komen dari para peminat di media sosial selepas melihat jaringan yang cukup cantik dari Kemar Roofe itu.

Rangers mengharungi kempen Europa League yang gemilang musim lalu apabila Steven Gerrard berjaya memimpin anak-anak buahnya untuk mara sehingga ke peringkat 16 terbaik sebelum disingkirkan oleh Bayer Leverkusen.

Musim ini pula, Rangers telah mengharungi tiga pusingan kelayakan sebelum layak untuk beraksi di pentas Europa League.

Skuad kendalian Steven Gerrard itu berjaya menewaskan Galatasaray dalam salah satu perlawanan kelayakan sebelum mereka diundi berada dalam satu kumpulan dengan Benfica, Lech dan Liege.

Rangers bermula dengan sangat baik musim ini dengan rekod tidak terkalahkan dalam saingan liga dan mereka juga berjaya menewaskan seteru utama mereka, Celtic pada hujung minggu lalu.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.