Sejak akhir-akhir ini, pertahanan Liverpool, Virgil Van Dijk menjadi perhatian umum. Ramai yang akan bersorak kegirangan setiap kali Van Dijk berjaya dilepasi.
Pertahanan dilepasi pemain lawan merupakan perkara yang biasa dalam bola sepak. Misalnya, pemain pertahanan termahal dunia, Harry Maguire telah dilepasi hanya dalam perlawanan kedua.
Namun begitu, selepas Virgil Van Dijk mencipta rekod unik musim lalu, di mana beliau tidak dilepasi langsung untuk satu musim bersama Liverpool dan Belanda.
Pada 2018/19 Van Dijk telah berhadapan dengan pemain seperti Lionel Messi, Neymar, Kylian Mbappe, Eden Hazard dan Raheem Sterling. Kesemuanya gagal untuk melepasi Van Dijk.
Di final UNL, Cristiano Ronaldo juga gagal untuk menggelecek melepasi beliau.
Van Dijk memenangi Anugerah Pemain Terbaik EPL, PFA, dan juga Pemain Terbaik Eropah. Beliau berada di tempat kedua untuk FIFA Best.
Sejak menyertai Liverpool beliau menjadi nadi penting pasukan dan berjaya membantu The Reds menjulang UCL dan juga UEFA Super Cup.
Musim ini, manusia pertama melepasi Van Dijk ialah Nicolas Pepe ketika aksi Liverpool menentang Arsenal. Sebelum itu, Gabriel Jesus melepasi beliau namun ianya dalam Perisai Kebajikan Inggeris, maka itu bukan perlawanan rasmi.
Media sosial meletus dan ramai peminat yang girang dengan kejayaan Pepe melakukannya. Ramai peminat menganggap itu kejayaan luar biasa.
Selepas Pepe, giliran Hwang Hee Chan pula berjaya melepasi Van Dijk dalam saingan UCL. Dan sekali lagi media sosial meletus kerananya.
Hwang Hee Chan melakukan tukaran arah yang memerangkap Van Dijk, dan kemudian menjaringkan gol.
Daripada kegilaan di media sosial, statistik itu mulai menjadi statistik rasmi yang dimasukkan dalam pengkalan data kelab UCL, RB Salzburg.
Mereka meletakkan statistik: Melepasi Van Dijk, sebagai sebahagian daripada statistik rasmi penyerang mereka, untuk menunjukkan kehebatan trio serangan mereka.
Trio Hwang Hee Chan, Haaland dan Daka telah merekodkan 35 gol, 18 assist dan 1 melepasi Van Dijk.
Liverpool kini berada di puncak liga dnegan rekod sempurna 8 kemenangan daripada 8. Mereka akan berehat sempena minggu antarabangsa. Dan apabila kembali beraksi dalam liga, lawan mereka seterusnya adalah Manchester United.