Kekalahan Yang Memalukan, Namun Kita Tetap Berpeluang Mara – Ong Kim Swee

Jurulatih skuad Malaysia B-22, Datuk Ong Kim Swee menganggap kekalahan di tangan Filipina sebagai memalukan. Ia keputusan yang sukar untuk diterima.

Malaysia kini menempah laluan sangat sukar untuk mara ke pusingan kalah mati dalam acara bola sepak Sukan SEA 2019 kali ini.

Malaysia tewas 1-0 di tangan pasukan tuan rumah Filipina semalam. Ianya kekalahan yang perit untuk Malaysia selepas seri 1-1 dengan Myanmar pada perlawanan pembukaan sebelum ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Memorial Rizal itu, Filipina mendapat gol kemenangan daripada sepakan penjuru oleh Stephan Schrock.

Berlaku kekeliruan di antara penjaga gol dan pertahanan Malaysia. Bola sepakan Schrock melencong masuk ke dalam gawang Malaysia. Haziq Nadzli gagal untuk menepis keluar bola selepas Daniel Amir turut gagal menanduk keluar.

Malaysia bermain dengan aksi yang longlai dan tak mampu untuk membalas jaringan tersebut. Pasukan tuan rumah memiliki beberapa peluang gol, namun gagal disudahkan.

Begitu juga dengan pasukan Malaysia, yang mendapat peluang gol, namun penyudah yang sangat tumpul.

Pengendali berusia 49 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee berkata, barisan pemain Filipina menunjukkan mereka lebih dahagakan kemenangan berbanding anak buahnya.

Malaysia jelas sekali tidak bermaya berbanding dengan pasukan lawan. Filipina memiliki lebih keinginan dan juga permainan yang lebih baik daripada skuad kebangsaan kita.

Bercakap kepada media selepas tamat perlawanan, Datuk Ong Kim Swee berkata: “Sudah pastinya ia bukan keputusan yang baik.”

“Kami melepaskan gol daripada situasi bola mati sekali lagi. Ia juga menunjukkan bahawa Filipinan lebih dahagakan kemenangan berbanding dengan pasukan kita, berdasarkan apa yang kami lakukan hari ini.”

Tanpa berselindung, Datuk Ong Kim Swee menganggap ini adalah keputusan yang memalukan. Namun beliau yakin masih ada harapan untuk pasukan Malaysia mara ke pusingan kalah mati.

Datuk Ong Kim Swee turut menuntut para pemain untuk menunjukkan karakter mereka yang sebenar dalam 2 baki perlawanan Malaysia selepas ini.

Jika tidak, Malaysia tidak ada peluang untuk mara jika mereka keciciran sebarang mata daripada baki perlawanan tersebut.

Misi wajib menang dan mengharapkan keputusan pada perlawanan lain dapat membantu pasukan negara.

“Kami patut malu dengan keputusan ini. Namun begitu, secara matematiknya, kami masih lagi ada peluang untuk melayakkan diri ke pusingan yang seterusnya. Pemain kita perlu bangkit bagi membuktikan watak sebenar mereka di atas padang,” tambah Datuk Ong Kim Swee lagi.

Malaysia selepas ini akan berhadapan dengan Kemboja dan Timor Leste. Malaysia perlu mencatatkan kemenangan dengan perbezaan jaringan yang besar untuk mengintai peluang mara ke pusingan seterusnya.

Mampukah pasukan Malaysia melaksanakan misi sukar pada kali ini? Sama-sama kita mengharapkan yang terbaik daripada kem kebangsaan Malaysia.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.