Selepas menerima satu surat berunsur Islamofobia daripada seorang penyokong pada Selasa lalu, kelab bola sepak di Jerman, FC Koln secara terbuka memenuhi kehendak penyokong tersebut untuk disingkirkan keahlian.
Perkara itu dikongsikan di akaun Twitter rasmi kelab. Penyokong yang tidak didedahkan namanya itu dipercayai telah menulis surat kepada kelab Bundesliga itu dan berkata:
“Hari ini saya menyedari bahawa kelab (FC) akan bermain dengan jersi yang ada gambar masjid. Disebabkan perkara ini, saya tidak boleh menerima diri untuk dikenali dengan (gambaran) Islam dan masjid.
“Oleh itu saya memutuskan untuk keluar dari organisasi keagamaan ini.”
Bagi penyokong tersebut, FC Koln telah menjadi organisasi keagamaan kerana adanya gambar masjid pada bahagian jersi mereka.
Logo kelab FC Koln sebenarnya terdiri daripada sebuah Cathedral. Namun latar belakang bangunan yang menghiasi jersi tersebut turut menyerlahkan gambaran masjid dengan jelas.
We received notice from a member who wanted to cancel their membership due to the mosque on our kit.
To that we say: goodbye, and thanks for the idea! 👋 #effzeh pic.twitter.com/2y2OHTiz1j
— 1. FC Cologne (@fckoeln_en) August 11, 2020
Selepas menerima surat tersebut, FC Koln kemudiannya menerima permintaan penyokong itu untuk keluar keahlian melalui ciapan ini:
“Kami menerima satu notis daripada seorang ahli yang mahu membatalkan keahlian kerana adanya gambar masjid pada jersi kami.
“Untuk itu kami katakan: Selamat tinggal dan terima kasih sajalah untuk idea tersebut!”
Jerman adalah sebuah negara yang mempunyai 81 juta penduduk dan merupakan negara kedua dengan populasi Muslim tertinggi di bahagian Barat Eropah selepas Perancis.
Negara itu memiliki 4.7 penduduk Muslim –3 juta daripadanya berasal dari Turki — dan berdasarkan anggaran, 11% daripada populasi di Cologne adalah Muslim.
Ini menjelaskan mengapa bandar Cologne memiliki banyak masjid, termasuk Masjid Sentral Cologne yang ditadbir oleh Kesatuan Islam-Turki.
Masjid itu dirasmikan oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada September 2018.